02 April 2009

Ahli MT tidak semestinya jadi anggota Kabinet

Pemilihan pucuk pimpinan UMNO Khamis lalu memperlihatkan kombinasi yang cukup baik antara generasi baru dan lama.

Ramai pemerhati berpendapat ia merupakan adunan muka baru dan lama yang diharapkan dapat membawa perubahan kepada parti seperti yang ditekankan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemilihan orang muda seperti Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim selain muka baru seperti Dr. Mohd. Puad Zarkashi, Ismail Sabri Yaakob, Noh Omar, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Datuk Shaziman Abu Mansur, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Bung Moktar Radin menggambarkan perubahan yang diinginkan.

Mereka ini sudah pasti akan melengkapi orang lama yang berpengalaman seperti Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis, Datuk Mustapa Mohamed, Datuk Seri Musa Aman dan Dr. Norraesah Mohamad.

Bagi kira-kira tiga juta ahli UMNO di seluruh negara tentunya sangat berharap barisan yang dipilih itu merupakan saf terbaik yang telah diberikan mandat oleh perwakilan untuk membantu Presiden mengukuh dan mengembalikan semula kegemilangan parti.

Ahli-ahli di seluruh negara yang hanya mampu melihat dari jauh itu juga tentu berharap perwakilan yang mengundi kelmarin telah melaksanakan mandat yang diberikan oleh cawangan dan bahagian dengan penuh amanah dan bijaksana.

Andai kata mandat akar umbi ini tidak tertunai maka natijahnya ialah sokongan terhadap parti akan tergugat.

Sebab itu ramai pihak berharap barisan baru MT benar-benar merupakan manifestasi akar umbi yang mahukan perubahan dan mahukan mereka yang dipilih adalah pemimpin yang mewakili akar umbi.

Namun keputusan telah dibuat. Pemimpin sudah dipilih. Barisan baru MT UMNO telah diketahui.

Kini merupakan masa untuk membuktikan bahawa ia adalah barisan terbaik dan berwibawa yang mampu membawa perubahan dan seterusnya mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan rakyat terutama orang Melayu kepada UMNO.

Bagi anggota MT yang juga ahli Parlimen, buang dulu jauh-jauh cita-cita untuk menganggotai Kabinet.

Berada dalam MT UMNO tidak bermakna mereka perlu berada dalam Kabinet.

Ada sesetengah pemerhati berpendapat jika ahli MT UMNO dilantik menganggotai Kabinet maka peranan mereka terhadap parti dan ahli akan terhad.

Apabila berada dalam kerajaan sudah tentu sukar bagi mereka mengkritik atau membetulkan dasar kerajaan yang kurang menguntungkan orang Melayu.

Dalam kerajaan mereka adalah pembuat dasar negara yang tidak boleh memihak kepada kepentingan Melayu semata-mata.

Jika ini berlaku maka ia dianggap satu kerugian kepada UMNO kerana pemimpinnya tidak boleh berperanan sebagai pendesak.

Tetapi jika sebahagian daripada ahli MT ini berada di luar kerajaan, UMNO akan mempunyai dua pasukan yang kuat.

Satu pasukan dalam kerajaan yang akan memastikan kepentingan Melayu diutamakan dalam setiap dasar yang dirancang.

Sementara satu pasukan lagi ialah pasukan ahli di luar kerajaan yang akan menjadi pemerhati dan pengawas kepada setiap dasar yang dilaksanakan supaya tidak meminggirkan kepentingan agama dan bangsa.

Dengan itu akan wujud konsep semak dan imbang atau check and balance antara MT UMNO dan Kabinet kerajaan.

Dikhuatiri jika ahli MT berada dalam kerajaan, peranan semak dan imbang tidak akan berlaku. Malah mereka juga tidak dapat berperanan seperti yang diharapkan oleh akar umbi.

Kalau sudah menjadi anggota kerajaan mereka tidak boleh mengkritik dasar yang telah diluluskan secara konsensus dalam Kabinet.

Sebab itu, para pemerhati berharap barisan MT yang baru dilantik perlu mengutamakan kepentingan parti daripada nafsu sendiri.

Mereka dipilih oleh UMNO untuk memperjuang parti dan nasib orang Melayu di negara ini terutama lebih tiga juga ahli parti.

Sebagai ahli MT mereka perlu mengutamakan khidmat untuk ahli-ahli UMNO dan orang Melayu. Sebab itu keutamaan mereka perlu betul. Jangan menggunakan kedudukan dalam MT untuk memburu jawatan Kabinet semata-mata.

Jika jawatan dalam Kabinet akan mengehadkan pergerakan serta sumbangan dalam memperjuangkan nasib orang Melayu maka lebih baik mereka berada di luar kerajaan.

Kelebihan UMNO untuk membentuk dua pasukan yang mantap di dalam dan di luar kerajaan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya jika kepimpinan parti benar-benar mahu membawa perubahan.

Bayangkan jika semua ahli MT adalah anggota Kabinet. Mesyuarat MT sudah tentu akan jadi lebih kurang sama dengan mesyuarat Kabinet.

Sebab itu UMNO perlu meneliti perkara ini secara terperinci. Jika ingin melakukan perubahan, ini merupakan salah satu elemen yang perlu difikirkan.

Pisahkan MT dan Kabinet supaya UMNO mempunya kuasa pendesak yang kuat dan tidak boleh dipertikaikan oleh rakan-rakan komponen lain.

Sekiranya, ahli MT ini merupakan anggota kerajaan, jika mereka mendesak sesuatu yang membabitkan kepentingan Melayu sudah tentu akan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakan komponen.

Sebagai menteri misalnya, apa yang dilakukan mesti untuk kepentingan semua. Bukan untuk Melayu semata-mata.

Sebab itu dibimbangi ahli MT yang berada dalam Kabinet akan terikat dan tidak mampu menyuarakan hasrat dan keperluan akar umbi dengan berkesan.

Dan lagi mereka yang telah dibuktikan mampu melaksanakan dasar-dasar kerajaan serta memberikan khidmat yang cemerlang perlu dikekalkan. Ini penting dalam memastikan sokongan rakyat akan kembali kepada kerajaan kerana mereka yang berada di kabinet mampu melaksanakan amanah yang diberi.

Keputusan Yang Mengecewakan

Dengan berlabuhnya tirai Perhimpunan Agung Malaysia Sabtu lalu, maka berakhirlah sudah satu lagi episod penuh debaran bagi setiap ahli UMNO. Ini kerana para perwakilan UMNO telah pun menyatakan kehendak mereka dengan memilih calon-calon yang akan dipertanggungjawabkan untuk mengalas amanah ahli dan parti selama 1 penggal.



Keputusan yang dibuat, nyata mengejutkan banyak pihak apabila banyak nama-nama besar terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat. Di dada-dada akhbar juga, pelbagai komen dibuat oleh mereka-mereka tidak menyangka dengan kekalahan yang diterima.

Ternyata transformasi yang ingin dilakukan oleh Presiden yang baru YAB Datuk Seri Najib Tun Razak telah diterjemahkan oleh para perwakilan dengan mengabungkan saf kepimpinan MT dengan muka lama dan yang baru.

Walaupun begitu, tenyata keputusan yang dibuat para perwakilan itu agak mengecewakan kerana mereka-mereka yang dilihat begitu komited dengan tugas yang diamanahkan telah dikorbankan. Yang menjadi persoalannya sekarang, atas rasional apakah para perwakilan UMNO memilih mereka-mereka belum diuji kehebatannya ini? Apakah mereka yang dipilih ini mampu membantu Najib mengemudi UMNO selama satu penggal lagi?

Umum mengetahui, ketika ini UMNO tidak begitu popular di mata dan hati rakyat. Terutama kepada generasi muda yang ternyata muak dan jelik dengan UMNO. Buktinya di kebanyakkan tempat yang menjadi punca kekalahan ialah di saluran 4 dan 5. Khusus untuk pengundi muda dan baru.

Oleh yang demikian, untuk menjadikan UMNO terus relevan dan mnenang di pilihanraya akan datang, satu barisan kepimpinan padu dan kuat perlu diberikan kepada Presiden yang baru. Ia penting bagi memastikan rakyat kembali percaya sekaligus memberikan amanah kepada kerajaan Barisan Nasional bagi membentuk kerajaan.

Persoalannya mampukah barisan kepimpinan yang baru itu menjalankan amanah itu? Lihat sahaja barisan MT yang diwariskan kepada Datuk Seri Najib. Bukanlah niat untuk mempertikaikan keputusan tersebut, namun dimanakah kewarasan para perwakilan apabila memilih mereka-mereka yang tidak popular dan diragui kebolehan mereka mengalas satu amanah yang besar.

Sebagai contoh, ada Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dipilih adalah merupakan mereka yang kalah pada pilihanraya umum yang lalu. Tidak kurang juga ada di antara mereka yang kalah pemilihan di peringkat bahagian. Malah ada juga antara mereka yang dipilih itu adalah dari bahagian yang belum lagi mengadakan mesyuarat lantaran dari masalah dalaman yang gagal diselesaikan.

Maka, bagaimanakah mereka-mereka ini, yang GAGAL mendapat tempat di mata rakyat dan di tolak oleh ahli di peringkat cawangan dan bahagian ini mampu mengembalikan keyakinan rakyat secara keseluruhan? Apakah para perwakilan tidak melihat semua faktor tersebut ketika memangkah kertas undi?

Sekiranya ciri-ciri tersebut tidak diambil kira, maka atas faktor apakah mereka ini dinilai sekaligus diberikan amanah dan tanggungjawab yang dilihat cukup besar dan berat? Bukanlah niat untuk menyalahkan para perwakilan yang telah mengundi. Namun apabila diteliti kembali keputusan yang dibuat itu ia benar-benar perlu dikesalkan.

Sebagai contoh Shahir Samad dan Azalina Othaman adalah antara mereka yang cukup lantang dan begitu komited dengan kerja yang diberikan. Namun mereka ini telah disingkirkan. Sedangkan idea cara mereka bekerja dilihat mampu membantu Najib mengemudi negara sekaligus mengembalikan kepercayaan rakyat.

Tidak cukup dengan itu, seramai 4 menteri besar juga menjadi mangsa para perwakilan. Sedangkan ada dikalangan mereka yang dilihat begitu berjaya mengemudi negeri yang diamanahkan dari jatuh ke tangan pembangkang. Antaranya Adnan Yaakob yang dilihat begitu berjaya mentadbir negeri Pahang dari di robek oleh pembangkang pada pilihanraya yang lepas.

Ada juga yang berkata, pemilihan kali ini jelas membuktikan mereka yang memilih bukan berpandukan kepada kewarasan akal dan fikiran. Tapi lebih berpandukan kepada nilai dan beratnya wang yang diberikan. Bukan niat untuk menuduh, namun mungkin juga ada benarnya apabila melihat keputusan yang dibuat itu.

Tidak cukup dengan itu, terdapat hampir 110 kertas undi yang terpaksa ditolak oleh panel hakim, lantaran kesilapan mereka-mereka yang memangkah. Tidak cukup dengan itu, terdapatnya hampir 20 kertas undi yang tidak dikembalikan oleh mereka yang sanggup mendahulukan kehendak peribadi berbanding parti.

Adalah satu yang memalukan apabila mereka yang diberikan amanah untuk memilih kepimpinan negara mengambil sikap sambil lewa dan alpa tanpa memikirkan natijah dan kesan disebalik keputusan yang dibuat.

Masakan tidak UMNO yang telah bertapak hampir 51 tahun terpaksa menerima hakikat masih lagi terdapat mereka-mereka yang tidak matang dan berfikiran sempit. Namun begitu apakah mereka-mereka ini melakukannya dengan niat atau sengaja mahu memperjudikan nasib bangsa dengan tindakan sedemikian?

Kesimpulannya tiada gunanya berbicara soal perjuangan melayu, agama negara, sehingga hilang suara. Namun apabila diberikan tanggungjawab untuk memilih masih lagi mengunakan permikiran yang sempit.

Kuatnya Barisan Nasional adalah kerana kuatnya UMNO, maka seandainya UMNO tidak kuat bagaimanakah mahu mengembalikan keyakinan rakyat? Namun keputusan telah pun dibuat oleh para perwakilan UMNO. Walau apapun hujah yang diberi, yang menang tetap telah menang dan yang kalah harus menerima dengan hati yang terbuka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...