SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), cerita tentang Tentera Kacang Merah (Red Bean Army) banyak didedahkan. Mereka didakwa tentera komuniti siber peliharaan DAP dan melancarkan perang psikologi sejak PRU-12 tahun 2008.
Modus operandinya menyerang tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan Barisan Nasional (BN) atau kerajaan selain menceroboh akaun media sosial pihak lawan.
Daripada maklumat yang didedahkan di media juga, kewujudan tentera siber ini adalah satu strategi terancang dan bergerak sebagai satu pasukan.
Bagaimanapun setakat ini tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab membela tentera siber ini. Baru-baru ini kolumnis Mingguan Malaysia, Shen Yee Aun diugut ekoran pendedahan beliau mengenai Tentera Kacang Merah ini. Barangkali tentera siber ini bergerak tanpa membawa nama parti tertentu, supaya mereka dilihat natural padahal tidak.
Di pihak UMNO juga didakwa wujud apa yang diistilahkan sebagai tentera siber media baharu. Tetapi malangnya mereka dikacau oleh kelompok yang saya istilahkan sebagai blogger hantu raya. Difahamkan hantu raya ini dibela oleh individu tertentu untuk menonjolkan dirinya di gelanggang politik.
Bukan semua blogger pro-UMNO itu hantu raya. Banyak juga yang jujur dan tidak mengharapkan upah, mereka menulis kerana sayangkan UMNO walaupun yang ditulis tidak selalunya manis.
Tetapi kewujudan blogger hantu raya ini walaupun kecil tetapi telah memalitkan imej buruk kepada UMNO. Mereka ini bukan sahaja tidak ada strategi malah buruk dari segi etika dan peribadi serta tidak ada wibawa. Ada yang dibuang kerja kerana rasuah, kemudian dijulang menjadi blogger dan menyekutukan diri dengan UMNO.
Mereka cenderung mendedahkan sesuatu yang sensasi. Barangkali ini ada kena mengena juga dengan tahap mentaliti dan integriti. Mungkin amat sedikit atau langsung tidak ada kefahaman terhadap propaganda, hanya mahu upah yang berganda.
Ini antara faktor yang membuatkan seolah-olah tentera siber UMNO tidak bermaya, layu dan syok sendiri dengan isu remeh bertaraf seluar dalam.
Hakikatnya mereka bukan tentera siber UMNO. Mereka hanya hantu raya yang berpindah dari satu tuan kepada tuan yang lain bergantung kepada berapa telor ayam diberikan sebagai upah.
Saya percaya UMNO tidak serakus itu untuk berpolitik dengan cara bukan anak jantan. Sebaliknya ini hanya dilakukan oleh sesetengah orang yang mendakwa dirinya sebagai UMNO.
Pendedahan tentang Tentera Kacang Merah yang terperinci menunjukkan kita mempunyai maklumat lengkap. Ini sudah cukup baik.
Strategi mereka dalam tangan kita. Misalnya digerakkan secara berpasukan, bersepadu dengan perancangan yang rapi.
Tetapi sejauh manakah tentera siber kita belajar daripada Tentera Kacang Merah? Apakah langkah ke hadapan yang kita ambil untuk melancarkan perang psikologi yang lebih hebat?
Saya secara peribadi tidak yakin blogger hantu raya mampu bersilat dengan Tentera Kacang Merah yang strategis dan sangat licik ini. Maaf cakap, blogger hantu raya tidak ada strategi, jauh sekali psikologi.
Mereka hanya memikirkan poket supaya berisi, kebetulan pula ada sesetengah individu mudah diperdaya demi nafsu politik yang seluas lautan, tetapi akal hanya panjang sejengkal.
Kita perlu juga menyalahkan diri sendiri yang tidak mewujudkan tentera siber yang hebat. Tanpa bersetuju dengan pencerobohan dan pelanggaran etika, tetapi kita tidak dapat menafikan Tentera Kacang Merah berjaya mengalih persepsi rakyat kepada idealisme pembangkang. Alangkah ruginya kerana ruang siber yang sangat berpengaruh ini tidak dimanfaatkan untuk melestarikan kuasa politik Melayu-Islam di negara ini.
Kita menyediakan teknologi tercanggih dalam maklumat dan komunikasi tetapi alangkah malunya apabila pihak lain menggunakan untuk menjatuhkan kita. Maknanya kita tidak bijak menggunakan peluang.
Tentera Kacang Merah tumbuh dan berkembang kerana kelemahan kita. Saya sangat percaya UMNO bukanlah kolot dalam hal ehwal media sosial.
Daripada maklumat yang didedahkan di media, Tentera Kacang Merah menggunakan pelantar Facebook, Twitter, Instagram dan blog. Pelantar ini bukanlah eksklusif untuk Tentera Kacang Merah. Soalnya kenapa tentera siber UMNO tidak berjaya menguasainya? Inilah angkara blogger hantu raya.
Ketika era perang dingin Amerika Syarikat (AS) dengan Kesatuan Soviet, perang sebenar ialah perang psikologi melalui media. Tidak banyak serangan ketenteraan tetapi AS bertubi-tubi menyerang Kesatuan Soviet dalam media dan budaya popular yang dikuasainya. Filem, muzik dan isi kandungan program televisyen yang dipasarkan ke seluruh dunia berjaya mempotretkan sisi hitam Kesatuan Soviet dan sisi putih AS.
Kesatuan Soviet tidak mempunyai ruang memenangi perang psikologi kerana AS menguasai media dan budaya popular. Awal-awal lagi memberi peluang kepada AS untuk memahatkan doktrin sosialnya kepada generasi muda seluruh dunia. Kesatuan Soviet tidak ada ruang itu.
Tetapi tentera siber UMNO sekarang bukan berada pada kedudukan Kesatuan Soviet. Kita mempunyai apa yang Tentera Kacang Merah ada. Kita mempunyai duit. Kalau Tentera Kacang Merah dikatakan dibiayai berjuta-juta ringgit sejak lima tahun lalu, kita boleh buat perkara yang sama.
Secara relatifnya ia masih kecil berbanding bayaran kepada seorang penyanyi kuda mabuk, PSY dari Korea Selatan di Pulau Pinang tahun lalu. Lagi pun habuan kepada blogger hantu raya besar juga.
Jadi, apakah kurangnya tentera siber kita? Adakah hanya ada akal tidak ada duit, atau ada duit tetapi akal tidak cukup panjang?
No comments:
Post a Comment