04 February 2008

IKLIM POLITIK MALAYSIA DI LANDASAN YANG BETUL



PERLEMBAGAAN Persekutuan menetapkan pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.



Bagaimanapun, empat pilihan raya umum sebelum ini diadakan dalam tempoh 16 hingga 20 hari dari tarikh pembubaran Parlimen.

Pengalaman 11 kali mengadakan pilihan raya umum sejak tahun 1959 telah mematangkan proses perjalanan dan kelicinan jentera pilihan raya sehinggakan pilihan raya yang dilaksanakan di Malaysia dianggap sebagai antara yang paling selamat, sistematik dan telus di dunia.

Pada pilihan raya umum 1995, dengan jumlah seramai 9.7 juta pengundi berdaftar, Barisan Nasional (BN) memenangi 162 kerusi Parlimen, manakala pembangkang mendapat 30 kerusi. Di peringkat negeri, BN memenangi 338 kerusi, manakala 56 lagi dikuasai pembangkang.

Pada pilihan raya umum 1999 pula BN kembali membentuk kerajaan Malaysia walaupun jumlah kerusi Parlimen berkurangan kepada 148 berbanding 162 kerusi yang diperoleh pada tahun 1995.

Ini membuktikan pencapaian BN masih jauh lebih tinggi berbanding 129 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh satu majoriti dua pertiga.

Pada pilihan raya umum 2004, BN yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dipilih semula dengan mandat dan majoriti terbesar sejak tahun 1978 dengan kenaikan undi popular sebanyak 63.9 peratus.

Dalam sejarah pilihan raya Malaysia, sepanjang proses pemilihan diadakan belum terdapat krisis yang boleh membawa kepada pergolakan, pembunuhan, rusuhan dan sebagainya biarpun sekadar timbul pergaduhan kecil, kekacauan atau salah faham biasa ketika proses pemilihan calon pilihan raya.

Dibelenggu
Ini menandakan bahawa proses pilihan raya di Malaysia begitu unik dan pragmatik berbanding senario di Pakistan, Indonesia, Thailand dan sebagainya. Ketika ini Thailand masih lagi dibelenggu krisis politik biarpun proses pilihan raya umumnya selesai baru-baru ini.

Dalam catatan sejarah pilihan raya di negara kita, setakat ini belum ada pemimpin parti politik yang dibunuh atau diculik. Rakyat juga tidak perlu turun ke jalan untuk menuntut demokrasi atau dipaksa mengundi kerajaan sedia ada.

Tragedi dan konflik politik terbaru yang melanda Itali membuktikan proses pilihan raya di negara berkenaan menemui kegagalan. Presiden Giorgio Napolitano berkata, krisis politik negara itu gagal menemui konsensus selepas beberapa rundingan berikutan tumbangnya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Romano Prodi.

Keadaan ini berlaku apabila kerajaan campuran tengah-kiri pimpinan Prodi dan parti kecil yang berpaling padah sehingga menumbangkan kerajaan yang baru berusia 20 bulan sahaja. Ini adalah berikutan kecacatan sistem politik semasa yang menyebabkan keputusan yang berpecah-pecah di dalam Parlimen dengan kerajaan campuran yang tidak stabil dan bermasalah.

Oleh demikian, melihat kepada apa yang sedang dan telah berlaku di negara jiran dan di Barat sendiri membuktikan bahawa iklim politik Malaysia berada pada landasan yang betul dan diiktiraf dunia. Apa pun yang berlaku, masa depan Malaysia kini terletak kepada 10.8 juta pengundi yang bakal melaksanakan tanggungjawab mereka membuang undi pada pilihan raya umum kelak.

Di petik dari utusan.com.my
Oleh : MOHAMAD SOFEE RAZAK

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...