Raja Petra mengatakan undang-undang ISA tidak terdapat di dalam Islam, betul dan penulis bersetuju dengan kata-katanya itu. Memang tidak terdapat waima satu ayat sekalipun yang membenarkan penangkapan dilakukan sebelum seseorang itu di dapati bersalah. Tapi jangan pula terlupa di dalam Islam ada menyebut betapa perlunya pemerintah menjaga kemaslahatan semua kaum.
Sebagai contoh lihat sahaja apa yang terjadi di Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain yang tidak mengamalkan dasar ISA sering terjadinya perbalahan antara kaum. Isu-isu sensitif dimainkan kononnya atas dasar hak bersuara hingga menimbulkan ketegangan antara kaum gagal ditangani dengan sempurna dan sehingga kinipun mereka masih bercakaran antara satu sama lain.
Pembunuhan, tempat ibadat di bakar, penghapusan etnik dan sebagainya seakan menjadi fenomina biasa dan Isu-isu begini jika tidak segera dibendung bakal mengakibatkan masalah yang lebih besar dan rumit.
Di dalam sebuah negara Islam yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat yang berlainan fahaman dan anutan, adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk sentiasa menjaga dan mempertahankan dari sebarang perkara yang boleh memudaratkan negara dan disinilah fungsinya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam sejaran Islam sendiri, bermula daripada pemerintahan Rasulullah SAW sehinggalah kepada pemerintahan kerajaan Islam Othmaniyah orang-orang bukan Islam memperolehi hak yang sudah sedia terjamin oleh syariat kepada mereka. Oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk sentiasa menjaga perpaduan, keharmonian dan keselesaan antara semua kaum.
Oleh yang demikian tindakan kerajaan adalah sangat bertepatan, wajar dan selari dengan tuntutan Islam. Pada hemat penulis, mereka yang menentang ISA adalah terdiri daripada mereka yang gemarkan kepada situasi yang huru-hara dan kacau-bilau serta mereka yang gemar menguna dan membangkitkan isu-isu yang sensitif.
Rakyat yang cintakan keharmonian dan keamanan tidak pernah membantah waima menolak pengunaan undang-undang ini. Islam sebagai sebuah agama sekaligus ideologi sangat mementingkan perpaduan, ini dapat dilihat melalui perintah-perintah atau hukum-hukum dalam Islam. Contohnya konsep kenegaraan dalam Islam.
Firman Allah SWT : "Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil." (Al-Mumtahanah : 8)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Hendaklah kamu permudahkan, dan jangan kamu menyukarkan. Dan hendaklah kamu beritakan khabar gembira dan jangan kamu menakut-nakutkan".Raja Petra Penganut Islam yang Jitu???
Di dalam perenggan yang lain, Raja Petra menegaskan bahawa beliau adalah seorang penganut Islam yang jitu. Dalam ertikata lain, beliau mendakwa bahawa beliau merupakan penganut dan mengamalkan semua suruhan yang terkandung di dalam kitab Al-Quran dan Al-Sunnah.
Bukanlah niat untuk mempertikaikan keIslaman beliau, namun apa yang penulis musykilkan ialah, Kiranya benar beliau penganut Islam yang ‘total’, untuk apa beliau masih ke gereja di Petaling Jaya pada hari Ahad? Mengapa di dalam artikel-artikel sebelum ini beliau secara terang-terangan menghina dan mengolok-olokkan Islam? Mengapa Islam sering diperkecil-kecilkan dan dijadikan senda gurau oleh beliau?
Andaikata benar beliau mengamalkan gaya hidup Islam yang sebenar, ada baiknya beliau mentalbiahkan mereka yang dekat dengan beliau terlebih dahulu sebelum menjaja buruk pemimpin kepada masyarakat.
Pada hemat penulis beliau sepatutnya memastikan isteri dan anak perempuan beliau menutup aurat terlebih dahulu dan mengenakan pakaian yang lebih sopan serta tidak menjolok mata.
Firman Allah SWT :“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan Jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59) Nahi Mungkar
Sebagai seorang penganut Islam yang kononnya mengamalkan ‘amal maaruf nahi mungkar’ beliau sepatutnya tahu dan sedar dan takut akan dosa-dosa besar yang patut dielakkan.
Yang peliknya, beliau banyak sekali mencuaikan dosa-dosa besar yang telah disepakati oleh para ulama dan tidak pula memberi peringatan kepada manusia tentang dosa-dosa besar tersebut contohnya seperti :
1. Memfitnah- Seperti yang selalu dilakukan dalam tulisannya menerusi blog Malaysia Today.
2. Mengumpat atau mengata sesama muslim.
3. Mencari keaiban seseorang untuk dijadikan "pemanis bicara" mulut.
4. Menggunakan tempat-tempat kebajikan umum untuk kegunaan peribadi atau hizb.
5. Merancang tipu helah untuk menjatuhkan seseorang dari kalangan orang-orang mukmin atau orang-orang yang memarahi mereka.
6. Menyebarkan berita atau khabar angin yang salah semata-mata untuk memburuk-burukkan atau menentang lawannya.
7. Dengki yang diharamkan oleh hukum syarak.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : “Hendaklah kalian menjauhi berburuk sangka kerana berburuk sangka itu adalah sedusta-dusta perkataan, dan janganlah mencari-cari kesalahan, dan janganlah kalian mengintip, dan janganlah saling membenci, dan janganlah saling membelakangi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara.” (Hadith Sahih : Ahmad, al-Bukhari, Muslim dll, Sahih al-Bukhari – no: 6724 (Kitab Faraid, Bab Pengajaran tentang Faraid).Dari Ibnu Umar r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: “Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan samada dia suka atau tidak kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya” (Sahih Muslim : No. 3423).Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda : "Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas. (Sahih Muslim : 88)Allah s.w.t berfirman :“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Al-Quran 49 : 6).Allah s.w.t berfirman :“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” [Al-Quran 49 : 12].
Mentaati Pemimpin
Dari Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: “Sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka kepada aku maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhaka pemerintah maka dia telah derhaka kepada aku” (Sahih Muslim : No. 3417)Hadis Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda : “Akan terjadi berbagai fitnah, di mana pada ketika itu orang yang menjauhi fitnah lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik dari orang yang berjalan, manakala orang yang berjalan lebih baik dari orang yang melibatkan dirinya dengan fitnah tersebut, orang yang terlibat dengan fitnah tersebut akan mengalami kehancuran. Sesiapa yang menemui tempat berlindung maka hendaklah beliau berlindung dari fitnah tersebut.” (Sahih Muslim : 5136)Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang mendapati pemimpinnya melakukan perkara yang tidak disukainya, maka hendaklah dia bersabar sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan jemaah satu jengkal, maka matinya adalah dikira mati dalam keadaan jahiliah (Sahih Muslim : 3438)Nasihat Bukan UgutUntuk pengetahuan Raja Petra juga, penulis dan rakan-rakan di KPMU.net tidak langsung terniat untuk menghukum atau menjatuhkan hukuman kepada beliau. Kebanyakan tulisan tidak lebih hanya sekadar berniat untuk menegur di atas ketelanjuran yang di lakukan selama ini. Lantaran terlalu ghairah untuk menghentam dan mencari salah kerajaan sehingga terlupa untuk menutup dan menampal kelemahan yang ada di dalam diri.
Bukan itu sahaja malah, apa yang dapat teman nampak Raja Petra gagal memahami maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh rakan penulis hinggakan nasihat dan teguran dianggapnya sebagai cabaran. Yang menjadi kelucuan ialah, sebelum ini Raja Petra telah melabelkan kami sebagai ‘budak higusan’ yang tidak tahu mengunakan sudu garpu dan sangat tidak setanding dengan beliau.
Namun kini ternyata tulisan budak higusan ini telah berjaya mencuri perhatian beliau. Mengenai cabaran beliau kepada kerajaan untuk ditahan di bawah ISA pula, pada pendapat penulis hanya sekadar untuk mencari publisiti murahan dan menonjolkan dirinya sebagai ‘hero’.
Di masa yang sama, jika tindakan di ambil terhadap beliau secara senyap beliau dapat memperolehi impati dari pembaca dan bakal dijadikan sebagai modal dan isu untuk terus memburukkan kerajaan.
Cegah Sebelum Kena
Di dalam perenggan yang lain, Raja Petra ada mengatakan kiranya kita mempunyai niat untuk melakukan kebaikan maka kita akan memperolehi pahala dan andaikata kita melakukan kebaikan yang diniatkan itu, insyallah kita akan diberi pahala yang berganda dari Allah SWT.
Penulis bersetuju dengan pendapat ini, kerana ia disokong dengan hadis dari Nabi Muhammad SAW.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:"Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat pencatat amalan: Apabila hambaKu berniat ingin melakukan kejahatan, maka jangan lagi kamu menulisnya sebagai amalan kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah kamu menulisnya sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka catatkanlah sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya maka catatkanlah kebaikan itu sepuluh kali ganda.(Sahih Muslim : 183)Namun ada baiknya kita melihat isu ini dalam konteks yang lebih besar. Sebagai contoh anak kesayangan beliau telah memaklumkan kepada beliau, bahawa teman lelakinya telah mengajaknya untuk melakukan persetubuhan sebelum nikah (zina).
Maka apakah tindakan yang wajar di lakukan oleh beliau? Apakah duduk diam dan tunggu sehingga penzinaan itu berlaku baru di ambil tindakan atau mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum ia terjadi?
Sebagai manusia normal yang berfikiran waras, penulis yakin dan pasti Raja Petra akan mengambil langkah-langkah pencegahan dan tindakan yang sewajarnya untuk menghalang kejadian itu dari berlaku.
Bukankah di dalam Islam juga ada mengatakan “mencengah adalah lebih baik dari mengubat”. Oleh yang demikian penulis merasakan tindakan mengenakan akta ISA adalah sebagai satu langkah `pencegahan’ daripada perkara lebih buruk dari berlaku.
Dan sebab itulah, langkah yang di ambil oleh kerajaan mengenakan ISA itu dirasakan amat bertepatan dengan apa yang telah di sarankan oleh Islam terutamanya dalam masyarakat majmuk seperti di negara kita Malaysia.Adakah RPK ingin melihat apa yang berlaku kepada negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Palastin dan sebagainya lagi berlaku juga kepada negara kita. Peristiwa perbalahan kaum pada 13 Mei 1969 telah membuktikan bahwa ISA menjadi penyelamat daripada tragedi berdarah itu terus melarat.