30 May 2012

Harussani vs Nik Aziz : Antara Hujah dan Sikap


MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ternyata kecewa dengan pendekatan kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap melampau kerana menolak muzakarah dengan UMNO. Hakikatnya, jika sesiapa yang mengkaji perjalanan politik Nik Abdul Aziz sejak menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990 dan kemudiannya Mursyidul Am mereka pasti tidak akan terkejut dengan tingkah laku dan pendekatan politik beliau.

Nik Abdul Aziz sememangnya sejak dulu lagi dilihat berdendam dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) apabila beliau menganggap parti tersebut telah 'menendang keluar' Pas daripada komponen itu pada 1978. Peristiwa yang berlaku 34 tahun lalu seolah-olah terbuku mendalam di hati Nik Abdul Aziz, oleh itu beliau dilihat cukup tidak selesa jika ada mana-mana pihak cuba merapatkan hubungan dengan UMNO. Sebab itulah Nik Abdul Aziz dilihat menentang usaha penubuhan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas.

Beliau yang mencadangkan supaya Pas mengadakan muktamar khas bagi membincangkan perkara itu dan akhirnya pada 28 Oktober 2009, mesyuarat khas Jawatankuasa Pas pusat memutuskan isu kerajaan perpaduan ditutup sepenuhnya. Keputusan itu merupakan tamparan kepada orang Melayu yang begitu teringin melihat dua parti Melayu duduk semeja bagi membincangkan mengenai perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Tetapi mereka tidak boleh berkata apa-apa kerana Nik Abdul Aziz sememangnya agak 'alergi' apabila ada mana-mana pihak menyentuh soal muzakarah dengan UMNO. Sebab itulah apabila tercetusnya isu tersebut baru-baru ini, Nik Abdul Aziz meletakkan syarat bahawa muzakarah tersebut hanya membincangkan kenapa UMNO menolak Islam.

Beliau bagaimanapun menarik balik hasrat itu atas alasan mengikut pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak bersetuju dengan langkah berkenaan. Namun begitu kita tidak harus lupa bahawa Nik Abdul Aziz acap kali menyerang UMNO seolah-olah parti itu benar-benar menolak Islam. 

'Serangan' Nik Abdul Aziz terhadap UMNO dalam soal tolak Islam ini bukan baru tetapi sudah berlaku sejak sekian lama, cuba kaji dua kenyataan ini yang dibuat oleh beliau;

"UMNO tetap parti sekular kerana asas perlembagaannya tidak merujuk al-Quran dan Hadis." - (Harakah, 22 Februari 1999) dan "Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO. Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur. Bertengkar atas muka tak habis-habis dengan Melayu sendiri boleh bertengkar." - (Sidang akhbar di Pulau Pinang pada 17 Ogos 2009.)

Kaji juga apa kata beliau di Permatang Pasir pada 17 Ogos 2009, "Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka."

Oleh itu selagi Nik Abdul Aziz terus mempunyai pendirian bahawa UMNO menolak Islam maka selagi itulah langkah untuk mengadakan muzakarah apatah lagi mencari titik persefahaman antara UMNO dan Pas tidak akan berjaya.

Nik Abdul Aziz dilihat tokoh paling berpengaruh dalam Pas dan ia dikatakan mengatasi pengaruh Abdul Hadi sendiri, biar pun bekas Menteri Besar Terengganu itu adalah Presiden Pas. Justeru ramai yang melihat selagi Nik Abdul Aziz dengan pendiriannya maka sudah pasti usaha untuk mencari titik persefahaman antara UMNO dan Pas tidak akan berhasil. Ini kerana Nik Abdul Aziz dianggap oleh ramai pihak sering berhujah sesuatu perkara itu berlandaskan kepentingan politik Pas bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Mursyidul Am itu juga dilihat hanya berani menyanggah UMNO dalam soal Islam tetapi tidak begitu tegas apabila DAP menentang sebarang usaha Pas untuk melaksanakan hukum hudud atau menubuhkan negara Islam. Ini jelas apabila Nik Abdul Aziz tetap mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP biar pun mereka melakukan perkara yang mengguris perasaan umat Islam, ia termasuklah mempertikaikan langkah melarang umat Islam menyambut Hari Kekasih dan menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel.

Hujah Nik Abdul Aziz ketika itu ialah, Islam merupakan agama yang bersifat tahaluf (kerjasama), justeru tidak ada keperluan untuk Pas mengkaji semula hubungannya dengan pakatan pembangkang.
"Tak boleh, tak boleh. Agama Islam itu tahaluf yang diguna sendiri oleh Nabi Muhammad SAW. Saya tidak setuju langsung (desakan agar Pas kembali ke perjuangan asal dan mengkaji balik hubungan dengan pakatan pembangkang). Malah saya nak minta UMNO ubah dasar dia daripada kebangsaan kepada Islam. Tak pasal-pasal ambil kebangsaan yang bukan cara Nabi Muhammad SAW tetapi ajaran mat salleh Eropah."

Itulah hujah Nik Abdul Aziz yang sudah pasti akan dipersetujui oleh penyokong-penyokong tegar Pas, tetapi cuba kaji apa pula hujah Pengasas Pondok Getting, Tumpat, Abdullah Sa'amah ketika ditanya mengenai tuduhan UMNO memperjuangkan nasionalisme dan bukannya Islam.

Jawapan Abdullah ialah, ''Itu adalah penipuan kepada orang jahil, perjuangan nasionalis ini terbahagi kepada dua. Kalau hanya tertumpu semata-mata semangat nasionalis tak terdidik kepada Islam dan hak orang Islam, itu memang tak boleh sungguh. Nasionalis yang begitu tak boleh, sedangkan UMNO bukan macam itu. Kita dengan Cina, kita 80 (peratus) dia 20 (peratus), hak kita 80 pun kita kikis bagi dia banyak.

''Lagi pun UMNO memajukan seluruh rakyat memberi hak kepada seluruh rakyat dan UMNO menjaga Islam, bukan menjaga kezaliman. Jadi nasionalis seperti itu Nabi pun suruh, 'bermula dengan ketua negara Islam itu mesti berbangsa Quraisy.' Kalau bangsa Quraisy ini dia jaga Islam, kepentingan orang Islam. Ijmak ulama mesti lantik ketua negara Islam ini dari kalangan orang Islam untuk jaga Islam dan orang Islam. Ini bukan soal nasionalisme yang tidak dibolehkan. Ini nasionalis yang terpuji.
''Maka UMNO melakukan sifat kebangsaan yang terpuji, cuma penipuan Nik Aziz dan orang Pas sahaja salah. Yang sebenarnya dia itu yang berdosa, dia tolong kaum dia walaupun zalim, PR (Pakatan rakyat) dia tolong walaupun hancurkan orang Islam."

Namun apa pun kita percaya, kenyataan Harussani dan Abdullah akan disanggah oleh pemimpin dan penyokong Pas kerana bagi mereka hanya hujah Nik Abdul Aziz sahaja yang betul, bagaimanapun dalam masa yang sama Mursyidul Am itu juga perlu diperingatkan bahawa tindakan beliau yang seolah-olah tidak mahu berdamai dengan UMNO demi kepentingan Islam adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri.

Sebab itulah Harussani menegaskan, "Seharusnya kita kena bersedia untuk bermuzakarah pada bila-bila masa sahaja kerana dalam bab politik kita memang boleh bercanggah pendapat tetapi tidak dalam agama Islam. Tidak kira kerajaan atau pembangkang, kita kena jaga perpaduan antara sesama umat Islam dan bukan hanya pentingkan 'kerusi' sahaja." 

Tetapi itulah keadaan Pas sekarang yang disifatkan oleh Abdullah 'sudah rosak'. Siapa yang menyebabkan Pas jadi begitu? Mereka yang mengikut perkembangan politik parti itu pasti tahu jawapannya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...