Berita mengenai kesihatan bekas Menteri Besar
Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang dikatakan semakin pulih selepas menerima
rawatan hampir 3 bulan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sedikit sebanyak berjaya
mencuri perhatian beberapa pemerhati politik negara ini.
Azizan sebelum ini dilaporkan berada dalam
keadaan kritikal ekoran kompilasi diabetis yang dihadapi sehingga menyebabkan
kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong. Ekoran faktor kesihatannya itu juga,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu dikatakan berhasrat untuk
meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.
Berita mengenai peletakan jawatannya sebagai ADUN Sungai
Limau hangat diperkatakan, malah ia menjadi semakin hebat apabila Barisan Nasional
(BN) berjaya mempertahankan kemenangannya ketika pilihanraya kecil Kuala Besut
baru-baru ini. Namun berita mengenainya sepi seketika apabila rakyat yang
beragama Islam sibuk dengan persiapan bagi menyambut hari Lebaran yang mulia.
Namun laporan media mengenai perpindahan Azizan ke
Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) semalam kembali menghangatkan suasana. Menurut
sumber yang dipercayai pada ketika ini telah wujud beberapa desakan bagi
meminta bekas menteri besar itu melepaskan jawatannya.
Selain menggunakan faktor kesihatannya yang
tidak mengizinkan, mereka dikatakan menggunakan alasan kegagalan Azizan untuk
mengangkat sumpah dan hadir sidang DUN Kedah akan menyebabkan kerusi tersebut
dianggap kosong. Ia sekali gus akan membolehkan Speaker DUN Kedah, Datuk Rozai
Shafian meminta Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil.
Menurutnya Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah,
semua ADUN perlu mengangkat sumpah dalam tempoh 3 bulan bermula dari Sidang DUN
yang pertama. Menurut rekod, tempoh tersebut akan berakhir pada 23 September
2013.
Manakala menurut fasal 53 pula, jika mana-mana ahli bagi Dewan Negeri
tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali
mesyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong.
Namun apa yang paling memeranjatkan ialah, gerakan
untuk meminta Azizan meletakan jawatan itu bukannya datang dari desakan Umno
dan BN, namun ia dikatakan datang dari pemimpin Pas sendiri. Malah ada suara-suara yang mengatakan, pada
ketika ini beberapa pemimpin Pas di peringkat kawasan sedang sibuk melobi agar
diberikan peluang untuk menjadi calon parti itu bagi menggantikan Azizan
sekiranya pilihan raya kecil diadakan dalam masa yang terdekat.
Uumum mengetahui hubungan Azizan dengan beberapa
pemimpin Pas negeri Kedah yang sentiasa ‘berlaga
angin’. Malah sejak awal tahun lagi, telah ada suara-suara dari kepimpinan
negeri yang mendesak agar Azizan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan
Pesuruhjaya Pas Negeri.
Sebagai contoh sebelum pilihan raya
umum yang lalu, politik Kedah digemparkan dengan desakan sekumpulan ahli Pas
dari kawasannya DUN Sungai Limau agar beliau meletakkan jawatan. Mereka antara
lainnya mengatakan Azizan sebagai 'nakhoda
kapal yang sedang mabuk laut' ekoran tindak tanduknya yang didakwa
mengundang perpecahan dalam parti.
Malah ada di kalangan ahi Pas yang mengatakan Azizan
perlu berundur kerana menghadapi masalah kesihatan dan tidak layak menjadi
tonggak dalam menghadapi cabaran getir pilihanraya yang lalu.
Tambah malang lagi, apabila Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini juga turut dikatakan menjadi dalang kepada usaha mendesak Azizan berundur. Malah pernah satu ketika 11 daripada 15 DUN Pas kawasan di Kedah dikatakan mahu beliau melepaskan jawatan tersebut.
Walaupun ada yang mengatakan kegagalan Azizan
mempertahankan Kedah pada PRU yang lalu, adalah merupakan sebab utama untuk
beliau mengundurkan diri. Namun rata-rata pemerhati politik berpendapat desakan
ini berpunca dari sikap Azizan yang dikatakan yang 'mesra' UMNO dan BN.
No comments:
Post a Comment