31 August 2013

Artis Nafi Hina Islam, 'I for Idiot' Dirujuk Pada George Bush




Karya seni I is for Idiot (I untuk bahlul) yang dirampas polis kerana didakwa menghina Islam sebenarnya merujuk kepada peristiwa serangan Amerika Syarikat (AS) di Iraq semasa pentadbiran Presiden George W Bush, jelas senimannya. Justeru, kata Anurendra Jegadeva, beliau tidak berniat menghina Islam tetapi menunjukkan pendirian berbeza sebagai kebersamaan dengan "warga jalanan Iraq", yang kebanyakannya orang Islam.

Beliau juga menjelaskan ayat al-Quran yang digunakan sebagai mewakili rakyat Iraq. Ia juga diterbalikkan bagi menggambarkan keadaan dunia ketika itu.


"Perkara ini dilakukan, dengan niat, untuk menggambarkan keadaan dalam sejarah dunia apabila semuanya dilihat secara terbalik," katanya.

"Oleh itu, dalam kes menterbalikkan ayat itu, tiada sebarang niat jahat atau nakal dengan sebarang cara untuk menghina atau memperkecilkan agama," katanya dalam kenyataan.

Polis semalam mengambil sebuah karya Anurendra yang dipamerkan dalam pameran M50 Selamat Hari Malaysia untuk siasatan terhadap dakwaan menghina agama.

I is for Idiot sebahagian daripada siri karya 'ABC For The Middle-Age Middle Classes' (ABC untuk kelas menengah Zaman Pertengahan), diambil daripada Publika Mall, tempat ia dipamerkan.

Difahamkan laporan polis dibuat semalam terhadap I is for Idiot atas dakwaan menghina Islam, antaranya berhubung tulisan bismillah dalam bahasa Arab.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...