Sejak 15 Julai 2013 lalu telah bermulalah mesyuarat
peringkat cawangan Umno yang melibatkan 21,056 cawangan di semua peringkat.
Manakala pada 15 September 2013 pula bakal menyaksikan jumlah keseluruhan
cawangan yang berjaya menunaikan tanggungjawab tersebut bagi melayakkan mereka
menghantar perwakilan ke peringkat bahagian.
Namun belum pun tarikh tersebut berakhir,
telah mula kedengaran suara-suara yang tidak berpuas hati dengan pendekatan
Umno untuk menggunakan ‘format baru’
berdasarkan beberapa pembaharuan yang telah dibuat dalam Perlembagaan parti.
Dikatakan juga pada ketika ini ramai di
kalangan ketua-ketua cawangan dan kepimpinan sayap seperti Wanita, Pemuda dan
Puteri mula merungut kerana pendekatan tersebut telah menyebabkan mereka gagal mengadakan
mesyuarat kerana tidak mempunyai korum yang mencukupi.
Malah pihak media sebelum ini juga turut
melaporkan hampir 50 peratus sayap Puteri Umno di Kelantan dikesan tidak dapat
mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan berikutan masalah yang sama. Manakala
situasi sama turut berlaku pada sayap Pemuda apabila dilaporkan hampir 30
peratus gagal untuk bermesyuarat.
Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak
sebelum ini turut menegaskan format baru
itu mencabar dan begitu kompleks kerana melibatkan jumlah perwakilan yang amat
besar. Ini kerana pemilihan pucuk kepimpinan tertinggi pada kali ini akan melibatkan
hampir 150,000 perwakilan di 191 bahagian Umno seluruh negara.
Ada yang mengatakan format baru ini sedikit sebanyak akan menyebabkan pimpinan pakatan pembangkang
menggunakan isu ini untuk memburukkan parti. Namun dari satu segi ia adalah
merupakan satu pendekatan yang berkesan untuk membolehkan parti keramat untuk
orang Melayu melakukan proses pemutihan.
Sebagai contoh, cawangan di bandar-bandar ada
yang masih tidak mempunyai bilik gerakan. Malah ada di kalangan mereka yang
sengaja menubuhkan cawangan-cawangan baru yang tidak mempunyai cukup kuorum
atau lebih dikenali sebagai cawangan
bunian.
Selain daripada itu, ada juga di kalangan
ketua-ketua cawangan yang langsung tidak mengenali ahli-ahli mereka. Sehingga menyebabkan
ada segelintir ahli yang merasa terpinggir
dan dianaktirikan mula beralih untuk
menyokong pakatan pembangkang. Bukan kerana mereka menyokong ideologi
pembangkang, tetapi lebih kerana sakit hati dengan sikap dan perangai
segelintir pemimpin Umno baik di peringkat cawangan mahupun bahagian.
Malah menurut kajian yang dilakukan juga,
atas sebab itu juga telah banyak peti-peti undi khususnya di kawasan bandar
gagal diselamatkan. Bukan niat untuk menyalahkan ketua-ketua cawangan, namun
itulah antara hakikat yang perlu diterima. Kerana cabaran politik pada ketika
ini amat berbeza dengan pendekatan dahulu.
Contohnya dahulu, kawasan seperti Pandan,
Ampang, Sungai Penchala, Kampung Lindungan di Sungei Way serta Kampung Medan,
Kampung Jaya serta Kampung Sentosa di Jalan Kelang Lama, merupakan penempatan
setinggan. Ketika itu ahli-ahli cawangan UMNO di situ boleh mencapai 200 hingga
300 orang. Tetapi sejak berpindah ke rumah-rumah flat, cawangan-cawangan tadi
hampir lupus.
Oleh yang demikian, amatlah wajar untuk
kepimpinan bahagian mula mengerakkan kempen untuk menyemarakkan semula aktiviti
cawangan-cawangan. Kalau belum ada cawangan di situ, wujudkanlah. Perlu ada
cawangan-cawangan baharu seperti mana diinisiatifkan oleh ahli-ahli veteran
parti di Selangor semasa kempen PRU-13 lalu.
Malah selepas proses pemutihan ini kembali
dilaksanakan, ia secara tidak langsung akan membolehkan kepimpinan cawangan
mengenal pasti ahli-ahli mereka yang benar-benar komited. Kewujudan mereka juga
dapat dikesan dengan mudah, sama ada masih dapat dihubungi atau telah berpindah
kawasan.
Ini kerana penubuhan cawangan memberikan makna
yang cukup signifikan kepada UMNO. Hakikatnya, UMNO perlukan satu sistem
pengkaderan yang baik dan memerlukan pekerja sepenuh masa dalam menjaga hal
ehwal parti. Sehinggakan ada yang mengatakan, apa yang diperlukan oleh parti
ialah mereka yang dikenali sebagai ‘orang
Umno’ dan bukannya ‘ahli Umno’.
Tidak cukup hanya setakat ketua bahagian,
pegawai menteri dan calon-calon tertentu di-groom,
diberi kedudukan yang baik dan akhirnya menjadi calon pilihan raya. Tetapi peranan
sayap di dalam UMNO juga perlu serius menyediakan pelapis terbaik, di peringkat
cawangan lagi dalam menghadapi duri dan ranjau Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
Namun di sebalik semua masalah yang dihadapi
itu, akan membolehkan parti ini terus mantap dan kuat dalam menghadapi semua
cabaran yang mendatang khususnya dari makhluk yang bernama Anwar Ibrahim.
No comments:
Post a Comment