22 August 2013

Kira Selesaikah Sekadar Memohon Maaf?




Oleh Fauziah Arof

"DIA sudah meminta maaf. Dia minta maaf kepada semua kaum wanita tahu tak? Bila orang sudah meminta maaf, maafkanlah dia. Inikan Hari Raya." Itu kata-kata seorang rakan lelaki yang tiba-tiba masuk mencelah perbualan saya dan beberapa rakan wanita lain apabila kami membincangkan mengenai kenyataan maaf seorang penjawat awam yang kesnya kini dibawa ke mahkamah setelah aksinya memukul bertubi-tubi dan menendang isteri di depan anak-anak dirakamkan di dalam lif di sebuah hospital.

Rakaman yang telah tersebar luas di media-media sosial itu memang menggemparkan semua. Satu Malaysia boleh menyaksikan bagaimana seorang wanita disepak terajang oleh seorang lelaki hingga keluar lif. Dan apabila kenyataan maaf dibuat oleh lelaki yang dituduh memukul sehingga mendatangkan kecederaan wanita itu di luar mahkamah, sudah tentu ia menimbulkan banyak reaksi dan persepsi yang bermacam-macam.


Sebagai ahli masyarakat yang menyaksikan rakaman tersebut, soal mencampuri urusan rumahtangga orang lain bukan lagi menjadi isunya apabila melihat tangan dan kaki digunakan untuk menyakiti tubuh badan wanita tersebut. Ini adalah soal keganasan yang membabitkan soal nyawa dan keselamatan yang perlu diberi perhatian.

Namun, saya tidak mahu mengulas panjang mengenai kes ini. Sudah jadi kes mahkamah. Biarlah ia diselesaikan melalui peruntukan undang-undang. Kita biarkan mahkamah yang arif menentukan nasib si suami ini. Dan biar apa yang berlaku menjadi iktibar kepada pasangan berkenaan dan kita semua.

Yang menjadi isunya sekarang, kes-kes yang membabitkan keganasan dan penderaan wanita dikatakan semakin meningkat dan cara mangsa-mangsa itu disakiti memang tidak berperikemanusiaan. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, kes keganasan terhadap wanita di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus apabila 2,576 kes dilaporkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 2,295 kes bagi tempoh sama tahun lalu.



Peningkatan tersebut membimbangkan kerana jenayah berkenaan tidak mengenal mangsa sama ada wanita dewasa mahupun kanak-kanak perempuan. Kini kita pun sudah biasa mendengar, kes-kes keganasan suami memukul isteri dengan macam-macam objek tali pinggang, kayu, besi atau dengan menyimbah asid, ada yang tergamak membakar isteri, membelasah teruk teman wanita dengan tangan, tukul dan macam-macam lagi.

Ini adalah satu penyakit yang amat serius di mana wanita dan anak-anak kecil dijadikan tempat untuk lelaki yang sering dikaitkan dengan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi berbanding wanita, untuk melepaskan perasaan marah. Jika hendak mengajar pun, patutkah sampai kaki dan tangan naik ke tubuh badan seorang wanita? Apatah lagi seorang isteri sepatutnya dilindungi oleh suaminya daripada segala ancaman. Justeru mana-mana kes keganasan terhadap wanita tidak sepatutnya didiamkan. Ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa agar kita tidak menghalalkan perbuatan seperti ini.

Mungkin ada banyak lagi kes keganasan yang dipendamkan atas sebab rasa sayang, takut atau menyerahkan nasib kepada takdir. Inilah masalahnya. Mangsa sendiri yang seolah-olah menggalakkan lelaki yang tidak dapat mengawal perasaan marah ini bertindak dengan sesuka hati. Mereka ini hanya berani menunjuk kuat dan berlagak samseng pada wanita dan kanak-kanak.

Justeru Program Respek Wanita yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diharapkan memberi kesan yang positif dan dapat mengekang kes jenayah keganasan terhadap wanita. Sebelum-sebelum ini pun, kita sudah ada banyak kempen kesedaran yang membabitkan penderaan.

Tetapi itulah, berapa banyak pun kempen kesedaran yang diadakan oleh kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tidak kiralah program kesedaran mengenai penderaan, pencegahan jenayah atau kempen jalan raya, ia selalunya dipandang remeh oleh kebanyakan daripada kita. Sebabnya, tentulah tiada kepentingan dan tidak kena pada batang hidung sendiri.

Dan banyak kes lain yang bukan membabitkan kes penderaan pun tidak boleh dianggap selesai bila orang yang melakukan perbuatan itu atau mengeluarkan kenyataan yang sensitif yang menyentuh kepentingan mana-mana kaum di negara ini misalnya, meminta maaf. Jika semuanya boleh selesai dengan cara minta maaf, apa perlunya undang-undang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...