22 August 2013

Peranan Wanita Terus Dihargai



Peranan wanita selaku pejuang dan pemimpin terus dihargai kerajaan apabila empat pemimpin Pergerakan wanita UMNO dilantik ke beberapa jawatan penting negara. Langkah ini memberi peluang kepada wanita untuk berada di kedudukan membuat keputusan yang memberi impak positif khususnya dalam membuktikan kemampuan wanita membuat sumbangan besar kepada bangsa, agama dan negara.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bagi Pembangunan Usahawan Wanita dan Ikhtisas; serta Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar sebagai Ahli Majlis Tertinggi bagi mengisi kekosongan bekas Naib Ketua pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman dilantik sebagai Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tidak ketinggalan, Exco Wanita UMNO, Datuk Jamelah A. Bakar sebagai Ahli Lembaga Pengarah KUB Malaysia Berhad. Sudah tentunya, pemimpin-pemimpin Wanita UMNO ini memberi sumbangan yang bukan sedikit kepada kerajaan dan negara.

Ini kerana di dalam mana-mana pilihan raya kecil atau pun umum di negara ini, Wanita UMNO sentiasa berada dekat dengan kerajaan. Mereka sentiasa ke hadapan dalam melakukan kerja-kerja turun padang dan memberi penerangan kepada orang ramai mengenai dasar-dasar kerajaan.

Selain kerajaan menunaikan janjinya mengangkat peranan wanita dalam proses kemajuan dan pembangunan negara, langkah ini diharap membakar semangat wanita dalam setiap sektor di negara ini mengejar impian dan mencapai potensi tertinggi mengikut kemampuan mereka.

Kerajaan sentiasa memberi laluan terhadap kemajuan wanita dalam pelbagai sektor dengan tumpuan khas kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015). Ini termasuk meningkatkan penyertaan wanita dalam pekerjaan kepada 55 peratus pada 2015.Sehingga kini hanya 49 peratus golongan wanita berada dalam bidang pekerjaan pada masa ini.

Justeru tentu banyak yang perlu dilakukan untuk menarik golongan wanita bekerja memandangkan bakat dan pendidikan mereka yang tinggi seharusnya tidak disia-siakan.

Bukan sahaja mengharapkan kerajaan, semua pihak tidak kira dalam apa jua sektor perlu bersama memperakui kemampuan wanita untuk berjaya dalam pelbagai bidang dan tidak lagi terbatas kepada kerja-kerja tradisional di rumah dan dapur sahaja.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...