22 August 2013

Melindungi Penyiar Semula Fitnah



Oleh Salleh Buang

Di bawah common law, setiap fitnah yang disiar semula adalah satu fitnah yang baru. Atas prinsip ini, apabila media cetak (kini termasuklah media baharu) melaporkan atau menyiarkan semula fitnah asal yang diucapkan oleh orang lain, media tersebut juga boleh disaman oleh plaintif kerana memfitnah dirinya.

Sepatutnya plaintif (yang mendakwa dirinya telah difitnah itu) mengambil tindakan undang-undang menyaman pembuat fitnah utama (pihak yang pertama kali mengucapkan kata-kata yang memfitnah itu). Apa yang berlaku sekarang, terutama di negara kita, plaintif memilih untuk menyaman penyebar semula (media cetak atau media baharu) bahan yang didakwa memfitnah itu, dan kadang kala, langsung tidak menyaman pembuat fitnah utama.


Pada Mac lalu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnian Taib dipetik sebagai berkata bahawa pemimpin politik pakatan pembangkang hanya pandai mendabik dada kononnya mereka memperjuangkan kebebasan media. Hakikatnya adalah sebaliknya. Merekalah yang sering menyaman media, walaupun media hanya berperanan menyiarkan semula bahan asal yang diucapkan oleh pihak lain.

Pada Julai 2012 lalu, dalam satu rencana saya yang telah pun disiarkan di akhbar ini (sila lihat “Saman Media: Perbaharui Akta Fitnah, “Utusan Malaysia, 16 Julai 2012), saya ada menyuarakan soalan - “Apakah trend saman menyaman media ini sesuatu yang sihat dan selaras dengan kebebasan akhbar (press freedom)?" Saya tidak menyatakan media mesti diberi 100 peratus kebebasan menyiarkan apa sahaja yang ia suka, tak kira sama ada ia benar atau tidak, jujur atau ada malice (niat jahat), menjejaskan reputasi orang lain atau pun tidak.

Kita sedia maklum bahawa kebebasan akhbar kita adalah sesuatu yang terhad, bukan mutlak. Undang-undang utama negara kita, Perlembagaan Persekutuan telah pun menggariskan batasan dan sempadannya dalam Perkara 10. Masalah kita bukan peruntukan Perlembagaan. Masalah kita adalah Akta Fitnah 1957 kita yang nyata sudah lapuk dan tak relevan lagi di kurun 21. Pada asalnya dipadankan kepada undang-undang Inggeris lama (Akta Fitnah mereka pada tahun 1952), undang-undang kita yang masih belum diperbaharui ini jelas sudah ketinggalan zaman.

Di beberapa negara Barat misalnya, andainya ada media yang disaman oleh figura awam (tokoh politik, artis, celebrity dan sebagainya), pengamal media ada menikmati suatu hak pembelaan yang dinamakan responsible journalism (kewartawanan yang bertanggungjawab). Malangnya, perlindungan serupa itu tidak wujud di negara ini.

Pada 2009, Mahkamah Agung Kanada ada menyatakan bahawa undang-undang fitnah berasaskan common law tidak sewajarnya terus dipakai. Dalam kes Grant v. Torstar Corp. (2009) SCC 61, Mahkamah itu memutuskan bahawa had dan batasan kebebasan bersuara di negara itu hendaknya tidak terlalu luas hingga mengekang kebebasan bersuara.

Selaras dengan pengiktirafan pembelaan responsible journalism ini, undang-undang fitnah di beberapa negara lain (termasuklah di Britain, Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat) turut diperbaharui dan dikemas kini. Usaha pembaharuan serupa itu belum dijalankan lagi di negara kita.

Baru-baru ini saya menemui satu lagi penambahbaikan atau pembaharuan undang-undang fitnah di negara Barat, dipanggil fair reporting privilege (mula diiktiraf oleh Mahkamah di Amerika pada tahun 1964 dalam kes New York Times Co v Sullivan) dan kemudian dikembangkan lagi menjadi neutral reporting privilege (diiktiraf dalam kes Edwards v National Audibon Society Inc. pada tahun 1977).

Apa yang hendak ditekankan di sini adalah apabila media secara jujur, berhati-hati, penuh tanggungjawab dan tidak berat sebelah, tanpa tokok tambah, melaporkan (menyiarkan semula - republish) bahan yang diucapkan oleh pihak lain (pihak pertama yang dikatakan memfitnah plaintif itu), pengamal media berkenaan (termasuk majikan dan organisasinya) diberi perlindungan undang-undang, kerana ia hanya sekadar melaporkan secara betul dan jujur apa yang diucapkan pertama kali oleh pihak lain.

Perlindungan ini merupakan satu kecualian (exception) kepada prinsip asal common law bahawa setiap penyiaran semula fitnah adalah satu fitnah yang baru. Intipati pembelaan neutral reporting privilege ini (juga diberi nama neutral reportage) adalah jika seorang penyiar semula (republisher) seperti akhbar atau blog menyiarkan semula bahan yang didakwa memfitnah itu secara jujur dan neutral, tanpa menyatakan atau memberi implikasi apa yang disiarkan semula olehnya itu betul, penyiar semula itu sepatutnya diberi perlindungan daripada disaman oleh plaintif.

Pembelaan ini mestilah memenuhi dua syarat - apa yang disiarkan semula itu dibuat secara tidak berat sebelah (neutral), dan perkara yang disiarkan itu adalah menepati kepentingan awam.

Di negara kita, disebabkan undang-undang fitnah kita masih lagi ditakuk lama, dan pembelaan neutral reportage ini belum pun pernah (setakat yang saya tahu) dibangkitkan di mahkamah, apa yang berlaku adalah apabila seorang figura awam merasa dirinya difitnah oleh pihak lain, pihak yang disaman olehnya adalah media yang menyiarkan semula bahan yang didakwa memfitnah itu, bukan menyaman pihak yang mengucapkan kata-kata yang memfitnah itu.

Misalnya pada 24 Januari 2012 lalu, beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (termasuk Ezam Mohd. Noor) telah mencabar Anwar Ibrahim untuk menyaman mereka kerana mendedahkan isu moral Ketua Pembangkang itu. Mengikut Ezam, dia hairan kenapa Anwar hanya berani menyaman media seperti Utusan Malaysia sedangkan dia dan rakan-rakannya yang awal mendedahkan persoalan moral Anwar secara terang-terangan kepada umum.

Pada Ezam, tindakan Anwar menyaman media massa lebih bersifat gimik politik dan bukan untuk mempertahankan kebenaran “kerana Ketua Pembangkang itu sebenarnya takut berdepan dengan kebenaran". (sila lihat “Kenapa Anwar tak saman kami", Utusan Malaysia 25 Januari 2012).

PENULIS ialah penganalisis undang-undang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...