21 August 2013

Mencari Perpaduan Melayu Atau Jong Pecah Yu Kenyang...




PRU-13 telah selesai. Perasaan hiba merasuk fikiran orang Melayu. Banyak orang menyangka selepas PRU-12 yang menghanyutkan Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perak dan Selangor kepada pembangkang dan kehilangan suara dua-pertiga di Parlimen tentulah Melayu insaf dan kembali bertaut menyokong UMNO.

Mereka sokong, tapi nampaknya sokongan membawa rebah lagi. DAP masih berkokok di Pulau Pinang, PKR masih menguasai Selangor dan Kelantan tetap di bawah bulan purnama. Yang mengejutkan sekali Terengganu, negeri penyu menangis, hampir membawa tangisan kepada UMNO yang hanya menang dengan kelebihan satu suara sahaja dalam DUN!


Inilah tuah dan sial yang membelenggu orang Melayu selepas PRU-13. Jangan salahkan angka 13 yang kononnya membawa sial. Orang Melayu yang salah. Melayu berpecah. Jong pecah yu kenyang. Melayu seperti Pak Kadok menang sorak tapi kampung halaman tergadai. Sebenarnya Melayu kena insaf. Perlu muhasabah dan kembali pada ajaran agama untuk membina kekuatan baharu.

Kalau Melayu terus berpecah seperti sekarang jangan salah ibu mengandung kalau PRU-14 Melayu akan hilang kuasa politik, dan hilang segala-galanya. Bayangkan Melayu dan Bumiputra yang merupakan golongan majoriti di bumi bertuah ini tiba-tiba menjadi pengemis di bumi sendiri akibat perpecahan di kalangan bangsa sendiri!

Inilah masanya bagi seluruh umat Melayu bersatu. Benam segala perselisihan di masa lampau. Ia sudah menjadi debu sejarah, dan tidak perlu menjadi penghalang bagi para pemimpin kita kembali bertaut dalam kehangatan ukhuwah Islamiah. Kita bukan maksum. Kita bukan Nabi. Tapi Melayu boleh kembali bersatu dalam ikatan ukuwah yang kental kalau para pemimpin kita, dan kita sendiri, sanggup buang yang keruh, ambil yang jernih.

Banyak pemimpin yang berjasa di masa lalu yang terpinggir oleh waktu. Kita minta mereka tampil ke muka, kembali bersemuka dan mencari jalan terbaik untuk menyatukan berbagai golongan yang bersengketa sekarang. Kenanglah jasa dan pengorbanan mereka di masa lalu. Kita minta buah fikiran mereka. Kita buka ruang untuk mereka kembali bersatu untuk memperjuangkan hak kita, agama kita dan negara kita.

Marilah kita jemput tokoh-tokoh veteran Melayu yang berjasa di masa lalu untuk sama-sama merancang memperkasai perjuangan kita. Kita jemput Tun Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Daim, Pak Aziz Shamsuddin, Pak Sanusi Joned, Pak Harris Salleh dari Sabah, atau pun dari Pas: Ustaz Harun Din, Ustaz Hadi Awang, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Ustaz Ismail Mina, Dr. Hasan Ali dan lain-lain untuk menyumbangkan buah fikiran bagi memperkukuhkan perpaduan Melayu.

Kita tidak berniat hendak menjatuhkan sesiapa. Kita tidak ada agenda peribadi. Kita bukan Si Kitol dan Raja Mandaliar. Nawaitu kita ialah untuk membenamkan perselisihan, mencari jalan terbaik dan bijaksana untuk perpaduan Melayu.

Kita yakin kalau Melayu bersatu padu biar datang rebut dan taufan, guruh dan halilintar membelah bumi Melayu akan tetap cekal dan berani menentang siapa saja yang cuba menggugat perpaduan mereka. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kalau kaum itu sendiri mengubahnya. Jelas nasib bangsa Melayu terletak pada bangsa kita sendiri.

Kita yang membina sejarah gemilang atau kita juga yang menghancurkan masa depan anak cucu kita. Pilihan terletak pada tangan kita bersama. Pastikan jong belayar deras, yu biar terliur.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...