KOTA BHARU – Akibat amuk dan kejar anak dengan pisau hanya kerana tiada nasi untuk sarapan pagi, seorang pendawai elektrik dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri
Muhamad terhadap Zaidi Johari, 42, selepas mahkamah mendengar keterangan balas
mangsa.
Tertuduh mengaku salah melakukan ugutan
jenayah dengan mengacu pisau dan mengejar Noor Baiti Ithrah Zaidi, 20.
Kejadian tersebut berlaku di rumah mereka
di Kampung Aril Pauh Lima, di sini, pada jam 10 pagi, 12 Disember lalu.
Dalam kejadian itu, tertuduh yang lapar
tiba-tiba memarahi pengadu yang sedang membaca buku. Tindakan pengadu menjawab
leteran bapanya itu menyebabkannya berang dan mendakwa pengadu kurang ajar.
Walaupun pengadu telah bangun dan mahu
keluar membeli nasi, tertuduh tetap mengamuk sehingga mencapai pisau di dapur
lalu meluru ke arah pengadu menyebabkan anaknya itu lari menyelamatkan diri.
Pada prosiding semalam, dia merayu
hukumannya diringankan berikutan sudah insaf dengan kesalahan tersebut, namun,
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman setimpal
mengambil kira kesalahan ugut membabitkan ahli keluarga semakin berleluasa.
Nik Habri pula menasihatkan tertuduh supaya
mengambil pengajaran terhadap hukuman yang dijatuhkan dan mengingatkannya agar
mendidik anak dengan cara yang betul termasuk menjalankan tanggungjawab dengan
sempurna.
Berdasarkan keterangan balas, mangsa
mengaku dia memang sudah biasa terkena sepak terajang tertuduh, namun, hanya
kali ini dia membuat laporan polis. Mangsa bagaimanapun tetap menyayangi
bapanya itu dan berharap tertuduh akan berubah apabila bebas kelak.
No comments:
Post a Comment