Penyanyi dan penyampai radio
Suria FM, Adibah Noor tidak berasa terkejut jika lagu duet baharunya bersama
penyampai radio Era FM iaitu Dina Nadzir berjudul Malaysia Kau Ku Cinta tidak
dimainkan oleh stesen radio swasta lain. Biarpun begitu, penyanyi berusia 34
tahun ini agak terkilan dengan diskriminasi yang dilakukan oleh pihak
pengurusan stesen radio jika lagu tersebut dianggap sebagai satu produk
daripada pesaing mereka.
"Ketika lagu ini diedarkan,
pihak Sony Music sudah beritahu awal-awal besar kemungkinan ia tidak dimainkan
di radio swasta lain kerana saya dan Dina kedua-duanya penyampai radio. Saya
berasa terkilan kerana lagu tersebut adalah atas kapasiti kami sebagai penyanyi
dan bukan penyampai radio," katanya.
