Showing posts with label Tanah Melayu. Show all posts
Showing posts with label Tanah Melayu. Show all posts

30 August 2013

Perlembagaan Simbol Kemerdekaan




Oleh : Shamrahayu A. Aziz

Keamanan negara perlu diutama
Sempena bulan merdeka ini saya mahu membawa pembaca untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai hubung kait antara kemerdekaan dan Perlembagaan. Walaupun perbincangan seperti ini sentiasa saja terdapat dalam tulisan saya sebelum ini, pada kali ini saya menumpukan kepada proses kemerdekaan dan hubung kaitnya dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi lambang kemerdekaan kita. Perbincangan ini berguna untuk kita segarkan kembali pemahaman kita dan seterusnya menambah baik pengetahuan berkaitan Perlembagaan dan kemerdekaan.

Kita faham bahawa merdeka memberi erti kebebasan fizikal dan juga kebebasan mental daripada sebarang bentuk penjajahan. Saya percaya kita sudah maklum dengan maksud kemerdekaan. Dan, saya tidak berniat membincangkan dengan terperinci berkaitan kebebasan minda dalam tulisan ini. Perbincangan ini memerlukan fokus yang tersendiri dalam ruang lain. Dalam ruang terhad di sini saya mahu kongsikan sedikit daripada perkara berkaitan Perlembagaan dan kebebasan fizikal negara.

Perkara pertama yang begitu penting untuk kita ketahui dan hayati ialah Perlembagaan adalah simbol kemerdekaan negara. Perlembagaan juga adalah instrumen utama bagi mencapai kemerdekaan. Tanpa sebuah Perlembagaan yang diluluskan menerusi proses penggubalan dan perundangan yang sah, negara kita tidak akan diterima masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Untuk meletakkan nama Malaysia (atau ketika kemerdekaan 1957, Tanah Melayu) dalam peta dunia sebagai negara merdeka dan berdaulat, negara kita memerlukan Perlembagaan yang sah. Ini adalah kehendak dan amalan masyarakat antarabangsa.


Pelengkap perjuangan
Menerusi perjanjian kemerdekaan yang dimeterai selepas berlangsungnya Persidangan Perlembagaan di London pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956 dan Akta Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 serta Perlembagaan Persekutuan 1957 yang diluluskan oleh Parlimen British, dan seterusnya diluluskan juga oleh Majlis Perundangan Persekutuan, kita berjaya mencapai kemerdekaan.

Kita mengambil perhatian bahawa pelengkap utama kemerdekaan ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Oleh sebab itu kita katakan bahawa Perlembagaan adalah simbol kemerdekaan. Kita harus mengambil iktibar mengenai proses penggubalan Perlembagaan dan juga proses rundingan kemerdekaan. Kita harus maklum, walaupun kemerdekaan dianugerahkan kepada kita menerusi rundingan yang tenang ini tidak bermaksud prosesnya mudah seumpama memetik jari.

Hakikatnya proses yang dikatakan tenang itu juga membabitkan tumpahnya darah pejuang negara. Hakikatnya juga kita mencapai kemerdekaan ketika dalam keadaan darurat. Apabila dikatakan ‘darurat’ ia sudah tentu tidak menggambarkan keadaan yang tenang sebagai mana yang sering kita ungkapkan sebagai ‘proses rundingan’ itu. Rundingan tenang itu menunjukkan sedikitnya tumpahan darah orang awam untuk kemerdekaan, tetapi hakikatnya perang gerila dan ancaman komunis begitu ketara ketika itu. Bukan tiada rakyat dan pasukan keselamatan yang terkorban ketika itu.


Cabaran kemerdekaan
Dalam keadaan darurat itu, beberapa pihak lain, selain Parti Perikatan yang bergerak bersama dengan Raja-Raja Melayu, cuba membawa negara ke arah kemerdekaan dengan cara mereka. Ada yang mahukan kemerdekaan bersama Indonesia dan ada juga mahu menjadikan negara sebagai sebuah republik sosialis. Persaingan antara pihak-pihak ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh dalam perjuangan kemerdekaan.

Calang-calang kebolehan pimpinan terdahulu yang beroleh keyakinan British untuk merdeka ketika negara dilanda darurat. Bukan calang-calang kepemimpinan juga yang berjaya mengekalkan kemerdekaan pada masa awal pengisytiharannya. Kapasiti dan kekuatan keselamatan kita tidak seberapa ketika itu, sedangkan ancaman darurat masih lagi ketara. Begitu juga perselisihan antara masyarakat Tanah Melayu sendiri.

Kita melihat banyak contoh negara di dunia yang masih gagal menangani masalah keselamatan walaupun sudah belasan, bahkan puluhan tahun mencapai kemerdekaan. Kita berjaya melepasi masa darurat hanya dalam masa tidak sampai tiga tahun dari tarikh kemerdekaan.

Kebijaksanaan rundingan berkaitan keselamatan Tanah Melayu dalam masa interim persetujuan kemerdekaan dan pengisytiharan sebenar kemerdekaan, serta masa awal kemerdekaan perlu kita teladani dalam menikmati kemerdekaan ini.

Pemahaman, penghayatan dan penghargaan kita terhadap apa juga pengisian dalam Perlembagaan Persekutuan dan proses kemerdekaan tidak akan menjadi lengkap tanpa kita mengenali sejarahnya. Insya-Allah kita akan berjaya mengharungi cabaran kemerdekaan ini sekiranya kita menghayati semua keadaan semasa proses rundingan kemerdekaan dan Perlembagaan.

24 August 2013

Kebebasan Bawa Erti Besar Bagi Sebuah Negara



Oleh Zulkiple Ibrahim

"Sebuah negara besar dan kuat pun pada asalnya juga perlu menuntut kemerdekaan daripada penjajahan," ulas seorang pengamal media pada satu majlis yang dihadiri penulis di sini baru-baru ini. Walaupun pengamal media itu enggan dinamakan, namun kata-katanya seiring dengan pendapat ramai orang di negara ini, yang menjadi contoh dunia kerana berjaya menuntut kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.

Manakala negara yang dimaksudkan beliau sudah tentulah Amerika Syarikat di mana 13 koloni asal negara itu telah mengisytiharkan kemerdekaan dari Great Britain pada 4 Julai, 1776. Pengisytiharan kemerdekaan itu melibatkan 'Perang Revulosi Amerika' dari 1775 hingga 1783 di mana perang itu secara formalnya berakhir melalui Perjanjian Paris pada 3 Sept, 1783 dan lahirlah sebuah negara baru iaitu Amerika Syarikat.

14 May 2012

Tangisan Anak Merdeka

Tidak berapa lama dahulu penulis menerima satu jemputan untuk bersama-sama menyaksikan satu persembahan teater yang di adakan di Maktab Polis Diraja, Cheras, Kuala Lumpur. Persembahan teater itu telah di persembahkan oleh Kumpulan Kesenian Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur yang bertajuk ‘Tangisan Api Kemerdekaan’.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...