Jemaah solat Jumaat
Masjid Rafeah Taman Uda, di sini, gempar apabila seorang warga emas berusia 66
tahun tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika khatib membaca
khutbah, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, jemaah itu,
Arshad Harun dari Kampung Padang, Hutan Kampung, di sini, dikatakan menghidap
penyakit darah tinggi.
Jemaah lain yang
melihat mangsa tiba-tiba rebah segera mengangkat mangsa dan meletakkannya di
tepi dinding sambil memberi rawatan kecemasan. Seorang jemaah, Yusof Abdul
Majid, 80, dari Taman Muhibah, di sini, berkata dia bersama beberapa jemaah
lain mengangkat Allahyarham ke tepi dinding sambil mengurut belakangnya bagi
memberi bantuan.