Pengumuman Pak Lah sebentar tadi (Buletin Utama, 4 Julai 08) cukup memeranjatkan seluruh rakyat, mengenai kenaikan harga minyak sebanyak RM 0.78 sen. Keadaan ini telah menyebabkan rakyat panik, dan menjadikan stesyen minyak di negara sesak apabila diserbu oleh orang ramai.
Talian internet juga sekitar jam 1.00 pagi telah menjadi perlahan dan adakalanya langsung tidak dapat digunakan. Mungkin disebabkan terlalu ramai penguna yang mengunakan talian untuk mencari maklumat dan berbincang mengenai isu ini.
Penulis adalah antara mereka yang tidak dapat menerima keputusan ini pada mulanya. Namun setelah bertenang untuk seketika dan bermuhasabah diri, penulis akhirnya dapat menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka.
Secara dasarnya harga minyak yang di umumkan ini adalah selari dengan harga pasaran dunia, dan kerajaan tidak pernah berniat untuk membebankan rakyat. Bukan niat untuk membenarkan segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan waima keputusan itu mungkin di anggap sebagai tindakan yang tidak popular oleh sebilangan orang.
Sesetengah penganalisa politik mungkin akan mengatakan Pak Lah mengambil satu tindakan yang bodoh dan kurang bijak apabila menaikkan harga minyak di ketika ini. Tambahan pula kerajaan pimpinannya baru sahaja dilanda ‘tsunami politik’ semasa pilihanraya yang lalu.
Ada kemungkinan dengan tindakan ini, karier politik beliau akan menjadi pendek dan kerajaan ini bisa tumbang hasil dari amukan rakyat yang merasakan ditindas.
Namun penulis berpendapat Pak Lah adalah orang yang bertanggungjawab dan tidak takut untuk dipersalahkan. Ini kerana Pak Lah tidak mahu dipersoalkan di hadapan ‘Rabbul Jalil’ kelak kerana kegagalannya melaksanakan amanah yang telah diberikan.
Kegagalannya memimpin juga bakal mengakibatkan beliau ditemplak oleh generasi akan datang kerana kesilapan membuat keputusan.
Adalah menjadi lumrah di setiap negara, rakyat akan cuba memberontak apabila keputusan yang dibuat dilihat tidak popular. Tun Mahathir semasa pemerintahnya dahulu juga sentiasa dikritik kerana acapkali membuat keputusan yang bercanggah dari pendapat umum. Namun apabila keputusan yang dibuat akhirnya mencapai kejayaan Tun kemudiannya dilihat sebagai orang yang berfikiran jauh.
Dan jujur penulis katakan, ciri-ciri itu, ada dan dapat dilihat di dalam diri Pak Lah tika ini. Walaupun keputusan ini berat, namun untuk kepentingan negara ia harus dan perlu untuk dilakukan.
Sekiranya Pak Lah adalah orang yang mementingkan diri sendiri dan gilakan kuasa, beliau sudah tentu tidak akan mengambil pendekatan ini. Namun atas kapasiti sebagai seorang pemimpin yang memikirkan kesejahteraan rakyatnya, beliau terpaksa untuk memilih keputusan ini. Seperti kata peribaha lama, walaupun hempedu itu pahit, namun sekiranya ia adalah ubat yang mujarab ia terpaksa ditelan jua.
Ini kerana sekiranya kita melihat keputusan ini secara positif, ia sebenarnya lebih memihak kepada rakyat. Mungkin sebilangan besar pembaca tidak akan bersetuju dengan penulis dan akan melemparkan pelbagai tuduhan.
Namun sekiranya kita berfikir secara rasional dan berpandangan jauh pasti ramai yang akan mengubah persepsi mereka kepada kerajaan pimpinan Pak Lah ini.
Walaupun kerajaan memutuskan untuk menaikan harga petrol pada RM2.70 seliter, ia tetap menjadikan Malaysia antara negara yang menawarkan harga bahan api yang terendah di rantau ini. Sebagai contoh harga petrol di Singapura adalah RM 5.20 seliter.
Sebelum ini, dengan pemberian subsidi yang tinggi, rakyat negara jiran di lihat telah mengambil kesempatan di atas keprihatinan kerajaan memberikan subsidi dengan menyeludup keluar minyak negara. Tidak cukup dengan itu, sebilangan besar golongan nelayan juga turut menyalahgunakan pemberian subsidi dengan menjual minyak yang diberikan dan tidak digunakan untuk turun ke laut.
Disebabkan wujudnya mereka yang tidak bertanggungjawab ini, secara tidak langsung ia telah mengakibatkan kerajaan menangung kerugian jutaan ringgit setahun. Sedangkan wang yang begitu besar sekiranya dipulangkan kepada kerajaan sebenarnya dapat digunakan untuk sektor yang lain seperti pendidikan, golongan miskin, golongan kurang upaya dan sebagainya.
Rakyat seharusnya sedar, kerajaan sebelum ini telah banyak memberikan subsidi @ tongkat sehinggakan telah wujud satu budaya ‘manja’ @ mengada-ngada di kalangan kita terutamanya orang Melayu. Budaya ini akhirnya telah melahirkan satu bangsa yang tidak mampu untuk berdaya saing di persada dunia.
Akhirnya rakyat negara ini, hanya mampu berada di bawah tempurung kerajaan tanpa mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri. Kita harusnya sedar di era globalisasi (dunia tanpa sempadan) ini cabaran dunia semakin hari semakin mencabar dan tidak lagi bersifat nasional.
Negara barat contohnya, telah lama menghapuskan budaya subsidi ini. Kerana mereka telah lama sedar subsidi yang tinggi kepada rakyat akan mengakibatkan mereka lemah untuk bersaing serta lebih banyak menyerap unsur negatif berbanding positif. Bangsa asing dunia yang maju tidak pernah mengharapkan subsidi kerajaan, namun merekalah penyumbang terbesar ekonomi negara mereka.
Apa yang penulis dapat simpulkan, apabila kerajaan mengunakan pendekataan ini di masa akan datang akan wujud satu bangsa Malaysia yang lebih bersifat global dan dinamik.
Di masa yang sama, rakyat akan belajar untuk mengubah gaya hidup mereka yang sebelum ini gemar membazir dan tidak mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh kerajaan. Ini kerana pegumuman yang dibuat oleh kerajaan ini akan menjadikan rakyat lebih berjimat cermat dalam meneruskan kehidupan seharian.
Golongan peniaga juga akan lebih bersifat kompotitif dan berusaha untuk memastikan perniagaan yang dijalankan mampu memberikan pulangan yang setimpal. Mereka akan lebih peka dengan keperluan semasa dan berdaya maju.
Kerajaan juga akan mampu memperolehi sumber kewangan yang tinggi serta dapat menyalurkan wang tersebut untuk sektor yang lebih memerlukan. Di samping itu, mereka yang lebih berkemampuan juga akan turut menyumbang untuk menjadikan ekonomi negara lebih mapan di masa akan datang.
Kekayaan negara juga dapat diagihkan dengan sama rata, apabila wujud keseimbangan dengan mereka yang tidak berkemampuan diberikan bantuan dan mereka yang mampu menyumbangkan kepada kerajaan.
05 June 2008
KENAIKAN HARGA MINYAK, SATU KESILAPAN ?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
amende lah lu merapu.
Keputusan menaikan harga minyak ternyata paling bodoh, zalim dan tidak bertanggungjawab.Bila mnyak dunia naik, Malaysia makin kaya sebab kita export lebih banyak dari import minyak. Kekayaan minyak adalah untuk rakyat dan negara bukan untuk buat projek yang mengkayakan kroni. Cuba lah fikir-fikirkan. Pemimpin yang baik menyenangkan rakyat bukan menyusahkan rakyat.
Post a Comment