29 September 2013

Pemilihan Parti : UMNO Sudah Bersedia - Muhyiddin @MuhyiddinYassin




Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu sudah cukup bersedia untuk menjayakan pemilihan terbesar dalam sejarah penubuhannya pada 12 dan 19 Oktober nanti bagi menjadikan UMNO lebih kuat, disegani serta dihormati.

Menurut beliau, selain daripada segala persiapan sudah dilakukan dengan sebaik mungkin, para perwakilan yang berjumlah 146,000 juga cukup matang untuk memilih pemimpin di peringkat bahagian, sayap dan nasional bagi memimpin orang Melayu serta negara Malaysia.

Malah, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri yakin apabila selesai pemilihan kelak, UMNO bukan sahaja akan muncul sebagai sebuah parti yang paling demokratik tetapi bersifat dinamik dengan mencerminkan segala pengalaman dan keupayaan untuk memerintah.

Bagaimanapun, beliau tetap menasihatkan para perwakilan serta calon yang bertanding agar memastikan pemilihan kali ini berjalan dalam keadaan tertib, tersusun dan penuh kekeluargaan kerana banyak pihak sedang memerhati perjalanan transformasi UMNO.

"UMNO cukup bersedia. (menjalankan) Simulasi, kursus dan taklimat yang melibatkan sejumlah tenaga yang begitu ramai. Ini bukan sesuatu perkara yang terlalu susah kerana pemilihan UMNO sudah berlaku sekian lama, cuma kali ini melibatkan format baharu.

"Ini demokrasi dalam parti. Kita lihat kebijaksanaan perwakilan. Saya yakin mereka bijaksana dan tahu siapa mereka nak pilih, bukan sahaja bahagian dan sayap, tetapi nasional," katanya selepas meninjau proses simulasi pemilihan UMNO di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) di Janda Baik dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan Pemangku Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, keputusan pemilihan pada kali ini dijangka dapat diumumkan pada malam 12 dan 19 Oktober tetapi bagi bahagian yang mempunyai jumlah perwakilan ramai terutama melibatkan Sabah, keputusan mungkin diketahui sehari lewat.

Ditanya bagaimana bentuk barisan kepimpinan di peringkat nasional yang ingin dilihat beliau selaku Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan kali ini, Muhyiddin berkata, perkara itu hak perwakilan untuk memutuskan kerana mereka yang dipertanggungjawab memilih.

"Bukan soal Presiden dan Timbalan Presiden. Ini soal perwakilan yang akan memutuskan pemilihan itu. Saya pun tidak boleh meramalkan macam mana. Jangan tanya yang macam mana saya hendak atau tidak hendak. Kita tunggu sahajalah," jelasnya.

Sementara itu, mengulas tentang gesaan banyak pihak dalam UMNO agar kempen pada pemilihan kali ini dipermudahkan, Muhyiddin berkata, pihak terbabit boleh merujuk perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013 dan Lembaga Disiplin parti.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...