Program
lawak popular yang dipentaskan di Istana Budaya, Lawak Ke Der bakal kembali
menggegarkan panggung berprestij negara itu untuk musim ketiga bermula pada 3
hingga 6 Oktober depan. Dalam usaha untuk menyuntik kelainan serta memberikan
idea dan pengisian baru, pihak penerbit bertindak menggunakan kombinasi muka
lama dan baru untuk enam pementasan yang akan berlangsung dalam tempoh
ditetapkan.
Penerbit
dan pengarah pementasan, Hans Isaac berkata, untuk musim terbaru program jenaka
ini, dia mahu memastikan penonton yang hadir terhibur dengan jenaka-jenaka
baharu dan bukannya jenaka yang digunakan berulang kali.
"Disebabkan
itu, saya memilih untuk menggabungkan wajah lama dan wajah baru bagi memberikan
kesegaran pengisian jenaka untuk penonton yang bakal hadir nanti. Pastinya
individu yang pernah terlibat sebelum ini akan hadir kembali memeriahkan pentas
Lawak Ke Der tetapi demi untuk membawa konsep baharu, tidak salah rasanya kita
menukar pelawak.
"Selain
itu, pertukaran ini turut memberi ruang dan peluang kepada individu-individu
lain untuk mengetengahkan bakat komedi yang dimiliki mereka," katanya
dalam sidang akhbar yang diadakan di Istana Budaya, baru-baru ini.
Program
Lawak Ke Der 3 bakal menyaksikan pelawak Harith Iskander dan Nabil Ahmad
dikekalkan selain menampilkan muka baharu di pentas program tersebut iaitu
kumpulan Jambu dan juga Douglas Lim. Tambah Hans dia bersetuju untuk meneruskan
program yang sudah berlangsung buat dua musim ini kerana melihat kepada
sambutan baik yang diberikan masyarakat kepada penganjuran musim terdahulu.
"Perkara
yang baik tidak salah untuk diulangi, lagipun saya berpuas hati apabila dapat
melakukan suatu kerja yang banyak membawa kegembiraan kepada masyarakat dan
Lawak Ke Der 3 ini adalah salah satu daripadanya.
No comments:
Post a Comment