30 January 2014

#PRKKajang PKR sudah jadi 'Parti Kangkung Rakyat' @anwaribrahim @AzmninAli @Khalid_Ibrahim


KUALA LUMPUR: KALAU Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak dibandingkan dengan dinosaur atau sesumpah, yang mana satu dia?

Dinosaur, yang baru-baru ini dipercayai mungkin pernah hidup di negara ini berjuta-juta tahun dahulu, menunjukkan watak ahli politik yang hidup pada zaman yang lain.

Sesumpah, gelaran yang selalu dilabelkan kepada Anwar oleh pengkritiknya, menggambarkan ahli politik yang boleh bertukar warna atau malah bentuk mengikut keperluan mereka.

Atau barangkali, ketua pembangkang ini adalah satu makhluk yang sama sekali biarpun ketika mana dia membuat kita ternanti-nanti apa yang akan berlaku sejak beberapa hari lalu.

Pertama, ADUN Kajang yang mewakili PKR mengosongkan kerusinya tetapi Anwar menafikan beliau akan masuk gelanggang untuk jadi Menteri Besar Selangor biarpun banyak orang percaya begitu. Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bagaimanapun kemudian mengesahkan Anwar akan jadi calon Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil Kajang. Banyak orang yakin alasannya tidak lain tidak bukan ialah untuk Anwar jadi Menteri Besar.

Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Banyak orang yang memerhatikan perkembangan ini hanya boleh garu kepala malah mereka yang duduk dalam kelompok yang dekat seperti ahli politik, penganalisis dan wartawanpun meneka-neka dalam samar.

Adakah ini bermakna 'PKR yang utama, Pakatan Rakyat kedua, rakyat kemudian'?

Di dunia maya, Parti Keadilan Rakyat sudah diberi nama baru iaitu 'Parti Kangkung Rakyat' — keterbalikan usik-usik politik yang sebelum ini terkena pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Daripada apa yang dikatakan oleh banyak orang, adalah jelas bahawa "sarkas" politik ini menyebabkan banyak orang marah. Satu tinjauan dalam talian yang dilakukan oleh Astro AWANI mendapati hampir 60 peratus responden berpendapat adalah tidak wajar bagi seorang wakil rakyat meletakkan jawatan atas alasan politik. Lapan peratus pula mengatakan mereka tidak peduli.

Di gelanggang politik, nampaknya Barisan Nasional tidak perlu untuk menghentam Pakatan Rakyat seperti biasa kerana banyak pihak termasuk di kalangan NGO menyifatkan pemimpin PKR sudah masuk perangkap sendiri gara-gara keadaan yang memeningkan kepala ini.

Malah rakan dalam Pakatan Rakyat sendiri pun garu kepala.

Pemuda PAS Selangor mengancam akan memulaukan kempen dan PAS negeri juga menimbang akan menamakan calon Menteri Besarnya sendiri jika Anwar benar-benar maju untuk ke jawatan itu. DAP juga kelihatan menyimpan rasa apabila Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng hanya menjawab "tiada komen" beberapa jam selepas semua ini berlaku.

Ketika Anwar menawarkan rundingan dengan BN atas nama "konsensus nasional" untuk isu-isu yang kritikal, nampak ada yang tidak kena apabila tumpuan sekarang ialah pada konsensus dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Pilihan raya kecil: Helah Anwar

Persoalannya, kenapa Anwar dan PKR sedia mengambil risiko dengan langkah ini?

Kita hanya perlu lihat kepada kedudukan PKR di Selangor. Ada yang mengatakan bahawa DAP dan PAS tidak puas hati dengan cara PKR, atau Khalid khususnya, mengendalikan isu serbuan danrampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan isu kalimah Allah keseluruhannya.

Menurut pemerhati politik, untuk menamatkan tanda tanya mengenai PKR dan memberi suntikan baru kepada parti itu terutamanya ketika dia bersiap sedia untuk pemilihan penting PKR pada Mac, maka Anwar melakukan 'gerak taktikal' ini.

Dengan PAS bertapak kukuh di Kelantan dan DAP sinonim dengan Pulau Pinang, tidak keterlaluan untuk membayangkan bahawa Anwar juga mungkin mengharapkan kaitan yang sama bagi PKR di Selangor. Dengan Selangor yang diterajuioleh PKR yang lebih kuat, parti itu juga berharap ia akan berakar umbi di negeri yang paling kaya dan membangun itu.

Jika menang selesa di Kajang, Anwar bukan hanya akan menunjukkan kepada rakan-rakan dalam Pakatan siapa sebenarnya ketua, dia juga akan selesa mengharungi pemilihan PKR dan sebagai bonus, akan memalukan BN yang sudah menggiatkan usaha sejak selepas PRU-13.

Biarpun cara bagaimana langkah ini diambil mengejutkan banyak pihak, di kalangan pemerhati politik ia bukanlah satu kejutan. Anwar diketahui pernah memaksa pilihan raya kecil diadakan. Pilihan raya kecil dikatakan muslihatnya.

Pada Julai 2008, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi parlimennya di Permatang Pauh untuk membolehkan suaminya itu bertanding.

Pada April 2009, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga dari PKR, Mohammad Fairus Khairuddin mengosongkan kerusi DUN Penanti.

Tetapi bagaimana dengan soal pembaziran wang rakyat dan kedudukan moral ahli politik yang 'mengkhianati' pengundi?

Ada yang mungkin berpendapat bahawa langkah PKR ini bukan sesuatu yang 'baru' kerana pada 1997, BN juga mengatur satu pilihan raya kecil di Permatang bagi membolehkan Tan Sri Abu Hassan Omar dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Tetapi ada juga yang berpendapat, seperti yang telah ditegaskan oleh Bersih 2.0, mengosongkan kerusi sesuka hati adalah satu "pengkhianatan". Badan pemantau pilihan raya itu merujuk kepada krisis perlembagaan Perak pada 2009 apabila wakil rakyat DAP, Hee Yit Foong lompat parti dan seterusnya membolehkan negeri itu diambil alih oleh BN.

Barangkali satu-satunya cara untuk mengelakkan perkara seperti ini berulang ialah dengan menimbangkan cadangan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang iaitu mengenakan hukuman ke atas mereka yang lompat parti atau meletakkan jawatan tanpa alasan munasabah.

Anwar, sang 'naga sakti'

Ketepikan semua persoalan itu dulu, jujurnya, adakah perkembangan ini baik untuk negara?

Adakah krisis reputasi PKR ini lebih buruk kalau dibandingkan dengan senarai wakil rakyat yang lompat parti atau keluar parti? Bolehkah Pakatan Rakyat mengetepikan dakwaan munafik? Dan akhir sekali, apakah ertinya ini bagi seorang yang disifatkan oleh penyokong tegarnya sebagai penyelamat Malaysia?

Bagi Anwar, yang telah melalui sepak terajang politik sejak dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan melalui sekurang-kurangnya tiga skandal seks dan hari ini jadi pemimpin de facto pembangkang, menjadi Menteri Besar Selangor mungkin bukan cabaran yang sukar.

Ya, memang ada masalah di negeri itu yang perlu ditangani — daripada soal sampah kepada soal air sampailah soal jalan berlubang, dan juga masalah dalam parti dan sekarang, masalah imej Anwar yang dilihat gila kuasa.

Tetapi jika Anwar boleh meyakinkan rakan-rakan politiknya, Sultan Selangor dan rakyat terutamanya di Selangor, siapa tahu, dia mungkin akan jadi Menteri Besar terbaik yang pernah Malaysia lihat.

Atau apakah rakyat akan mengenangnya sebagai haiwan politik yang tidak pernah berubah atau selalu berubah?

Hanya rakyat yang akan jadi hakim, juri dan algojo.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...