Gunung berapi paling aktif di Eropah, Gunung Etna meletus dan memuntahkan lava cecairnya di luar bandar Sicily.
Letusan pertama terjadi pada 26 Oktober 2013, seterusnya pada 10 dan 11 November berlaku letusan lagi yang berterusan hingga menenggelamkan stesen seismik dan jalan.
PANDANGAN Gunung Etna dari jauh antara gunung berapi paling aktif di Eropah. |
Cetusan itu membawa kepulan asap tebal dan abu sehingga ke kepulauan di Itali. Kejadian itu dirakam ahli geologi Jerman merangkap jurugambar gunung berapi dan pengendali pelancongan, Tom Pfeiffer, 43, dari Schiena dell Asino yang tinggal di sempadan selatan Valle del Bove, kira-kira 4 kilometer daripada kawah gunung berapi itu.
Rakaman terbabit menunjukkan keindahan gunung berapi yang meruap memancarkan aliran lava panas dari teras bumi.
PEKAN Zafferana diancam aliran cecair merah dan panas, namun usaha lencongan berjaya mengelakkan bandar itu dari mengalami banyak kerosakan. |
“Siri letusan ganas Etna bermula pada Februari sehingga April 2013. Ramai menyangka ia mulai reda dan tenang di sepanjang musim panas, namun sehinggalah serangan terbaru berlaku secara tiba-tiba pada Oktober lalu.
“Ramai menyangka letusan berlaku dalam masa terdekat, tetapi tidak ternyata ia mengambil masa kira-kira dua minggu.
“Sekarang ini, kita menunggu untuk letusan seterusnya. Saya yakin menurut pendapat saya, sesuatu yang lebih besar akan menyusul tidak lama lagi,” kata Tom Pfeiffer.
PADA tengah malam Sabtu, menukarkan malam sunyi itu dengan lautan api dan asap. |
Sejak Januari 2011, lebih daripada 40 letusan berlaku secara tiba-tiba di kawah New Southeast yang terbentuk sepanjang tempoh itu dan kini menjadi kon dewasa dalam masa dua tahun.
Letusan pada November lalu turut mengubah geometri bolong gunung berapi, membolehkan ia menghasilkan satu siri gegelung wap sempurna - antara fenomena yang jarang berlaku.
“Saya dapat menyaksikan gegelung wap yang sempurna bentuknya naik ke dada langit. Kali terakhir saya melihat kejadian itu di Etna pada 2000 yang mempunyai beberapa fasa selama berbulan untuk membentuk gegelung dengan lebih kerap.
LETUSAN Gunung Etna terakhir dan terbesar adalah pada 1992, menyebabkan sungai deras daripada lava cair mengalir ke bawah lereng gunung. |
“Saya menjerit kepada teman wanita, Ingrid agar dia dapat melihat fenomena itu, mencapai kameranya dan terus merakamkan gambar.
“Hembusan wap ditembak keluar daripada awan yang berbentuk seperti cendawan kecil dan kebanyakannya turut menghasilkan bentuk wap yang sama. Saya tidak mampu menggambarkan lebih baik mengenainya.
“Perkara yang paling menakjubkan adalah sewaktu melihat putarannya, bagaimana ia terpisah daripada gerombolan wap dan kekal stabil walaupun angin ribut di atas sana.
“Ia berlangsung selama beberapa minit, mungkin sehingga 10 minit kemudian menjadi kecil dan semakin kecil, tetapi sentiasa teguh sebagai tanda yang jelas di langit,” ujar Tom Pfeiffer.
Letusan secara tiba-tiba itu turut dicatatkan sebagai letusan keenam belas tahun lalu (2013) - tidak membahayakan mana-mana perkampungan yang terletak di sekitar lereng gunung.
Walau bagaimanapun, kakitangan di Lapangan Terbang Cantania terpaksa menutup laluan udara di atas Gunung Etna yang juga adalah gunung berapi terbesar dan paling aktif di Eropah.
Pergerakan dan tempias awan abu yang meluas boleh membahayakan pesawat, malah berpotensi untuk mencair dan menyelaputi bahagian bergerak yang dilapisi kaca, akhirnya boleh menyebabkan enjin pesawat mati.
Letusan terakhir dan terbesar dari Gunung Etna pada 1992 menyebabkan sungai daripada lava cair mengalir deras menuruni lereng gunung.
Walaupun, bandar Zafferana diancam aliran cecair merah dan panas itu, pembinaan lencongan berjaya menyelamatkan kawasan bandar dan hanya satu saja bangunan yang termusnah.
Walau bagaimanapun, gunung berapi yang menakutkan ini masih dalam aktiviti yang berterusan dan tegak berdiri pada ketinggian 3,329 sentimeter.
Memeranjatkan, selama 500,000 tahun ia semakin berkembang dan letusan itu bermula.
Letusan terbaru itu didahului dengan gegaran yang kuat pada Isnin, membolehkan orang ramai menyaksikan ratusan kepulan asap terbang di udara.
EKUMPULAN lelaki di bandar berbual dengan tenang, tanpa mengendahkan pancaran lava gunung berapi dari teras bumi. |
Pakar percaya, letusan itu mencetuskan perubahan dalam struktur bolong yang membentuk bulatan hingga membolehkan Gunung Etna memuntahkan asap formasi luar biasa.
Gunung berapi ini yang wujud hampir satu juta tahun lalu, didokumenkan dengan baik sejak 1,500 Sebelum Masihi, namun letusannya memaksa orang ramai untuk berhijrah demi keselamatan.
Sejak itu, terdapat lebih daripada 200 letusan berlaku - daripada yang tidak dapat dikesan sehinggalah kepada bencana.
Dalam 122 Sebelum Masihi, beberapa siri letusan memuntahkan banyak abu ke atas bandar Catania - menghancurkan ratusan rumah hinggakan bandar ini dikecualikan daripada membayar cukai kepada kerajaan Rom selama 10 tahun.
Letusan yang paling kuat terjadi pada 1669, apabila ia memusnahkan sebahagian daripada puncak gunung dan aliran lava mencecah laut lebih 16.0934 kilometer. Meskipun, aliran lava cuba disekat namun tidak berjaya.
Letusan ganas pada 1852 menghasilkan lebih 5,663,3693.2 meter padu lava dan meliputi lebih 776.996 hektar gunung berapi, manakala letusan yang paling lama bermula pada 1979 selama 13 tahun.
Aktiviti semasa Gunung Etna terdiri daripada pengeluaran gas yang berterusan, letusan Stromboli dan aliran lava basalt yang kerap.
Ini membuktikan, ia adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan di Sicily kerana lebih 25 peratus daripada jumlah penduduk pulau itu tinggal di lereng Etna.
Namun, gunung berapi yang tidak menentu itu juga menjadi sumber pendapatan utama penduduk kerana tanah gunung berapi sesuai untuk pertanian dan pelancongan.
No comments:
Post a Comment