29 January 2014

POCA : PDRM Bakal Perolehi Taring @PDRMsia @Zahid_Hamidi

Ahmad Zahid melihat buku ‘Jurnal of Public Security and Safety’ sambil diperhatikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohamad Khalid Shariff (kanan) selepas merasmikan Dialog Keselamatan Putrajaya, Selasa


28 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperolehi semula kuasa mereka dalam menguatkuasakan undang-undang serta boleh menunjukkan ‘taring’ sebenar mereka apabila Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, akta berkenaan sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah 25 Oktober tahun lalu.



Antara pindaan yang dimasukkan dalam peruntukkan POCA ialah penguatkuasaannya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, membolehkan penggunaan alat pemantauan elektronik (EMD), skim perlindungan saksi, dan syarat pengawasan lebih ketat.

Manakala penambahbaikan  yang dibuat adalah penubuhan Lembaga Pencegahan Jenayah yang mengambil alih kuasa menteri, tempoh tahanan siasatan dikurangkan daripada 71 hari kepada 60 hari dan ‘sunset clause’ iaitu akta ini akan dikaji semula setiap lima tahun.

Akta itu dipinda dan diperluaskan selepas kerajaan peka dan prihatin terhadap kebimbangan rakyat dan tahap keselamatan berikutan keseriusan peningkatan kes jenayah, jelas Ahmad Zahid.

“Ini termasuk kerisauan mengenai penggunaan senjata api yang berleluasa, kejadian pembunuhan menggunakan senjata api, pergaduhan antara kumpulan ahli kongsi gelap untuk merebut kawasan, perebutan kawasan pengedaran dadah, mengutip wang perlindungan serta sindiket pelacuran dan perjudian,’ katanya.
“Rang Undang-undang POCA 2013 dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada 25 September 2013 dan kemudian dibaca kali kedua dan ketiga seterusnya diluluskan pada 2 Oktober tahun yang sama.

Zahid juga berkata beliau berhasrat membukukan kisah perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Negara dan Dewan Rakyat bagi membolehkan rakyat mengetahui perkara sebenar yang berlaku di Parlimen semasa penggubalannya.

“Rang undang-undang itu hangat diperbahaskan dari jam 11.30 pagi 2 Oktober tahun lalu sehingga jam 12.50 pagi keesokan harinya dengan suara majoriti di pihak penyokong kerajaan iaitu 115 manakala 86 membangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran ‘Putrajaya Security Dialogue’ di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu, Selasa.

Dialog sehari itu membabitkan empat anggota panel iaitu Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah dan Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Ketua Penolong Pengarah Perundangan Bukit Aman, SAC Mazupi Abd Rahman dan peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Manakala bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai selaku moderator.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...