29 January 2014

Hanya 30 Minit Diperlukan, Untuk Curi Kereta



Kuala Lumpur: Dengan mensasarkan rumah yang penghuninya keluar bekerja pada awal pagi, satu kumpulan pecah rumah dan samun kereta dikesan melarikan barangan berharga dan kereta hanya dalam tempoh 30 minit sejak setahun lalu. Difahamkan, kumpulan yang dianggotai suspek berbilang kaum itu terbabit dalam lapan kes sekitar Lembah Klang dan Kota Kuala Muda, Kedah dan mereka menggunakan mesin gerudi dan kekunci Allen yang diubah suai untuk kegiatan jenayah mereka.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, kumpulan itu didalangi seorang lelaki berusia 36 tahun yang memiliki 17 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan pecah rumah.

Kami berjaya menjejaki kumpulan ini hasil intipan dan risikan terhadap mereka lebih sebulan lalu dan ketika kejadian pada 23 Januari lalu kira-kira jam 6.30 petang, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sedang melakukan rondaan Op Cantas/Op Pintu di Jalan Klang Lama sebelum menemui sebuah kereta jenis Kia Forte yang dinaiki kumpulan suspek dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik menyedari kehadiran anggota polis, mereka memecut laju, namun empat lelaki termasuk dalang utama yang memiliki 17 rekod jenayah lampau yang menaiki kereta berkenaan berjaya ditahan di Jalan Mega Mendung, Jalan Klang Lama,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi mereka mudah dengan memilih rumah mangsa secara rawak dan waktu kejadian biasanya ketika penghuni rumah keluar bekerja pada waktu pagi.

Mereka menggunakan mesin gerudi, kekunci Allen yang diubah suai dipercayai untuk membuka kunci mangga, kunci pendua kenderaan, alat renjatan elektrik, pisau lipat, tiga butir mercun bola dan batang paip besi untuk tujuan jenayah mereka.

Semua peralatan itu disimpan dalam kereta berkenaan dan polis turut menemui pelbagai barangan termasuk lebih 15 telefon bimbit, iPad, jam tangan berjenama, kad kredit dan kamera dipercayai milik mangsa yang disamun,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan empat suspek itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Seksyen 32, Shah Alam dan menahan seorang lagi suspek yang memiliki sembilan rekod jenayah lampau bersama beberapa barang hasil samun termasuk lima telefon bimbit dan buku bank milik mangsa.

Katanya, dengan penahanan lima ahli kumpulan itu, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah rumah dan samun kereta membabitkan kerugian lebih RM150,000.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...