25 January 2014

@nikabdulaziz @nikabduh @PASPusat Kalimah Allah : U-Turn Nik Aziz Bukti PAS Silap?


Rupa-rupanya Nik Aziz sedar implikasi sebenar penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian. Namun sebelum ini beliau tetap menurut keputusan pemuafakatan pembangkang yang seolah-olah “melacurkan” Islam dan bangsa Melayu. Terlalu banyak kerosakan yang bakal timbul dari penyalahgunaan Kalimah Allah ini. Ini membuktikan bahawa PAS sanggup menghancurkan agama Islam, bangsa Melayu dan negara demi kepentingan politik peribadi.



Sebelum ini umat Islam amat kecewa dengan pendirian Nik Aziz dan PAS yang dilihat seolah-olah “menjual” maruah Islam demi kepentingan politik mereka dengan membenarkan penggunaan Kalimah Allah oleh Kristian. Sebagai Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat berkali-kali mengulangi pendiriannya bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah ALLAH, sebagaimana diputuskan Majlis Syura Ulama PAS.

Namun begitu kini beliau telah melakukan “U-Turn” dengan membuat kenyataan bahawa masyarakat bukan Islam di negara ini tidak boleh sesekali menggunakan kalimah ALLAH sebagai menggantikan perkataan God sebagaimana yang terdapat dalam kitab mereka khususnya Bible.

Nik Aziz kini menegaskan juga bahawa perkataan God dalam kitab Bible itu lebih tepat diterjemah kepada perkataan ‘tuhan’ bukannya ALLAH . Beliau pernah berkeras membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian dengan kononnya berdasarkan kepada bahawa “Nama ALLAH telah digunakan oleh syaitan dan iblis di dalam syurga lagi. Iblis jumpa Nabi Adam di syurga, dia kena guna nama ALLAH, ayah Nabi Muhammad nama Abdullah, dia peluk Islam, jadi apa susah kita? Cuma masalahnya, terjemah God dan Lord kepada ALLAH, itu tak betul,”.

Hakikatnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan persetujuan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam apabila ia ditandatangani Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Tambahan pula Majlis Syura juga telah memutuskan bahawa sesiapapun boleh menggunakan kalimah ALLAH, namun tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia, begitu juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah ALLAH. Mereka juga memutuskan bahawa menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan ALLAH tidak dibolehkan kerana ia salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar selain boleh membawa kekeliruan yang nyata.

Persoalannya mengapa Nik Aziz dan PAS tidak bersuara membantah kenyataan Gereja Katolik di Selangor yang akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menghantar notis peringatan kepada mereka berhubung enakmen negeri melarang bukan Islam menggunakan kalimah itu.

Pihak kristian cuba memanipulasikan perundangan apabila Pengarang mingguan Katolik, Herald, Father Lawrence Andrew berkata Artikel 11(3) (A) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan setiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal keagamaan mereka sendiri. Tindakan ini dilihat sebagai mencabar titah Sultan Selangor yang melarang komuniti bukan Islam menggunakan Kalimah Allah.

Rakyat perlu tahu bahawa Selangor turut memperuntukkan Enakmen 1998 Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan Penyebaran Agama Kepada Orang Muslim) yang melarang penganut agama lain menggunakan 35 perkataan termasuk “Allah”, “Nabi dan “Injil”. Oleh itu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Persatuan Bible Malaysia (PBM) tidak menyalahi undang-undang.

Kecenderungan pembangkang dalam “merelakan” agama Islam, bangsa Melayu dan negara dimusnahkan menunjukkan sifat ketidak setiaan kepada negara. Ini amat bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. Dengan erti kata lain, mereka ini tidak layak bergelar warganegara Malaysia. Kerajaan perlu tegas dalam menggariskan sifat warganegara dan cara bagaimana kewarganegaraan para pengkhianat negara yang biadap perlu dilucutkan. Rakyat ternanti-nanti untuk melihat ketegasan kerajaan menangani isu ini.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...