27 January 2014

@hdaily09 Allahyarham Harun Taib Degil - @nikabdulaziz


SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyifatkan dua pejuang parti itu, Allahyarham Datuk Harun Taib dan Tan Sri Azizan Abdul Razak sebagai individu yang 'degil'.

Mengenali kedua Allahyarham ini secara dekat, Nik Aziz berkata, kedua-dua pemimpin itu sanggup bersusah payah mengikuti program yang dianjurkan Pas walaupun dalam keadaan uzur.



"Almarhum (Harun) dan Ustaz Azizan kedua-duanya saya kenal sebagai orang yang sangat degil.

"Degil melawan kesakitan untuk terus datang mesyuarat sekalipun dalam situasi yang sangat uzur," ujarnya menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Tambah Nik Aziz, pemergian Harun ke rahmatullah masih memberi kesan kepada dirinya ekoran sifat gigih yang ditunjukkan bekas pemimpin parti itu.

Kelmarin, Harun, 71 telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 12.17 pagi.

Anak Allahyarham, Hilmi Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir berkata, bapanya meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ dalaman disebabkan penyakit kencing manis yang dihidapi.

"Arwah sudah menghidap penyakit strok sejak 2010, tapi tahun terakhir ini kencing manis makin teruk dan serangan kuman sudah semakin merebak dan boleh dikatakan merebak ke buah pinggang walaupun keadaan darah dan jantungnya stabil," katanya.

Sementara Azizan pula meninggal dunia September lalu selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Menerusi Facebooknya, Nik Aziz turut meminta masyarakat mendoakan kesejahteraan kedua-dua pemimpin itu yang telah kembali mengadap Ilahi.

"Saya harap semua pendokong perjuangan Islam pun tidak putus-putus mendoakan pimpinan yang telah pergi selama-lamanya ini.

"Sesungguhnya masa mereka telahpun tiba, semoga apabila masa kita tiba nanti, kita pergi di dalam keimanan dan ketaatan kita yang tidak berbelah bahagi kepada ALLAH SWT," katanya lagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...