PERBUATAN memanipulasi harga barangan oleh pemborong dengan tujuan membangkitkan sentimen kebencian rakyat kepada kerajaan di atas kenaikan kos sara hidup, adalah 'gerakan sulit' yang perlu dibanteras dengan segera.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, pemborong adalah dalang utama kenaikan harga barang keperluan secara mendadak. 'Gerakan sulit' ini turut disokong oleh pengedar, peruncit dan peniaga yang antikerajaan.
Kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) wajar bertindak tegas sebelum berhadapan dengan situasi yang lebih sukar.
Bahagian penguat kuasa di bawah kementerian tersebut hendaklah bersungguh-sungguh dan ikhlas bersama kerajaan dalam usaha membanteras 'gerakan sulit' ini.
Sekarang ini 'gerakan sulit' golongan yang propembangkang turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan swasta, kumpulan-kumpulan tertentu, malah di kalangan penjawat awam juga ada yang terlibat sama.
Kalau pemborong, pengedar, peruncit dan peniaga memanipulasikan harga barangan, bagi penjawat awam pula mereka memanipulasikan 'etika' kerja (tugas). Maksudnya, mereka menjalankan tugas tanpa integriti seperti tidak amanah, rasuah, malas, tidak berhemah, juga tidak mengambil berat tentang pengaduan orang awam (rakyat).
Apabila keadaan ini berlaku di jabatan-jabatan kerajaan dan di kalangan penjawat awam, rakyat tentunya marah dan yang menjadi sasaran tentunya pihak kerajaan.
Kenyataan ini bersandarkan pada pemerhatian saya, ramai di kalangan penjawat awam apabila bersara dari tugas, mereka mula cenderung kepada pembangkang.
Justeru, untuk menangani 'gerakan sulit' manipulasi propembangkang ini, kerajaan mesti bertindak tegas, baik kepada pemborong, pengedar, peruncit dan peniaga.
Penjawat awam perlulah dipantau kecenderungan dan aktiviti mereka. Ini bukan kerja yang mudah. Tetapi kalau kerajaan membiarkan penjawat awam menjadi 'musuh dalam selimut', kerajaan akan berhadapan dengan situasi yang lebih sukar.
Di sini saya cadangkan kerajaan mengenakan hukuman penjara kepada pemborong, pengedar, peruncit dan peniaga yang disabitkan dengan kesalahan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya. (Mereka dibenarkan berniaga sebaik saja bebas dari penjara).
Kepada penjawat awam yang melakukan kesalahan 'memanipulasikan' etika tugas mereka yang boleh mengakibatkan kesusahan dan kemarahan rakyat, wajarlah diambil tindakan tegas.
Pada prinsipnya penjawat awam yang menjadi 'musuh dalam selimut' adalah tidak layak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.
No comments:
Post a Comment