24 January 2014

Perkahwinan sejenis punca banjir - Ahli politik Britain


LONDON: Parti Bebas United Kingdom (UKIP) menggantung tugas seorang anggota majlis perbandaran tempatan kerana menyalahkan tindakan kerajaan meluluskan perkahwinan sejenis sebagai punca banjir di Britain, baru-baru ini.

David Silvester adalah seorang penganut Kristian yang berpaling tadah daripada Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri David Cameron kerana membantah langkah kerajaan membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun lalu.


Silvester yang merupakan anggota Majlis Perbandaran Henley-on-Thames berkata, Britain dilanda ribut dan banjir baru-baru ini disebabkan pelaksanaan undang-undang itu dimurkai Tuhan.

“Ini semua salah Cameron. Beliau bertanggungjawab ke atas kejadian ribut dan banjir di seluruh negara," katanya melalui sepucuk surat yang disiarkan oleh akhbar tempatan.


UKIP pada mulanya menyokong kenyataan Silvester yang disuarakan sebagai pandangan peribadi, namun parti antipendatang itu terpaksa menggantung tugas beliau untuk menjaga nama baik.

Pengerusi UKIP di tenggara England, Roger Bird berkata, pihaknya tidak boleh membiarkan mana-mana individu menggunakan nama parti untuk menyuarakan pandangan mereka yang bertentangan dengan pucuk pimpinan.

Silvester mengingkari arahan parti agar tidak lagi mengadakan sesi wawancara apabila memberitahu Radio BBC tentang gejala homoseksual merupakan penyakit yang boleh dirawati," katanya.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...