25 August 2013

Umno Selangor Perlu Bangkit Dan Elak Berpecah




Pimpinan dan ahli akar umbi Selangor perlu menumpukan sepenuh perhatian untuk membangkitkan semula Umno dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahlinya. Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, sejarah lalu membuktikan bahawa kesilapan melibatkan perselisihan faham antara pimpinan dan ketua akar umbi dalam Umno menyebabkan parti itu kalah pada PRU13.

“Kemudian ada golongan dalam Umno yang masing-masing hendak menjadi ‘hero’. Ada perpecahan pihak pimpinan di Selangor pada masa itu (PRU13 lalu) dan pucuk pimpinan tak bersatu padu.


“Ketika itu, banyak sekali kumpulan yang jaga stesen undi di Selangor tidak jalankan tugasnya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai langkah yang perlu dilakukan pucuk pimpinan dan ahli akar umbi Umno Selangor untuk bangkit semula.

Zainal berkata, semua pimpinan dan ahli perlu memberikan sokongan penuh kepada pemimpin sedia ada iaitu Datuk Seri Noh Omar selaku Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

“Mereka tidak boleh berpecah antara satu sama lain dan mesti mendengar pandangan pemimpin akar umbi kerana golongan ini lebih dekat dengan pengundi. Kalau mereka (ketua akar umbi) diketepikan, pemimpin tak dapat sokongan dan tidak tahu masalah rakyat,” katanya.

Menurutnya, semua ahli parti perlu membuat kaji selidik berhubung prestasi buruk mereka pada PRU13 lalu.

“Pemimpin Umno kena bersikap amanah dan cari punca kenapa pengundi Melayu, Cina dan India sokong parti lain. Mereka juga mesti dapat balas tuduhan orang yang menipu dan mematahkan penipuan orang (yang melemparkan tuduhan tidak berasas),” katanya.

Dalam pada itu, Zainal turut menyarankan supaya penggunaan media sosial perlu diperkasakan untuk menambat hati pengundi terutama golongan muda.

“Selangor ini negeri paling maju dan moden. Jadi perlu perbanyakan penggunaan media sosial untuk menangkis serangan pihak lawan dan tambat hati pengundi,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...