Buat salah tak buat pun salah, itulah antara
perumpamaan yang dirasakan sesuai untuk diberikan apabila melihat tindakan
pakatan pembangkang di negara ini yang hanya pandai bercakap dalam meletakkan
kesalahan kepada kerajaan. Pasti ramai yang masih ingat berhubung kes seorang
pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang melahirkan bayinya di tandas
kem Jiwa Murni, Gunung Semanggol tidak berapa lama dahulu.
Pada ketika itu, kecoh seketika di
media-media sosial khususnya Facebook dan Twitter bila mana mereka di kalangan
pakatan pembangkang cuba menyalahkan kerajaan. Malah ada di kalangan mereka
yang meminta agar program ini dihentikan seketika kerana kononnya ia
mendatangkan lebih keburukan berbanding kebaikan.
Hampir saban hari, pihak kerajaan di serang
dengan pelbagai dakwaan sehingga menyebabkan ada segelintir di kalangan
masyarakat yang turut terpengaruh dengan propaganda tersebut. Paling menarik
pada ketika itu juga, lahirlah ramai ‘para cerdik pandai segera’ yang
memberikan pelbagai pandangan berhubung isu tersebut.
Yang menghairankan, apabila kerajaan
memutuskan untuk mewajibkan ujian kehamilan untuk semua pelatih yang terpilih
menyertai PLKN sebagai langkah pencegahan, wujud pula sekumpulan yang mendakwa
ia tidak boleh dilaksanakan kerana akan ‘melanggar privasi’ dan akan memalukan
mereka yang terlibat.
Mereka yang kononnya berjuang untuk kumpulan
hak wanita itu juga turut mendakwa tindakan tersebut akan mendatangkan
keburukan kerana mewujudkan trauma kepada orang muda. Selain daripada itu ia
juga boleh menyebabkan mereka yang terlibat dengan ‘seks luar nikah’ ini
mengambil tindakan drastik dengan mengambil risiko untuk menggugurkan kandungan
mereka.
Inilah sikap sebenar pembangkang di negara
ini yang hanya tahu untuk membangkang dan menyalahkan orang lain berhubung
semua isu.
Betul, dari satu segi, kita perlu mengakui
tugas dan peranan yang perlu dimainkan oleh pembangkang. Ini kerana di dalam
sistem demokrasi, antara fungsi pembangkang ia bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada kerajaan
dalam tindakan yang diambil.
Bahkan ramai di kalangan kita yang sedar dan mengakui
kewujudan pembangkang adalah merupakan satu nilai yang penting bagi mengukuhkan
sistem tersebut dan ia mempunyai keabsahan
dari segi perlembagaan negara.
Sayangnya perkara penting ini tidak berlaku
kerana kehadiran mereka telah terpesong kerana lebih berminat menjadi pengadu
domba untuk tujuan mencipta kontroversi tanpa berpaksikan realiti kebenaran. Apa
sahaja yang diusahakan oleh kerajaan akan dipolemikkan.
Bangkangan mereka yang pada mula mengkritik
kerajaan berhubung isu ini, cuba bermain politik apabila satu langkah pencegahan
ingin diambil. Dan ia secara tidak langsung membuktikan bahawa mereka pada
hakikatnya telah gagal memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan dan
bermanfaat untuk rakyat.
Mereka lebih cenderung membangkang apa saja semata-mata
untuk mencapai kepentingan politik kepartian tanpa mempedulikan soal betul atau
salah sesuatu perkara - pada mereka yang penting rakyat perlu dikelirukan.
No comments:
Post a Comment