29 August 2013

Jangan Jadi Mangsa Peras Ugut



Wajah Presiden Dong Zhong Yang Ditumbuk Suatu Ketika Dahulu
Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini dalam resolusinya memberi peringatan kepada kerajaan agar berhenti daripada menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu.

Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar ketika membentangkan resolusi itu menegaskan, kerajaan juga perlu berhenti melayan tuntutan yang tidak munasabah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta perundangan berkaitan.


Menurut beliau, kongres turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Pendidikan supaya bersikap tegas dengan mewujudkan sistem pendidikan tunggal di negara ini.

"Kerajaan tidak seharusnya meluluskan penubuhan sekolah menengah jenis kebangsaan Cina dan mengiktiraf sekolah swasta Cina yang tidak mengikut Kurikulum Pendidikan Kebangsaan serta menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam usaha mewujudkan jati diri dan perpaduan kebangsaan.

"Tiada negara lain, contohnya Singapura, Indonesia dan Thailand yang mempunyai sekolah vernakular," katanya yang juga Pengarah Pra-Kongres dan Resolusi program berkenaan.

Tambah Abdul Latiff, kerajaan tidak boleh membiarkan golongan tertentu bermain dengan 'bom jangka bersiri' yang memporak-perandakan perpaduan nasional dan keutuhan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, segala ketidakpatuhan yang berlaku sejak sekian lama itu hendaklah diperbetulkan agar tiada kekeliruan dalam pelaksanaan peruntukan perundangan dan dasar negara.

"Kita perlu tegas dan akur dalam mempertahankan perundangan serta Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Latiff memberitahu, kongres berkenaan menyokong usaha kerajaan membina negara bangsa yang bersatu padu dengan memperkasa sekolah kebangsaan dan sekolah menengah yang menggunakan satu kurikulum serta menganjurkan peperiksaan dalam bahasa Melayu di samping memberi pelajar-pelajar peluang mempelajari bahasa-bahasa asing.

"Kongres turut mendesak Kementerian Pendidikan menjadikan bahasa Melayu sebagai pengantar utama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta manakala pemberian dana penyelidikan serta syarat-syarat kenaikan pangkat perlu mengutamakan penyelidikan dan karya ilmiah dalam bahasa Melayu," jelasnya.

Resolusi yang mengandungi 10 perkara itu merupakan rumusan daripada usul-usul yang dibentangkan berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dalam lima sidang selari yang dianjurkan sempena kongres tersebut pada 21 Ogos lalu dan hari ini.

Selain Abdul Latiff, tokoh-tokoh yang menjadi moderator sidang selari itu ialah bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah; bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob; Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan bekas Pengerusi Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman.

Sidang selari tersebut yang membincangkan lima topik berbeza tentang dasar pendidikan negara dianggotai 77 pakar pelbagai bidang termasuk Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah; bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar; Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Napsiah Omar; veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid; bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (Bersara) Tan Sri Ghazali Mohd. Seth dan dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Kongres bertemakan Memartabatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad; Pengerusi kongres, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar serta Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Sementara itu, Hasan dalam sidang akhbar selepas kongres tersebut berkata, resolusi tersebut akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos ini.

"Kami berharap kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan mempertimbangkan resolusi itu dan melihatnya sebagai suara rakyat yang tidak mahu kerajaan berkompromi dalam melaksanakan dasar pendidikan negara," ujarnya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan tidak perlu melayan sebarang tuntutan daripada Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) yang dipercayai lebih menjaga kepentingan individu-individu tertentu di dalam pertubuhan berkenaan.

"Dong Zong bersikap anti-nasional dengan mempersoal niat baik kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam semua sistem pendidikan Malaysia.

"Sepatutnya Dong Zong wajib mendidik anak-anak Cina agar cinta dan taat setia kepada negara dengan menyokong satu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memantapkan perpaduan dengan memperkukuhkan jati diri kebangsaan yang berteraskan kepada Perlembagaan, Rukun Negara, sejarah dan peradaban Malaysia," ujarnya.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...