Tahun ini sekali lagi kita akan menyambut
ulang tahun kemerdekaan iaitu yang ke-56 dalam keadaan yang jauh lebih aman dan
selamat berbanding beberapa buah negara luar seperti Mesir, Syria, Iraq mahupun
Palestin yang terus bergolak. Hakikatnya kita telah merdeka secara fizikal
sejak 56 tahun yang lalu dan saya percaya kita masih mampu untuk
mempertahankannya. Buktinya kita tidak perlu takut dan mengikut telunjuk dan
arahan orang luar dalam apa jua keadaan sekalipun. Negara kita terus kekal
berdaulat dan bermaruah.
Rakyat juga bebas melakukan apa saja asalkan
mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan. Persoalannya sekarang
adakah minda rakyat kita sudah merdeka selari dengan kemerdekaan fizikal yang
telah kita perolehi sekian lama?
Andai pada hari ini isu perpaduan dan
perhubungan kaum terus diperdebatkan, isu bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan agama Islam sebagai agama rasmi terus dipertikaikan dan
dipersoalkan, andai institusi diraja tidak dihormati, andai kepentingan
peribadi mengatasi kepentingan negara maka jawapannya ialah minda kita masih
belum matang dan tidak merdeka sepenuhnya.
Malah apabila pada hari ini kita masih terus
prejudis, was-was dan berprasangka buruk terhadap anggota masyarakat yang lain
hanya kerana perbezaan agama, bangsa serta ideologi politik jelas membuktikan
minda kita terus terpenjara dan tidak lagi merdeka.
Ironinya usia 56 tahun sepatutnya sudah cukup
lama untuk mematangkan pemikiran dan tindakan kita tetapi malangnya ia dilihat
tidak berlaku. Lebih mengecewakan apabila generasi muda yang kita harap untuk
memikul amanah dan tanggungjawab menjaga negara ini dilihat tidak sensitif dan
peka dengan apa yang sedang berlaku dalam masyarakat kita.
Lebih merisaukan khalayak apabila ada dalam
kalangan kelompok anak muda ini yang menjadi dalang dan duri dalam daging
kepada beberapa insiden sensitif yang berlaku dalam masyarakat kita mutakhir
ini. Justeru walaupun sudah 56 tahun masalah-masalah asas seperti ini tidak
ditangani dan tidak mampu untuk kita harungi dengan bijak dan baik maka minda
kita akan terus kekal terbelenggu dan terjajah selama-lamanya.
Kita mungkin boleh bangga dan mendabik dada
bahawa tiada siapa menjajah kita secara fizikal. Namun adakah kita sedar bahawa
pemikiran dan minda kita masih jauh ketinggalan dan belum merdeka lagi? Jika
keadaan ini dibiarkan terus berlaku tidak mustahil untuk kita juga mengalami
nasib yang sama seperti negara luar yang bergolak seperti di Mesir dan Syria
misalnya.
Oleh itu sempena
sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini marilah kita memasang tekad dan impian agar
dapat memerdekakan minda kita. Juga supaya kemerdekaan yang kita ada ini lebih
bermakna dan signifikan untuk dibanggakan dan dipertahankan oleh setiap
generasi di negara tercinta ini.
No comments:
Post a Comment