27 August 2013

Ketepikan Ego, Bergabung Sebagai Satu Parti India




Proses penggabungan parti politik kaum India di negara hanya dapat dilaksanakan sekiranya semua pihak yang berkepentingan melepaskan ego dan bersedia mengutamakan kepentingan masa depan masyarakat itu. Penganalisis politik Anbumani Balan berkata faktor kerjasama, tolak ansur dan pengorbanan merupakan tiga asas penting untuk membuka pintu perbincangan antara semua pemimpin parti India.

Beliau berkata isu ini sudah dibangkitkan dari semasa ke semasa termasuk pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dan kini bukanlah masa untuk menuding jari antara satu sama lain ataupun mahu menunjukkan kehebatan parti mana yang kuat. Dalam percaturan politik, kita perlu akui pelbagai faktor boleh dikaitkan dengan penerimaan dan penolakan sesebuah parti politik oleh masyarakat umum.


"Justeru, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku dan perlu bersedia untuk melakukan dan menerima perubahan bagi menjamin harapan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggesa semua parti politik kaum India di bawah BN bergabung membentuk satu entiti demi kebaikan kaum India, di negara ini. Tambah Anbumani, banyak parti politik alternatif muncul di negara ini disebabkan faktor tidak puas hati serta perpecahan dalaman sesebuah parti politik.

"Apabila parti-parti itu sebagai rakan BN, maka kepimpinan tertinggi BN juga perlu bersedia menerima hakikat bahawa segala proses penyatuan ataupun penggabungan memerlukan sokongan daripada semua pihak.

"Ini bukannya sekadar cakap-cakap politik sahaja kerana penyatuan sedemikian memerlukan komitmen daripada semua pihak," jelas beliau.

Anbumani mencadangkan MIC sebagai sebuah parti dominan yang mewakili masyarakat India, boleh membentuk satu jawatankuasa khas yang dinamakan majlis permuafakatan parti-parti politik kaum India dan dianggotai semua anggota parti politik yang lain.

"Ini bertujuan untuk mengerakkan proses perbincangan. Walau bagaimanapun, proses tersebut perlu didahului dengan semangat kerjasama dan perpaduan untuk menangani masalah melibatkan kaum India," katanya.

Jelas Anbumani, satu perubahan mendadak tidak boleh diharapkan kerana banyak isu lain harus dipertimbangkan secara teliti dan sistematik agar membentuk formula penggabungan dapat dilakukan secara kompromi dalam situasi memang-menang kepada semua pihak.

Sementara itu, Prof Madya Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat bahawa gabungan semua parti akan membolehkan mereka bekerjasama untuk kepentingan kebajikan dan kedudukan masyarakat India memandangkan populasinya sekitar 1.8 juta.

"Walaupun berbeza pendekatan politik kepartian, masing-masing boleh berganding bersama kerana matlamat akhir ada perjuangan untuk masyarakat India merentasi elemen ekonomi, sosial dan politik.

"Namun, cabarannya adalah untuk memastikan penstrukturan parti dan kepimpinan serta kaedah yang mahu digunakan untuk mendekati para penyokong perlu diselaraskan," kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Katanya, ini adalah kerana ini akan menjadi dilema berterusan melainkan masing-masing bersedia berkorban dan berkompromi demi masa depan masyarakat India di Malaysia. Makkal Sakti Malaysia turut mengulangi kesediaan untuk bergabung sebagai sebuah parti tunggal dengan parti lain yang mewakili kaum India bagi membantu dan memperjuangkan kepentingan kaum itu di negara ini.

Presidennya Datuk R.S Thanenthiran menyifatkan penggabungan itu penting kerana masyarakat India di negara ini memerlukan satu saluran berkesan bagi membantu perjuangan menyelesaikan masalah mereka.

Beliau berharap budaya berpuak-puak dan merebut jawatan yang sering kali berbangkit dalam parti politik lain, tidak berlaku sekiranya penggabungan itu direalisasikan kelak.

"Kami tidak mempunyai sebarang masalah jika ingin mewujudkan sebuah ikatan yang teguh merangkumi kesemua parti-parti politik masyarakat India yang mempunyai ideologi yang murni," katanya.

Namun Thanenthiran berkata semua pemimpin parti perlu bertolak ansur dan bersedia melepaskan jawatan parti masing-masing. Beliau turut menolak andaian bahawa kelahiran parti-parti baharu berikutan masalah jawatan dalaman, sebaliknya berkata ia hasil perjuangan murni dalam membantu masyarakat India.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...