26 August 2013

Parti Komponen BN Wakil Kaum India Perlu Digabungkan




Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum India perlu bergabung sebagai sebuah parti tunggal untuk pembangunan dan kepentingan kaum itu. Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tidak ada gunanya kesemua parti itu bersaing sesama sendiri, sebaliknya mereka perlu menjalin kerjasama demi kepentingan dan pembangunan masyarakat India di negara ini.

Mereka sepatutnya duduk semeja dan merangka strategi bagaimana dapat membela nasib dan mencapai aspirasi kaum India dengan lebih berkesan, katanya semasa merasmikan persidangan perwakilan Parti Makkal Sakti Malaysia kali kelima di sini hari ini.


"Saya merayu kepada parti seperti Makkal Sakti, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), MIC, Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) dan juga Parti Progresif Penduduk (PPP) yang mempunyai ramai anggota daripada kaum itu agar bergabung supaya menjadi parti yang lebih kuat.

"Kenapa perlu berpecah?...Kenapa perlu wujud banyak parti yang memperjuangkan perkara yang sama?...Barangkali perlu dibuat analisa atau duduk semeja untuk memikirkan bagaimana mengatasi masalah ini," katanya.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata penggabungan itu penting untuk meraih kembali pengundi masyarakat India kerana BN hanya memperoleh 48 peratus sokongan kaum itu pada pilihan raya umum ke-13.

"Kita mahu meningkatkan purata sokongan masyarakat itu kepada 60 hingga 70 peratus...justeru kalau berterusan berpecah, ia akan menyukarkan kita untuk mencapai sasaran," katanya.

Beliau berkata parti India paling besar iaitu MIC, perlu lebih terbuka mendengar pendapat dan membuat analisa mengapa terlalu ramai masyarakat India membentuk parti politik baharu bagi mewakili kaum itu.

"Mesti ada kesilapan, MIC kena perbetulkan. Kenapa banyak sangat penolakan, adakah kerana kepimpinan ataupun polisi, dan juga bagaimana untuk mengumpulkan kesemua parti (kaum India) ini untuk bersama membantu masyarakat India," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Makkal Sakti Datuk R.S. Thanenthiran berkata beliau bersetuju dengan cadangan Tengku Adnan tetapi semua pemimpin parti perlu bertolak ansur dan bersedia melepaskan jawatan parti masing-masing.

"Saya harap ia akan menjadi kenyataan...parti gabungan 'yang disusun semula' itu boleh menggunakan nama baharu di bawah satu payung yang memperjuangkan kebajikan kaum India," katanya.

Beliau berkata jika tidak bergabung sekalipun, kesemua parti perlu duduk semeja untuk membincangkan apa yang boleh dibuat secara bersama demi kepentingan masyarakat itu.

Meskipun Makkal Sakti baru berusia lima tahun, ia telah mempunyai 103,000 keanggotaan seluruh negara kecuali di Sarawak, katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...