24 August 2013

Harus Waspada Penasihat Sekeliling




Oleh : Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Sudah menjadi tabiat manusia, kita lebih suka mendengar kata-kata berunsur pujian dan yang baik-baik mengenai diri sendiri. Begitu juga perihalnya dengan pemimpin. Seorang yang diberikan kuasa oleh ALLAH sering kali dikelilingi oleh manusia-manusia oportunis. Mereka ini sering kali datang dengan pelbagai cerita yang enak untuk didengar oleh para pemimpin berserta dengan kata-kata pujian melangit bagi tujuan, sama ada mendapatkan sesuatu ganjaran atau takut diapa-apakan pemerintah.

Namun orang sama jugalah yang pertama akan meminggirkan diri, bahkan mula mengeji dan menghina apabila pemimpin yang diampunya sudah hilang pengaruh apatah lagi jika sudah tidak bertakhta. Justeru, pemimpin harus sentiasa berwaspada dengan manusia-manusia pengampu yang ada di kelilingnya kerana golongan inilah selalu akan menariknya daripada takhta kuasa.


Sebab itulah dalam Islam, penasihat kepimpinan atau istilah al-Quran disebut ‘Bitoonah’ merupakan golongan yang perlu sentiasa diwaspadai, takut-takut tersalah pilih hingga rebah. Dalam Surah Ali-Imran, ALLAH memberikan penegasan ini: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi penasihat (orang yang dipercayai).

Mereka tidak akan henti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya” (Ali-Imran:118)

Nabi Muhammad SAW turut menjelaskan mengenai ciri-ciri penasihat (bitonah) yang sering kali melingkari pemerintah sebagaimana sabda Baginda: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan ALLAH. (Riwayat al-Bukhari 6/2438 dan al-Nasai 7/158).

Ternyata amaran dan peringatan ALLAH dan RasulNya sebagaimana disebut di atas cukup tepat menggambarkan fenomena jatuh bangun seorang pemimpin sejak zaman berzaman. Kalau disingkap kembali sejarah kebangunan dan kejatuhan setiap zaman khilafah Islam, kita akan dapati bagaimana kekuatan dan kelemahan kepimpinan Islam amat tergantung kepada siapa penasihat-penasihat yang dipilih dan dilantik khalifah.

Apabila yang dilantik adalah mereka yang hanya tahu mengampu, membodek dan mengangkat ego pemimpin sehingga didiamkan kebenaran dan dizahirkan kepalsuan, pada waktu itu kita dapat menyaksikan bagaimana permulaan kejatuhan pemerintah. Saidina Ali bin Abi Talib pernah menggambarkan fenomena ini menerusi kata-kata hikmahnya:

“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ia terpaksa dibeli. Mereka pula membentangkan kezaliman sehingga ia terpaksa ditebus” (Ibnu Muflih, Al-Adab Asy-Syari’yyah, 1/201)

Sebab itulah pemimpin-pemimpin Islam mesti sentiasa memastikan penasihat-penasihat di sekeliling mereka adalah kalangan orang yang jujur dan benar-benar memberikan berita berasaskan denyut nadi umat. Penasihat jujur akan sentiasa mengkhabarkan hakikat yang benar walaupun pahit agar sampai ke telinga pemimpin.

Sedangkan penasihat yang berwatak pengampu hanya menjadi penglipur lara kepada pemimpin kerana apa yang disampaikannya hanyalah cerita-cerita indah penuh dongengan. Manusia-manusia pengampu seperti ini bukannya memikirkan masa depan pemimpin, jauh sekali nasib rakyat yang dipimpin. Sebaliknya siang malam memikirkan bagaimana untuk terus mengisi tembolok dan kantung kekayaan yang tidak pernah mengenal erti puas.

Penasihat-penasihat berwatak kebinatangan seperti ini seharusnya dikhabarkan amaran Rasulullah SAW sebagaimana hadis Baginda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah: “Sesungguhnya ALLAH meredai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sedikit pun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya, (ketiga) kamu menasihati sesiapa yang ALLAH jadikan dia memerintah urusan kamu.

Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik 2/169) Justeru kepada para pemimpin, pastikan penasihat-penasihat di sekeliling kita adalah daripada kalangan orang yang beriman dan bukannya yang menyesatkan kita.

*Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...