Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu terkandung perkara-perkara
dasar mengenai Islam dan umat Islam tidak sahaja di Malaysia tetapi juga di
seluruh dunia. Ia sangat menarik untuk diteliti kerana fokus ucapan beliau itu
adalah betapa pentingnya fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah diperkasa di Malaysia
sebagai jawapan terbaik ke arah wahdah atau perpaduan dalam kalangan umat.
Secara langsung ucapan itu menghubungkan
dengan pengaruh Syiah yang sedang menular di Malaysia. Ia adalah penegasan
penting penolakan kerajaan terhadap ajaran Syiah yang boleh membawa perpecahan
di kalangan warga umat. Kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,
Datuk Seri Abdul Rahim Mohd. Radzi baru-baru ini dengan menyatakan terdapat
250,000 pengikut Syiah di Malaysia adalah sesuatu yang membimbangkan dan
sifatnya mengancam.
Dalam ucapan itu Perdana Menteri menyebutkan
antara lain, - " Dengan izin Allah, kita dalam keadaan bebas daripada
peperangan, persengketaan mahupun bencana alam melampau seperti mana yang
melanda saudara-saudara seaqidah di beberapa negara di seluruh dunia".
Alhamdulillah, Malaysia masih dalam keadaan
damai walaupun pertentangan dalam kalangan kelompok politik sifatnya terkawal.
Bukan tidak ada persengketaan di Malaysia yang boleh membawa apa yang berlaku
di sesetengah negara Arab, tetapi kebijaksanaan kepimpinan negara ternyata
masih ampuh dan strategik untuk meneruskan jejak rekod" yang baik dalam pembangunan
dan menyebabkan kesinambungan perubahan terjadi dengan terancang.
Bezanya Malaysia dan negara-negara umat Islam
lain adalah idealisme Islam diterjemahkan secara beransur-ansur tetapi
konsisten. Berasaskan pendekatan Siyasah Syariyyah kepentingan agama
terpelihara dan Islam diterjemahkan dalam ilmu dan pendidikan, muamalah dan
tijarah, perundangan dan kekeluargaan.
Amat penting gagasan besar Islam tidak saja
dalam batas ritual dan rohaniah tetapi harus mampu diterjemahkan dalam
pengurusan sumber supaya manfaatnya dirasakan.
Pemerhatian penulis, produktiviti rohaniah
umat Islam relatif tinggi dalam konteks ibadah yang sifatnya rohaniah tetapi
produktiviti amaliah umat Islam relatif rendah kerana tidak adanya perancangan
konkrit dan strategik bagaimana Islam mampu berkembang dalam realiti masyarakat
yang serba kompleks dan majmuk.
Sebab itu, Perdana Menteri menyarankan supaya
pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan dijadikan pendekatan dalam situasi
Malaysia baik dari segi dakwah dan tarbiyyahnya mahupun pendekatan politik yang
diambil. Pendekatan wasatiyyah bukan bermakna kita meleburkan soal prinsip
tetapi ia memperlihatkan kebijaksanaan iaitu perimbangan idealisme dan realiti
dalam gagasan yang praktikal dan relevan.
Tambah Perdana Menteri : Dalam konteks Islam
dan Perpaduan Nasional - tiadanya ijmak atau kesepakatan dalam perkara asas
beragama ditambah pula polemik tanpa berkesudahan yang akhirnya akan merugikan
semua pihak". Kenyataan Najib itu amat relevan di mana-mana dalam dunia
Islam. Mesir, Tunisia, Syria, Libya, Iraq dan banyak lagi tidak pernah reda
dengan pergolakan yang serius. Sesama Islam bersengketa dan berbunuhan.
Musuh-musuh Islam tidak perlu mengatur
strategi untuk menghancurkan Islam lantaran di kalangan kelompok yang berbeza
fahaman sedang menghancurkan yang lain dan akhirnya pihak ketiga yang akan
mengaut keuntungan. Tradisi muzakarah hampir pupus, jiwa tasamuh atau toleransi
sudah hilang. Yang muncul kini ialah sikap kebencian yang melampau dan dendam
kesumat yang tinggi sehingga hilang rasa muafakat terhadap hal-hal yang kita
patut bersama.
Ia ditambah dengan polemik mencari kesalahan
orang lain dan tidak pula menyumbang untuk membangun fikrah umat. Rasa tidak
bersyukur terjadi. Yang dilihatnya hanya kuasa politik. Bila dapat kuasa
politik program pembangunan dan perubahan untuk menyantuni masyarakat tidak
ada. Syarah dan tazkirah dijadikan tunjangan menghina orang lain untuk
memelihara muslihat sendiri.
Moga Ramadan yang berlalu dan Syawal yang
perlahan-lahan meninggalkan kita ini membawa warga umat berfikir sejenak
sehingga bila sengketa dalam kalangan umat akan berakhir.
No comments:
Post a Comment