Untuk mengatakan bahawa Malaya
ditadbir secara demokratik di bawah pemerintahan British adalah kurang bijak. Dan,
untuk mengeluarkan dakwaan 'terbaharu' hanya
lima hari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 kononnya - asas
kemerdekaan itu bermula apabila British memerdekakan negara-negara jajahan
mereka di Afrika dan ia diperluaskan kepada negara-negara jajahan mereka yang
lain - juga kurang cerdik.
Tiada tanah jajahan waktu sebelum
era merdeka yang boleh mengharapkan tanggapan seperti ini, walaupun di
negeri-negeri Kesultanan Melayu yang lebih dikenali sebagai naungan British dan
bukannya tanah jajahan secara terang-terangan.
Demokrasi menjadi laungan
perjuangan orang Melayu hanya selepas mereka menyedari betapa pentingnya
pemerintahan sendiri melalui pengalaman semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua.
Kejayaan Sukarno dan Hatta di Indonesia yang membebaskan negara mereka daripada
pemerintahan Belanda pada 1948 menjadi inspirasi sehingga UMNO berandaian,
mencorakkan bendera parti mengikut susunan warna yang sama dengan Sang Saka
Merah Putih Indonesia akan membawa petanda yang baik.
Kegagalan Rancangan MacMichael
untuk mewujudkan Malayan Union pada 1946 mencetuskan nasionalisme Melayu yang
berkobar-kobar merebak ke kawasan luar bandar. Pada 1 Mac tahun berkenaan,
suatu kongres besar-besaran diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur
melibatkan 38 parti Melayu, bilangan paling besar pernah dikumpulkan dengan
suatu matlamat - menentang cadangan kerajaan Malayan Union yang baru.
Wakil-wakil entiti dari seluruh
pelosok negara jauh dan dekat, termasuk dari Singapura dan masyarakat Kaum
Darat Selangor meluahkan pandangan mereka. Cadangan Malayan Union dibahaskan
dan diputuskan sebagai tidak berperlembagaan berhubungan kedaulatan Raja-raja
Melayu.
Perancangan itu berlawanan dengan
kehendak rakyat dan juga bertentangan dengan Piagam Atlantik, dan hanya dengan
mengembalikan kedaulatan Negeri-Negeri Melayu sahaja menjadi penyelesaiannya.
Semasa UMNO secara rasmi
diperkenalkan oleh Tengku Mahkota Johor pada 11 Mei 1946 di perkarangan Istana
Besar, hasrat pemerintahan sendiri telah mula membara dan tidak dapat dibendung
lagi. Pihak berkuasa British menyedari hakikat ini dan secara beransur-ansur
mula melonggarkan ikatan penjajahannya.
Rakyat Malaya waktu itu cukup
maklum bahawa Malaya telah dilahirkan di dalam pemerintahan darurat dan masalah
ketenteraman awam yang berpanjangan. Permasalahan Gee Hin dan Hai San dalam
siri kegiatan samseng mencetuskan Enakmen Kediaman Terhad 1933 (RRE) manakala
keganasan pemberontakan gerila komunis terpaksa dihadapi dengan Ordinan Darurat
1948.
Antara kejadian yang paling
huru-hara semasa darurat ialah pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi, Sir Henry Gurney
pada 6 Oktober 1951 dalam serangan hendap oleh pengganas komunis berhampiran
Kuala Kubu Bharu, Selangor. Kematian Gurney mencetuskan kebimbangan penduduk
tempatan dan penjajah dan sesuatu yang drastik dilakukan dengan pengganti
mendiang mewujudkan Rancangan Briggs.
Dalam Rancangan Briggs,
kampung-kampung baru untuk orang Cina didirikan di beberapa bahagian
Semenanjung terutama di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Kampung-kampung ini dikategorikan sebagai kawasan keselamatan berisiko oleh
kerajaan kolonial. Urusan keluar dan masuk tertakluk kepada pemeriksaan teliti
ke atas bekalan makanan, pakaian dan senjata yang boleh disalurkan kepada
pengganas.
Walaupun Rancangan Briggs
terbukti berkesan dalam mengurangkan bantuan kepada pengganas, rancangan itu
juga ada 'impak' yang lain dan 'terkesan' sehingga hari ini - mewujudkan
polarisasi perkauman iaitu bangsa Melayu dan Cina terutamanya telah dipisahkan.
Orang Cina diletakkan di
bandar-bandar, Melayu di kampung-kampung dan India di ladang-ladang getah dan
kaman, iaitu berek-berek buruk untuk buruh-buruh yang sebahagian besarnya
bekerja di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).
Sehingga merdeka pada 1957,
fungsi Majlis Perundangan Persekutuan banyak menumpukan kepada strategi dan
tindakan terhadap 'bandits', satu istilah seni bagi menggambarkan pengganas dan
penyokong mereka. 'Bandits' terus menentang pihak berkuasa British selepas
berakhirnya Perang pada 1945 atas anggapan bahawa mereka adalah kesinambungan
rejim penjajahan dan pencerobohan selepas rejim Jepun.
Dan menjelang 1948 apabila
pemberontakan komunis di kemuncaknya, pihak British menunjukkan kesediaan
mereka untuk memberi Malaya pemerintahan sendiri pada suatu masa yang sesuai.
Perjanjian Persekutuan Malaya
1948 (FMA) menjadi dokumen yang berperanan penting ke arah kemerdekaan yang
pada ketika itu adalah kira-kira sembilan tahun lagi.
UMNO merupakan penggerak utama
dalam jentera politik kemerdekaan ini. Orang Cina di bawah Persatuan Cina
Malaya (MCA) pada 1948 dan India di bawah Kongres India Malaya (MIC) pada 1951,
menyertai perjuangan bersama iaitu Malaya untuk orang-orang Malaya. Mereka
bergabung membentuk Perikatan sebelum Pilihan Raya Umum Malaya pertama pada
1955.
Perkembangan yang membawa kepada
pilihan raya pertama itulah yang kemudian dimenangi oleh Tunku Abdul Rahman dan
rakan-rakan Perikatannya menjadi satu renungan menarik. Ini terutamanya pada
tahun-tahun permulaan di mana Tunku dan kawan-kawan setia beliau berunding
dengan pihak British dalam pelbagai aspek untuk pemerintahan sendiri.
Seorang sarjana ekspatriat
terkemuka dengan jelas menggambarkan keghairahan kemerdekaan sebagai
'mengharumkan udara Kuala Lumpur dan minda penduduk untuk berhari-hari lamanya'
berikutan 31 ogos 1957 dan pembentukan Kabinet Merdeka Tunku Abdul Rahman yang
dinanti-nantikan pada 10 September 1957.
Tunku, masih sempat berjenaka
dalam keadaan yang agak sukar ketika itu dengan mengatakan walaupun pihak
British banyak mengalah kepada permintaan beliau, tetapi beliau tidak diberikan
kemudahan perumahan sebagai Ketua Menteri.
Gaji bulanan seorang Ketua
Menteri hanyalah sekitar 3,000 ringgit setiap bulan dan elaun keraian secara
pukal sebanyak 2,500 ringgit. Sesuatu yang memeranjatkan ialah para menteri
beliau juga menerima gaji bulanan yang sama.
Demikian sejarah kemerdekaan negara
1957 tertulis dengan faktanya dan tidak tergapai dengan mudah.
No comments:
Post a Comment