24 August 2013

Menghormati Dan Melindungi Wanita




Tentu ada sebabnya apabila 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera' dijadikan tema pada sambutan Hari Wanita 2013 peringkat kebangsaan dan negeri yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Bersempena sambutan berkenaan esok, kita ketepikan dulu menyingkap mengenai pencapaian demi pencapaian golongan wanita yang sering diperkatakan apabila setiap kali tibanya Hari Wanita setiap tahun.

Sememangnya, tidak dapat disangkal tahun demi tahun, ada saja pencapaian dan kemajuan yang diperoleh oleh wanita di negara ini dalam pelbagai bidang sama ada ia memberi kesan yang membanggakan kepada keluarga masing-masing, syarikat di tempat kerja yang diwakili atau mengharumkan nama negara.


Dan kita turut mengakui peranan yang dimainkan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lain-lain agensi berkaitan dalam memberi laluan dan memudahkan kaum wanita membangunkan potensi diri sekali gus membantu meringankan beban keluarga dan pada masa yang sama juga menyumbang dalam menjana ekonomi negara.

Bagaimanapun, dalam memperkasa dan mengangkat wanita dalam bidang-bidang tertentu, mengikut kemampuan dan tahap pendidikan mereka, soal kebajikan, emosi dan keselamatan wanita perlu dititik beratkan. Sebabnya, jika itu dikesampingkan, sudah tentu akan mempengaruhi dan menjejaskan perjalanan wanita dalam mencapai kejayaan berkenaan dan melalui kehidupan yang selesa.

Perlu diingat bahawa tugas wanita kini bukan sekadar menjaga hal ehwal rumahtangga dan mendidik anak-anak, mereka turut bekerja untuk membantu keluarga tidak kira apa jua tahap pendidikan mereka. Dalam keletihan selepas bekerja, bila pulang ke rumah wanita masih boleh menguruskan hal-hal rumahtangga dan keluarga dan apabila hal-hal seperti ini diperlekehkan dan kemampuan mereka dipandang rendah oleh sesetengah lelaki, tentu ini sesuatu yang 'menyakitkan'.



Sedangkan kaum lelaki sepatutnya menunjukkan rasa 'respek' atau hormat terhadap kemampuan wanita menangani kerja-kerja ini yang sekali gus berkorban untuk meringankan beban mereka juga. Itulah hakikat yang sepatutnya diterima lelaki. Tidak kiralah sama ada wanita itu memegang jawatan penting di tempat kerja, bekerja di pejabat-pejabat kerajaan atau swasta, bekerja di kilang-kilang atau pasar raya, semua itu secara tidak langsung dilakukan untuk membantu meringankan beban keluarga dan bagi yang telah berumahtangga meringankan beban suami pula dengan konsep susah payah digalas bersama.

Pun begitu, dalam kita mengakui kemajuan dan kejayaan wanita, pada masa yang sama kes keganasan terhadap golongan ini semakin meningkat. Mungkin terdapat ramai wanita di luar sana, yang terpaksa hidup merana dan ketakutan kerana terlibat dalam keganasan rumahtangga, gangguan seksual dan sebagainya. Paling menyedihkan, hal-hal sebegini didiamkan kerana bimbang sekiranya bersuara atau dilaporkan kepada pihak berkuasa akan teruk dipukul, akan ada tindakan membalas dendam, rasa sayang yang tidak bertempat kepada si pelaku dan macam-macam lagi.

Wanita yang mengalami trauma seperti ini harus diberi pembelaan sewajarnya dan dilindungi manakala pihak yang melakukannya perlu mendapat hukuman yang setimpal. Dilaporkan sebanyak 2,576 kes keganasan terhadap wanita dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding hanya 2,295 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim memberitahu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia itu peningkatan berkenaan membimbangkan. Sememangnya, kes-kes keganasan ini bukan dilakukan secara bermusim.

Seringkali pun, kita mendengar isteri didera suami dengan bermacam-macam bentuk keganasan seperti dipukul dengan pelbagai objek, disimbah asid dan ada yang sanggup membakar isteri sendiri apabila si suami hilang pertimbangan, panas baran atau menghadapi tekanan di tempat kerja lalu menjadikan isteri dan anak-anak sebagai mangsanya.

Dan bukan setakat itu, wanita juga terdedah dengan kes-kes gangguan seksual di mana-mana saja mereka berada tidak kira di tempat kerja, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau dalam pengangkutan awam. Ia dilakukan oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali.


Sebab itu, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan seperti teksi, gerabak kereta api, bas dan tempat letak kenderaan khas untuk wanita. Ini bukan kerana kaum wanita di negara ini terlalu dimanjakan, tetapi ia satu keperluan dan kemudahan kerana jenayah gangguan seksual ini berlaku di mana-mana dan ini merupakan satu ancaman kepada kaum wanita.

Maka untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai terutama wanita, Kementerian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan Kempen 'Respek Wanita' di seluruh negara. Ia bertujuan memberi pendedahan kepada wanita mengenai trend-trend jenayah terbaru, hak-hak mereka dan memberi maklumat-maklumat mengenai saluran aduan kes kecemasan.

Untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada wanita semata-mata, sudah pastinya ia tidak lengkap sekiranya kaum lelaki tidak dibawa bersama dalam memahami perspektif ini. Justeru, kementerian yang sama turut merancang untuk memperbanyakkan seminar yang dikhususkan untuk lelaki pula dalam meningkatkan kesedaran mereka tentang hak-hak wanita. Ini sebagai langkah untuk mempertingkatkan lagi sifat melindungi dan muhasabah diri dalam diri seorang lelaki terhadap wanita.

"Kadang-kadang ada lelaki yang tidak sedar tindakan mereka itu jatuh pada kategori mendera walaupun isteri sendiri. Malah dalam satu seminar baru-baru ini, mereka mengaku kurang prihatin tentang hak wanita. Hilang pertimbangan, panas baran, tekanan kerja antara punca kenapa mereka mengabaikan hak wanita," kata Rohani dalam satu program temubual radio baru-baru ini.


Justeru, kesedaran dan pengetahuan mengenai hak-hak wanita seharusnya turut difahami oleh golongan lelaki. Dan seharusnya, kempen 'Respek Wanita' ini dijalankan secara menyeluruh agar kesannya benar-benar memberi manfaat kepada wanita dan seluruh masyarakat.

Yang penting ia dapat mengekang berlakunya kes-kes keganasan rumahtangga dan gangguan seksual kepada wanita. Jika tidak ia hanyalah sekadar kempen-kempen yang dianggap remeh sebelum ini, apabila tiada perubahan daripada sasarannya. Yang mahu dielak dan dibanteras semakin banyak pula berlaku.

Dan melihat kepada tema sambutan Hari Wanita tahun ini, sudah tentulah tidak cukup sekadar memberi peluang dan ruang kepada wanita untuk memajukan diri dalam pelbagai bidang, tetapi pada masa sama wanita juga menuntut agar mereka dihormati. Walaupun ia satu tuntutan yang nampak mudah tetapi amat sukar dilakukan oleh sesetengah pihak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...