24 August 2013

Kebebasan Bawa Erti Besar Bagi Sebuah Negara



Oleh Zulkiple Ibrahim

"Sebuah negara besar dan kuat pun pada asalnya juga perlu menuntut kemerdekaan daripada penjajahan," ulas seorang pengamal media pada satu majlis yang dihadiri penulis di sini baru-baru ini. Walaupun pengamal media itu enggan dinamakan, namun kata-katanya seiring dengan pendapat ramai orang di negara ini, yang menjadi contoh dunia kerana berjaya menuntut kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.

Manakala negara yang dimaksudkan beliau sudah tentulah Amerika Syarikat di mana 13 koloni asal negara itu telah mengisytiharkan kemerdekaan dari Great Britain pada 4 Julai, 1776. Pengisytiharan kemerdekaan itu melibatkan 'Perang Revulosi Amerika' dari 1775 hingga 1783 di mana perang itu secara formalnya berakhir melalui Perjanjian Paris pada 3 Sept, 1783 dan lahirlah sebuah negara baru iaitu Amerika Syarikat.


Tetapi banyak pertumpahan darah telah berlaku demi mencapai hasrat kemerdekaan itu.


TANAH MELAYU
Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos, 1957 tanpa sebarang pertumpahan darah atau masalah sehinggalah pembentukan Malaysia bersama Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 Sept, 1963. Pada 9 Ogos, 1965, Singapura telah meninggalkan Malaysia untuk menjadi sebuah republik.

Pengamal media itu juga menimbulkan persoalan bagaimana agaknya keadaan kalau negara (Tanah Melayu) masih di bawah belenggu penjajahan Britain.

"Mungkin orang Melayu kehidupan mereka seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," jawab pensyarah Amin Iskandar yang turut hadir pada majlis itu.

Kata Amin, jika Tanah Melayu masih belum merdeka kemungkinan masyarakat Melayu akan hanya di takuk lama dan mengerjakan sawah, orang Cina bekerja di lombong manakala kaum India terpinggir dalam estet-estet getah kepunyaan 'Orang Puteh'.

"Pentadbiran pula dikuasai penjajah dan semua jawatan tinggi serta peluang ekonomi dan pendidikan diboloti mereka," kata beliau lagi.


IDENTITI
Sememangnya mencapai kemerdekaan adalah begitu bermakna bagi sesebuah negara dan penduduknya. Menurut pensyarah itu, samalah dengan rakyat dalam negara Malaysia yang merdeka serta berdaulat.

"Itulah apa yang terjadi kepada rakyat Malaysia. Kebebasan dari belenggu penjajah telah memberikan mereka satu identiti tersendiri selain dari kemahuan dan komitmen untuk mencapai kemajuan," terang beliau.

Menurut negarawan Perdana Menteri Malaysia yang keempat dari 1981 hingga 2003, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad, negara dan rakyat telah mencapai kemajuan yang mendadak dalam hampir semua aspek termasuk dari segi ekonomi, akademik dan pentadbiran.

Beliau yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun pernah berkata kemerdekaan yang dikecapi bermakna rakyat bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malah dari aspek kerohanian dan mental.

Usaha Dr Mahathir yang paling diingati masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah ketika kejayaan beliau membawa Malaysia keluar daripada Krisis Kewangan Asia 1997.

Ketika krisis itu Dr Mahathir telah menolak cadangan dan dana bantuan daripada Dana Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund - IMF) yang beliau sifatkan akan memburukkan lagi krisis itu.



ERTI MERDEKA
Menurut para cendekiawan, erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Jelas mereka, kekuatan politik untuk memperoleh kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua rakyat terutama generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan yang dicapai negara.

Menurut para cendekiawan ini, tugas warga Malaysia pada hari ini adalah menguasai ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan kerana tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang diperoleh akan menjadi amat rapuh.
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...