Penyanyi tersohor negara, Dato'
Siti Nurhaliza bakal mempersembahkan 35 buah lagu tradisional bersama dengan
Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dalam konsert solo irama tradisional
pertamanya. 'Konsert Lentera Timur Dato'
Siti Nurhaliza' ini bakal diadakan di Istana Budaya dari 20 hingga 22
September ini.
Menemui Siti di sidang akhbar
sempena konsert ini di Istana Budaya pada Selasa, dia menyatakan yang dia akan
membawakan kelainan dalam persembahannya. Tidak hanya akan menyampaikan
lagu-lagu yang telah menjadi kebiasaan untuknya seperti Asli, Joget, Inang,
Zapin, Keroncong dan Masri, Siti juga akan membawakan lagu-lagu yang belum
pernah dinyanyikannya dalam mana-mana persembahan seperti lagu yang berentak
Dikir Barat dan Makyong.
Konsert yang mengangkat irama
tradisional yang julung kali diadakan oleh Siti ini menjadi tanda perjalanan
seninya yang telah memasuki usia 18 tahun. Diterbitkan oleh Istana Budaya dan
Siti Nurhaliza Productions (SNP), konsert yang dinamakan 'Lentera Timur' ini bakal menggambarkan bagaimana irama tradisi
negara kita ini akan terus kekal bersinar hingga akhir nanti.
"Konsert ini bakal mengambil
masa selama dua jam. Seleksi pilihan lagu pada malam pertama hingga ketiga akan
sama, tapi tak tahulah kalau-kalau ada pertukaran di saat-saat akhir. Pihak
kami (Istana Budaya dan SNP) ada perancangan untuk merakamkan konsert ini
kerana kami merasakan konsert ini sangat menarik kerana menampilkan lagu-lagu
tradisional, tapi semuanya masih dalam perbincangan," ujar Siti yang kali
terakhir muncul dengan album berentak tradisional pada penghujung tahun 2008
menerusi album 'Lentera Timur'.
Pengarah muzik ternama, Mohd
Yazid Zakaria dari OTM dan Aubrey Suwito bakal berganding bahu dalam memberikan
sentuhan magis untuk menggubah dan menyusun lagu-lagu yang bakal dialunkan oleh
suara emas Siti. Konsert ini juga akan menampilkan penggiat seni berpengalaman,
Lokman Ghani selaku pengarah konsert.
No comments:
Post a Comment