29 August 2013

Kenyataan Wira Perkasa, Adalah Pandangan Peribadi




Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris yang membuat kenyataan dalam blognya yang bertajuk ‘Sudah Cukup Segalanya DiGadai, Haji Najib Wajar Letak Jawatan’, nampaknya keseorangan.

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar yang terkejut dengan kenyataan Irwan Fahmi menjelaskan bahawa Perkasa tidak pernah mengambil pendirian sedemikian. Walaupun Perkasa agak lantang mengkritik Dato’ Seri Najib dalam mencaturkan PRU-13, namun pertubuhan itu tidak pernah mendesak beliau meletakkan jawatan.


Menurut Datuk Abd. Rahman, Perkasa sedia memberi masa kepada Dato’ Seri Najib untuk mengkaji semula strategi PRU-13 yang dianggap mereka sebagai banyak kelemahan kerana telah mengabaikan penyokong BN dan sebaliknya lebih mengutamakan tuntutan dan desakan pembangkang serta kaum Cina.

Perkasa percaya dengan kritikan pertubuhan tersebut, Dato’ Seri Najib akan dapat membuat percaturan yang lebih baik bagi menghadapi PRU-14. Dengan itu, Datuk Abd. Rahman menegaskan bahawa kenyataan Irwan Fahmi adalah bersifat peribadi dan bukan mewakili suara Perkasa.

Kita sedia maklum bahawa Presiden Perkasa, Dato’ Ibrahim Ali adalah seorang yang lantang. Oleh itu, kita pasti, jika Perkasa inginkan Dato’ Seri Najib meletak jawatan maka ia akan dilakukan oleh Presiden sendiri, bukan orang lain.

Memandangkan Dato’ Ibrahim Ali tidak membuat sebarang kenyataan mengenai perkara ini, maka kita pasti bahawa beliau juga tidak berpegang kepada pendirian yang sama dengan Irwan Fahmi.

Nampaknya, Irwan Fahmi telah tersalah langkah. Beliau mungkin menyangka yang kenyataannya akan menerima sokongan padu berdasarkan kritikan Perkasa terhadap kepimpinan sebelum ini.  Namun, beliau gagal memahami bahawa kritikan bukan bermakna permusuhan.  Kritikan selalunya menandakan keprihatinan atas dasar inginkan yang terbaik untuk subjek yang dikritik.

Irwan Fahmi harus faham bahawa dalam politik, kritikan dari penyokong adalah sesuatu yang baik dan Dato’ Seri Najib cukup maklum mengenainya. Perkasa dan UMNO adalah saudara kandung, seibu dan sebapa, sebangsa dan seagama. Kritik mengkritik adalah atas dasar sayang semata-mata serta tidak wajar menjadi barah.   

Perkasa mengkritik bukan untuk menjatuhkan beliau, tetapi untuk mengukuhkan kedudukannya, pastinya kerana Perkasa menaruh sepenuh keyakinan terhadap kepimpinannya. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...