24 August 2013

Si Kaki Busuk Dan Patriotisme




Sumpah saya tidak ada masalah dengan Negaraku. Sejak dalam darjah satu lagi saya sudah menghafal liriknya, dan menyanyikan lagu kebangsaan itu setiap kali perhimpunan mingguan di padang sekolah. Maka bukanlah luar biasa sangat memainkan lagu tersebut di pawagam, seperti yang dicadangkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beberapa pemilik pawagam pun telah bersetuju dengan cadangan tersebut.

Bagi sesetengah orang cadangan itu baik. Bak kata menterinya, lagu yang dimainkan setiap kali sebelum tayangan filem itu bertujuan menunjukkan semangat patriotik dan kecintaan rakyat kepada negara. Tetapi bukan semua bersetuju. Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) bimbang sekiranya lagu penting itu menjadi ejekan jika dimainkan di pawagam.


Sepatah kata Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad: “Di pawagam, keadaannya tertutup dan lebih suram, mungkin boleh mengundang perkara tidak diingini seperti rasa tidak hormat kepada lagu Negaraku.”

Bersetuju benar saya dengan Syed Anuar. Dimainkan di tempat terang dan pada majlis rasmi pun ramai yang tidak hormat – ada yang ketawa sambil garu-garu ketiak dan korek-korek hidung! – inikan pula di pawagam yang gelap, mungkin ramai yang tidak berdiri, malah lebih teruk lagi sekiranya ada yang ‘booo...”

Sementelahan pula lagu kebangsaan itu sudah banyak kali dipersenda, tetapi tidak siapa yang kisah. Seorang budak Cina, Wee Meng Chee atau ‘Namewee’ pernah menghina lagu rasmi negara itu dalam internet. Nama lagu ditukar menjadi ‘Negarakuku’, dan seni katanya diubah dengan unsur-unsur menghina.

Si kurang ajar itu telah mengakui keterlanjurannya, tetapi tidak mahu memohon maaf. Sampai sekarang tidak ada apa-apa tindakan ke atasnya. Semakin beranilah dia! Siapa yang berani menegur dan bertindak sekiranya ramai spesies Namewee ada di pawagam?

Maka pada hemat saya, walaupun menteri berniat baik, cadangan memainkan Negaraku di pawagam tidak perlu dilaksanakan walaupun hanya untuk musim menyambut hari kemerdekaan. Lagi pun secara logik, kecintaan dan patriotisme terhadap negara tidak semestinya ditunjukkan hanya dengan menyanyikan lagu kebangsaan atau mengibarkan Jalur Gemilang.

Kalau dua benda itu dijadikan kayu pengukur, nampak sangatlah lebih ramai yang tidak cintakan negara, sebab 99 peratus rumah tidak mengibarkan bendera pada hari merdeka. Sebenarnya tanpa mengibarkan bendera di rumah atau di kereta, dan tanpa berdiri tegak setiap kali Negaraku dimainkan sebagai pembuka dan penutup siaran TV pun perasaan cinta dan kasih terhadap negara sentiasa ada.

Cinta, tidak kira terhadap kekasih atau sesiapa sahaja, adalah perasaan yang wujud secara semula jadi, bukan dipaksa-paksa.

Rasa sayang terhadap negara akan tumbuh dan segar-megar sekiranya wujud keamanan, kesempurnaan, kemakmuran dan lain-lain nilai murni. Kecintaan terhadap negara dimulakan dengan rasa sayang dan hormat terhadap pemimpin. Bersih pemimpin, bersihlah negara.

Sebab itu pemimpin – tidak kira apa pegangan politik dan agama – hendaklah bersih dan perlu dilihat bersih setiap masa. Bagaimana rakyat hendak menghormati dan memandang tinggi terhadap pemimpin sekiranya mereka dilihat dalam persepsi tidak bersih.

Bagaimana hendak cintakan pemimpin sekiranya bukan sahaja persepsi tetapi realiti mereka kaki rasuah, kaki seleweng, kaki perempuan, kaki maksiat, kaki sakau hak orang, kaki songlap kontrak, kaki putar alam, dan kaki-kaki busuk yang lain.

Kecintaan terhadap negara bermula dengan kecintaan terhadap pemimpin. Kecintaan terhadap pemimpin bermula dengan pemilihan pemimpin. Dalam kes Umno, kuasa memilih itu ada di tangan para perwakilan yang akan membuat penentuan penting dalam masa beberapa bulan lagi.

Kempen telah bermula, sama ada secara terbuka atau secara senyap-senyap. Ramai sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding berbagai jawatan.

Perwakilan perlu membuka mata, hati dan perasaan. Jangan takut untuk menolak mana-mana calon yang tidak bersih kerana pernah terlibat – dan dihukum – atas pelbagai ciri-ciri kebusukan.

Sekiranya calon-calon kaki busuk ini juga yang dipilih, apa harapan kita untuk sebuah negara yang bersih? Percayalah, kalau sudah busuk, letakkan di mana pun – hatta di kerusi emas bertatah permata nilam – dia tetap busuk, dan mengotorkan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...