28 August 2013

Percaturan Pemilihan UMNO




Oleh : Mior Kamarul Shahid Cetak

Di luar sana, ramai yang berkira-kira untuk bertanding pelbagai jawatan dalam pemilihan UMNO. Bagi pemimpin, sama ada pada peringkat cawangan, bahagian, Pergerakan Puteri, Pemuda, Wanita dan induk UMNO itu sendiri, pertandingan itu penting kepada setiap mereka atas pelbagai tujuan tersendiri. Ada yang mahu berkhidmat kepada rakyat dan negara dan tidak kurang juga yang yakin bahawa kemenangan boleh mencerahkan masa depan mereka.

Bagi ahli Pergerakan Puteri, Pemuda, Wanita dan UMNO pada peringkat cawangan, mereka menawarkan diri bertanding jawatan pada peringkat jawatankuasa kerana di situlah bermulanya perjalanan politik seseorang. Bagi pemimpin UMNO, seboleh-bolehnya mereka mahu dipilih menduduki jawatan ahli jawatankuasa sebagai laluan menaiki tangga yang lebih tinggi. Pada peringkat bahagian, saingan adalah lebih sengit kerana nasib mereka yang bertanding ditentukan oleh ahli cawangan.


Tidak kiralah sama ada Puteri, Pemuda, Wanita atau UMNO, sesiapa saja yang memegang jawatan pada peringkat bahagian, dianggap sudah mempunyai pengaruh yang besar terhadap parti. Untuk mendapat tempat pada peringkat bahagian, mereka mestilah popular, berpengaruh dan dikenali ramai. Biasanya, setiap pemimpin UMNO pada peringkat Pusat bermula dari cawangan dan memimpin Bahagian. Cuma, jawatan berkenaan perlu dipertahankan setiap tiga tahun.


Pertarungan bahagian lebih menarik
Bagi setiap pemimpin UMNO, kedudukan mereka di bahagian sangat penting kerana dari sinilah mereka boleh mengukur kemampuan sama ada boleh pergi ke peringkat lebih tinggi atau tersangkut pada peringkat itu saja. Boleh dikatakan semua Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan sebahagian besar menteri Kabinet, kecuali yang dilantik sebagai Senator, adalah pemimpin bahagian.

Selagi mereka belum dapat menempatkan diri dalam jawatankuasa pada peringkat bahagian, amat sukar untuk mereka pergi lebih jauh. Tarikan untuk berada dalam kepemimpinan bahagian sama ada pada peringkat Pergerakan Puteri, Pemuda, Wanita dan UMNO, ialah kerana peluang untuk bertanding dalam pilihan raya adalah lebih cerah.

Mereka yang memegang jawatan pada peringkat bahagian juga biasanya dilantik menjawat jawatan pada peringkat Perhubungan Negeri yang biasanya dipengerusikan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri. Itulah sebabnya, pertarungan pada peringkat bahagian begitu menarik dan menjadi rebutan.

Paling sengit ialah pertandingan jawatan Timbalan Ketua dan Ketua UMNO Bahagian, apatah lagi jika berlaku cabar-mencabar. Sering juga berlaku kejutan apabila pemimpin pada peringkat Pusat atau negeri tewas dalam pertarungan peringkat bahagian. Jawatan peringkat bahagian ini juga penting kerana selain mereka memerlukan pemimpin, pemimpin atasan juga memerlukan undi mereka.

Sudah mula uji ‘saham’
Dalam kalangan ahli politik kebelakangan ini, mereka sudah pun mula menguji ‘saham’ diri masing-masing, sama ada layak untuk bertanding sesuatu jawatan yang difikirkan sesuai atau mencabar penyandang sedia ada. Sudah tentulah fokus hari ini ialah kepada peringkat Ketua Bahagian sama ada Puteri, Pemuda dan UMNO seterusnya jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan kepemimpinan tertinggi parti iaitu Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden UMNO.

Setiap ahli tidak bimbang dengan kesan kemungkinan berlakunya perpecahan kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah pun berakhir. Dijangkakan perebutan 25 jawatan MT akan menerima penyertaan paling ramai. Kebanyakan Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan bertanding jawatan MT. Disebabkan kedudukannya yang terbatas, persaingan pastinya sengit.

Kedudukan dalam MT. MT ialah badan yang membincangkan persoalan dasar parti. Mereka yang berada dalam MT biasanya layak menduduki jawatan penting dalam kerajaan hingga ke jawatan Timbalan Menteri dan Menteri. Bilangan calon MT kali ini dianggap lebih ramai kerana sebahagian besar EXCO Pemuda yang sudah melewati usia 40 tahun, perlu mencari tapak baru dalam parti. Jika tidak, kedudukan politik mereka akan terbatas pada peringkat bahagian atau cawangan saja.


Percaturan, strategi untuk menang
Pada peringkat Pergerakan Pemuda dan Wanita, persaingan untuk jawatan tertinggi kedua-dua sayap parti itu juga menarik perhatian. Setakat ini, jawatan Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil mungkin ditentang manakala belum ada tanda-tanda jelas Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin akan ditentang. Pada peringkat Pemuda, jawatan Naib Ketua mungkin menjadi rebutan kerana penyandangnya, Datuk Razali Ibrahim melepaskan jawatan kerana melebihi usia 40 tahun. Bagi Puteri UMNO juga, kemungkinan berlaku pertandingan jawatan ketua adalah jelas kerana penyandangnya, Datuk Rosnah Shirlin dikatakan akan mencari ruang di dalam Pergerakan Wanita UMNO pula.

Jawatan Naib Presiden UMNO adalah tiga jawatan yang diberi perhatian. Secara tradisinya, salah seorang daripada mereka akan dipilih untuk mengambil alih kedudukan Timbalan Presiden parti sekiranya berlaku kekosongan. Untuk tiga jawatan penting ini, setiap calon perlu membuat perkiraan kelayakan diri mereka menduduki jawatan itu dari pelbagai sudut. Dalam pemilihan kali ini, ketiga-tiga pemegang jawatan itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal diramalkan bertanding dengan beberapa calon lain yang menunjukkan minat untuk merebut jawatan itu.

Setakat ini beberapa orang daripada mereka sudah pun mula ‘menguji saham’ mereka sama ada diterima oleh ahli akar umbi, Apa pun, setiap mereka mempunyai percaturan dan strategi masing-masing untuk menang. Pada peringkat jawatan Timbalan Presiden dan Presiden, setakat ini tidak nampak calon yang berani beradu nasib bagi kedua-dua jawatan itu. Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden, Datuk Seri Najib Razak sudah hampir pasti menang tanpa bertanding. Apa pun, selepas 28 September nanti, calon yang bertanding jawatan dalam parti akan diketahui manakala pada 19 Oktober pula, keputusannya akan diketahui.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...