Awang menyambut baik pengumuman Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa kementeriannya akan melakukan
operasi bersepadu besar-besaran untuk menangkap pendatang asing yang bekerja
tanpa permit di seluruh negara bermula bulan depan.
Awang berpendapat sudah sampai masanya sekali
lagi pihak berkuasa - Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
agensi penguatkuasaan yang berkaitan melancarkan operasi serupa itu
memandangkan masalah tersebut masih nyata.
Ramai PATI bekerja tanpa permit di dalam sektor
peladangan, perniagaan, pembinaan dan perkhidmatan. Jika kita tidak membanteras
pekerja asing yang bekerja tanpa permit ini, bermakna kita seolah-olah
menggalakkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Jabatan Imigresen sebelum ini pun menyatakan
hampir 400,000 PATI yang kebanyakannya bekerja di sektor perkhidmatan,
pembinaan dan perladangan akan diburu habis-habisan dalam operasi berskala
besar selepas perayaan Aidilfitri ini, dengan tumpuan kepada Kuala Lumpur,
Selangor serta Pulau Pinang.
Sedar atau tidak, kehadiran PATI yang umumnya
kerana mencari pekerjaan di negara kita, akan mendedahkan mereka kepada amalan
penggajian pekerja yang tidak sihat. Status mereka itu membuka ruang kepada
majikan untuk menindas atau tidak memberi layanan yang setimpal. Biarlah negara
kita dikenali sebagai negara yang menawarkan pekerjaan kepada warga asing yang
masuk secara sah dan kebajikan mereka pula diambil berat.
Ancaman lain apabila kita membiarkan PATI
menyusup ke negara kita ialah betapa rakyat kita terdedah kepada pelbagai
kemungkinan penyakit berjangkit yang dibawa masuk oleh golongan itu. Justeru
bersama-samalah menjadi mata dan telinga pihak berkuasa supaya operasi
besar-besaran ini membuahkan hasil seperti diharapkan.
No comments:
Post a Comment