23 August 2013

Warkah untuk Presiden Mesir




Tuan Presiden,

APALAH salah dan dosa rakyat anda sehingga tentera anda sendiri menggempur mereka sehingga mengakibatkan lebih dari 2,500 orang maut. Bukankah mereka juga rakyat Mesir yang perlu anda lindungi sebagai seorang Presiden yang bertanggungjawab? Walaupun Presiden sementara tugas dan tanggungjawab anda yang paling utama ialah menegakkan kebenaran, mengembalikan demokrasi dan menjaga keselamatan seluruh rakyat Mesir tanpa mengira ideologi perjuangan.

Tetapi malangnya ada telah merintis jalan ke arah jenayah kemanusiaan yang paling dahsyat, terkutuk dan yang paling buruk dalam sejarah. Tindakan tentera anda jelas menggambarkan hasrat terpendam selama ini iaitu bukannya berniat hendak mengusir para penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi yang berhimpun secara aman beramai-ramai sebaliknya mahu menghapuskan para penyokong Mursi sama sekali.


Akibatnya kira-kira 2,500 nyawa yang tidak berdosa yang hanya mahu mengembalikan demokrasi di negara tercinta mereka melayang begitu sahaja dan lebih malang lagi ia ditaja oleh kerajaan anda sendiri. Adakah anda berpuas hati sekarang? Atau masih belum puas dan akan terus dengan rakusnya meragut ribuan nyawa penyokong Mursi selepas ini. Kami yakin ia bakal berlaku lagi kerana pihak Ikhwanul Muslimin terus berikrar akan mengadakan bantahan secara aman sehingga berjaya "menumbangkan" dan rampas kuasa oleh tentera.

Tuan Presiden,

Apakah anda lupa dunia sedang menyaksikan segala tindak tanduk dan perbuatan kejam anda dan tentera anda? Apakah anda juga tidak dengar kecaman dan kutukan seluruh dunia ke atas tindakan kejam tentera anda ini? Atau memang anda sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata dari mendengar dan melihat rintihan mangsa dan keluarga mereka serta desakan dan kecaman seluruh masyarakat dunia?

Walaupun kami di Malaysia berada jauh beribu batu dari negara anda namun kami tetap merasai rintihan mangsa dan keluarga mereka atas dasar sesama umat Islam dan paling tidakpun sebagai manusia kami dapat merasai kesusahan dan keperitan yang mereka lalui tatkala seluruh umat Islam masih dalam suasana meraikan Aidilfitri. Rakyat dan pemimpin kami juga sudah menyatakan pendirian dan terus mengecam tindakan tentera anda sama seperti penduduk dunia yang lain.

Tuan Presiden,

Dengarlah rintihan, kehendak, desakan dan rayuan rakyat anda. Mereka berhimpun secara aman hanya dengan satu tujuan iaitu mahu kembalikan demonstrasi yang telah diragut dan dirampas secara paksaan. Sebagai kerajaan walaupun kerajaan sementara apakah anda mampu meneruskan pemerintahan dalam keadaan huru hara, kacau bilau dan terus bermandikan darah seperti ini? Sampai bila anda boleh membiarkan tentera menggempur dan menghapuskan penyokong Mursi?

Apakah anda dan tentera anda hanya akan berhenti setelah semua penyokong Mursi dibunuh dan dihapuskan dari muka bumi ini? Dan pada ketika itu tinggal siapa lagi di Mesir untuk dipanggil rakyat? Sedarlah bahawa cara dan kaedah kasar, kejam dan zalim seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah malah akan lebih mengeruhkan lagi keadaan di negara anda dan itulah yang dimahukan oleh musuh Islam. Ternyata anda telah menggembirakan musuh-musuh Islam di seluruh dunia.

Tuan Presiden,

Sebagai ketua walaupun berstatus sementera adalah menjadi tanggungjawab anda untuk membetulkan keadaan dan situasi runcing yang sedang melanda negara anda. Jangan membiarkan diri anda diperalatkan oleh puak mahupun pihak yang berkepentingan terutamanya pihak luar. Negara anda dan rakyat anda adalah tanggungjawab anda sendiri. Hentikanlah jenayah kemanusiaan dan keganasan ini dengan segera. Kami tidak rela melihat dan membiarkan saudara Islam kami di negara anda diperlakukan seperti ini.

Kami akan terus mengutuk tindakan seperti ini. Kami akan terus mendesak untuk anda dan tentera anda berhenti dari terus melakukan kezaliman dan kami akan terus berdoa untuk keselamatan saudara Islam kami di negara anda. Ya Allah lindungilah keselamatan umat Islam di bumi Mesir. Amin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...