Pertama sekali, diucapkan setinggi-tinggi
terima kasih dan tahniah kepada usaha dan keprihatinan Menteri Belia Dan Sukan,
Khairy Jamaluddin berhubung bantahan terhadap cadangan untuk melaksanakan
Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) ke atas peminjam Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar.
Malah ketika isu ini mula dibangkitkan, boleh
dikatakan Khairy yang sinonim dengan panggilan KJ adalah merupakan mereka yang
terawal menolak cadangan ini dilaksanakan. Ia secara tidak langsung telah
menyebabkan pakatan pembangkang terperanjat dengan tindakan tersebut. Ini
kerana, mereka mungkin menyangka semua cadangan berhubung dasar kerajaan perlu
dipersetujui walaupun ia secara jelas boleh membebankan rakyat.
KJ yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno
sebelum ini menegaskan Pergerakan Pemuda tidak bersetuju dengan cadangan
kerajaan untuk menyenaraihitamkan peminjam PTPTN yang gagal membayar balik
pinjaman. Menurut beliau kerajaan sepaptutnya mengguna pakai segala mekanisme
kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang enggan
melunaskan hutang mereka.
Malah, menurut beliau keutamaan hendaklah
diberi kepada tindakan bersepadu dengan mengambil kira pemberian insentif
bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal berasaskan kepada situasi semasa
peminjam.
Selain Pemuda Umno, Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung (GPMS) turut menyatakan bantahan terhadap cadangan ini kerana
merasakan kaedah tersebut agak radikal dalam persekitaran ekonomi negara yang
kurang memberangsangkan dan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Malah mereka juga turut mencadangkan agar
kerajaan mengadakan sidang meja bulat dan perbincangan dengan pelbagai pihak
termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Perwakilan Pelajar bagi
menangani masalah ini.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh
sebelum berkata bermula Ogos ini, lebih 400,000 peminjam PTPTN yang gagal
membayar balik pinjaman akan disekat daripada melakukan sebarang pinjaman dari
mana-mana institusi kewangan di negara ini.
Katanya lagi, melalui CCRIS dengan kerjasama
Bank Negara akan menyenarai hitamkan mereka yang ingkar. Dengan itu, mereka
yang gagal membayar kembali pinjaman menerima kesan seperti gagal mendapatkan
kelulusan pinjaman daripada institusi kewangan lain, terutamanya yang
membabitkan pinjaman wang, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.
Walaupun dari satu sudut, cadangan Idris itu
baik sebagai satu usaha untuk mewujudkan budaya membayar kembali hutang di
kalangan rakyat, namun dari satu segi ia di lihat boleh membebankan rakyat.
Tambahan pula, cadangan tersebut juga seperti memberikan ‘bola tanggung’ kepada
pembangkang untuk berterusan mewujudkan sentimen kebencian di kalangan
masyarakat kepada kerajaan.
Kesimpulannya, keputusan kabinet untuk
menolak cadangan tersebut melalui mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan
semalam adalah merupakan satu bukti keprihatinan kerajaan terhadap denyut nadi
rakyat dalam mendengar rintihan dan suara anak muda. Ia sekali gus menepati
slogan yang sering dikumandangkan selama ini ‘Rakyat Di dahulukan.
Terima Kasih PM!
No comments:
Post a Comment