28 August 2013

Melayu Harus Berkuasa Di Kawasan Bandar




Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Apabila ada rancangan pembangunan, adakah orang Melayu hanya layak dipindahkan ke luar bandar? Ini persoalan yang sentiasa dihadapi oleh orang Melayu dan turut diangkat oleh Keris Mas dalam novelnya, Rimba Harapan.

Keris Mas atau nama penuhnya Kamaludin Muhammad adalah Sasterawan Negara yang pertama. Beliau menerima anugerah terbabit pada 1981. Beliau dilahirkan pada 10 Jun 1922 di Kampung Ketari, Bentong, Pahang dan meninggal dunia pada 9 Mac 1992. Novel Rimba Harapan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1986.


Novel ini bertolak daripada bencana alam, iaitu banjir besar yang melanda Pahang, termasuk Bentong beberapa dekad yang lalu. Sawah bendang yang diusahakan oleh Melayu sudah rosak binasa. Bencana itu menyukarkan kelangsungan hidup orang Melayu, termasuk yang memiliki tanah di kawasan pekan Bentong.

Dalam setiap krisis akan ada oportunis. Rancangan pembangunan sekitar Bentong pasca bencana alam itu menyaksikan kerangka pembangunan industri penanaman getah yang meluas, yang akan diusahakan oleh orang bukan Melayu atau orang asing. Oportunis yang terdiri daripada broker tanah muncul, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri yang memujuk orang Melayu agar menjual tanah mereka kepada pihak asing.


Pinggir nama Melayu
Protagonis novel ini, iaitu Zaidi berusaha keras menyedarkan orang Melayu agar tidak menjual tanah mereka kepada orang asing. Ia juga bersemuka dengan broker tanah Melayu yang lebih memikirkan keuntungan kewangan daripada warisan tanah bagi orang Melayu dalam jangka panjang. Usaha Zaidi yang hanya berbekal hujah dan semangat Melayu tidak berjaya sepenuhnya. Sebahagian orang Melayu Bentong terpaksa membuka kawasan baru yang kini dikenali sebagai Janda Baik.

Tema novel ini terus mewakili nasib orang Melayu yang kawasan mereka diambil atas nama pembangunan. Sebagai penduduk majoriti terutama di Semenanjung, kebanyakan orang Melayu mengusahakan tanah pertanian. Bandar kecil muncul di sana sini bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar, sama ada keperluan barangan atau perkhidmatan.

Makin lama, hasil perkembangan penduduk dan ekonomi, bandar kecil menjadi bandar sederhana besar sementara bandar sederhana besar berubah menjadi bandar besar. Proses pengembangan itu selalunya mengorbankan tanah orang Melayu. Orang bukan Melayu biasanya akan membantah keras agar tanah mereka tidak diambil sewenang-wenangnya oleh pihak kerajaan atau swasta.

Fenomena ini terjadi di mana-mana di negara kita. Bukan saja di Pulau Pinang, malah di kota-kota utama negara kita, pemilikan tanah orang Melayu semakin mengecil. Di samping itu, pembangunan terbabit juga secara kurang ajar menghapuskan atau meminggirkan nama Melayu yang asalnya – umpamanya Kampung Kerinchi diubah kepada Bangsar South dan Teluk Danga diubah kepada Danga Bay.


Peranan ahli politik Melayu
Sungguhpun pihak berkuasa tempatan (PBT) atau dewan bandaraya diberi kuasa untuk meluluskan atau tidak meluluskan nama sesuatu kawasan pembangunan, berdasarkan polisi bahasa kebangsaan, tetapi tampak kuasa golongan kapitalis selalu mengatasi polisi tanpa penguatkuasaan yang tegas.

Jika dalam Rimba Harapan ada broker tanah dalam kalangan orang Melayu yang memujuk orang Melayu melepaskan hak tanah mereka, situasi sama berlaku pada hari ini. Malah ada ahli politik Melayu, yang diharap akan mempertahankan dan meluaskan penguasaan tanah Melayu, berubah menjadi ‘broker tanah’ yang merugikan orang Melayu. Mereka berbuat begitu kerana ingin melihat negeri atau ibu negeri atau kawasan mereka membangun. Pembangunan itu kebanyakannya diserahkan kepada pihak swasta bukan Melayu pula.

Ahli politik Melayu tidak harus sewenang-wenang memanipulasi peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) yang boleh dikatakan secara paksa mengambil tanah Melayu untuk dibangunkan, tanpa memikirkan nasib orang Melayu dan masa depan mereka.

Atas nama pembangunan, orang Melayu tidak boleh disingkirkan ke luar bandar, seperti penduduk Bentong yang harus meneroka Janda Baik itu. Ahli politik Melayu harus berupaya membentuk masyarakat Melayu bandar yang bukan saja mempunyai kekuatan ekonomi, malah menjadi penyokong parti politiknya.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...