Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah membuat
satu laporan polis semalam ke atas blogger Sangkakalajari9 atas sebuah entri di
blognya yang disifatkan memfitnah pegawai PMO kononnya terlibat dengan
perbuatan rasuah. Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya
oleh seorang pegawai PMO.
Laporan polis menjurus kepada artikel di blog
itu bertarikh 21 Ogos lepas yang dilihat bersifat fitnah terhadap integriti,
profesionalisme dan reputasi para pegawai kanan perkhidmatan awam di PMO. Perkara
tersebut telah disahkan oleh seorang pegawai PMO
Pegawai tersebut berkata, pengendali blog
tersebut telah membuat kenyataan itu dengan mendakwa beberapa orang pegawai
kanan perkhidmatan awam PMO iaitu Tan Sri Abdul Aziz Kasim, Ketua Setiausaha
Sulit (KSUS) Kepada Perdana Menteri dan dua lagi pegawai kanan PMO terlibat
dalam amalan jenayah rasuah sedangkan tuduhan tersebut tidak berasas sama
sekali.
Sangkakalajari9 dalam entrinya mendakwa
dirinya telah dihubungi oleh seorang bergelar Dato' yang mengatakan bahawa
beliau ditipu oleh dua orang lelaki (bukan pegawai PMO) yang mengatakan mereka
boleh membantu dalam usaha mendapat pengurangan cukai Kastam.
Dua orang dimaksudkan bernama Asri dan Ehsan
dan isteri Ehsan kononnya adalah pembantu peribadi (PA) kepada Abdul Aziz. Blog
Sangkakalajari9 turut mendakwa biasanya kerja yang dibuat pasti perlu
disertakan dengan imbuhan yang diberikan atas kerja tersebut. Petikan tulisan
blog menyebut :-
"Tapi macam biasa la, takkan buat kerja
freekan, mesti ada imbuhan yang diberikan atas kerja tersebut dan jumlah yang
diminta oleh kedua-dua lelaki itu adalah sebanyak RM150,000 dan wang tersebut
mengikut kata mangsa diserahkan di Kelab Tasik Putrajaya.
"Dan semua surat sokongan untuk
pengurangan cukai tersebut telah diberikan oleh kedua-dua lelaki kepada
mangsa,"
Menurut blog itu, apabila mangsa penipuan itu
menghubungi kedua lelaki ini (Asri dan Ehsan) mereka berdolak-dalih sehinggalah
mengambil keputusan bertemu sendiri dengan Abdul Aziz.
Artikel itu turut menyebut, apabila bertemu
Abdul Aziz dan juga dua lagi pegawai PMO itu mereka mengatakan bahawa mereka
tidak mengenali dengan dua orang lelaki yang ditemui oleh Dato' berkenaan.
Blog itu mempersoalkan kenapa Abdul Aziz dan
dua orang pegawai itu tidak mengenali lelaki tersebut padahal dokumen iaitu
surat sokongan telah ditandatangani oleh Abdul Aziz dan juga Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.
Blogger itu juga secara melulu menuduh
kononnya menjadi amalan biasa dalam kalangan para pegawai kanan perkhidmatan
awam PMO meminta imbuhan bagi melaksanakan kerja atau tugas tertentu.
Difahamkan laporan polis itu dibuat bagi
membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia
ada bagi mengenal pasti dalang yang terlibat membuat fitnah tersebut. Laporan
polis juga dibuat bertujuan untuk mempertahankan dan mengembalikan integriti,
profesionalisme dan reputasi para pegawai PMO secara keseluruhannya.
Sumber : Apple-Bru Blogspot
No comments:
Post a Comment