Tidak salah jika dikatakan bahawa Kalimah
Allah tidak mungkin menjadi isu jika PAS tidak bersekongkol dengan DAP. Persekongkolan
PAS dengan DAP telah membawa kepada dolak-dalih dan ‘flip-flop’ dalam kes kitab Injil berbahasa Melayu yang menggunakan
Kalimah Allah bagi menggantikan nama Tuhan Kristian.
Suatu ketika PAS menyokong DAP dan menggesa
kerajaan membenarkan Injil tersebut di edar dan suatu ketika pula, PAS
menafikan pula yang mereka pernah menyokong DAP dalam isu tersebut. Dolak dalih
atau ‘flip-flop’ adalah tanda
kelemahan dan DAP tidak mengambil masa yang lama untuk mengeksploitasi
kelemahan PAS bagi menekan kerajaan, sekali gus mencabar agama Islam serta
mempromosi Kristian.
Akibatnya, kerajaan UMNO yang bertegas enggan
membenarkan Injil tersebut disebar kini dicabar di mahkamah. Perkara ini tidak
mungkin terjadi jika PAS sejak dari awal lagi tidak memberi muka kepada DAP
untuk memainkan isu ini. Malang sekali apabila kerajaan telah kalah kepada
pihak gereja dalam perbicaraan awal. Dan kini, kita sedang menunggu keputusan
mahkamah rayuan pula.
Walaupun PAS menafikan yang mereka menyokong
DAP dalam isu ini, sehingga kes ini ke mahkamah, PAS terus ‘malu alah’ untuk ke
hadapan dalam mempertahankan Kalimah Allah. Inilah buktinya bahawa PAS sedar
akan kesilapan mereka tetapi enggan mengakuinya. Ia juga membuktikan bahawa PAS
masih ingin menjaga hati DAP dan nekad untuk terus bersama DAP walaupun
menyedari bahawa DAP adalah musuh Islam.
Setakat artikel ini ditulis, mahkamah masih
belum membuat keputusan. Justeru, umat
Islam kini sedang menunggu dengan cemas. Beberapa NGO turut meluangkan masa
berkumpul di mahkamah, melaungkan Allahuakbar dan berdoa akan kemenangan di
pihak kerajaan. Jika PAS benar pertahankan Islam, maka PAS juga wajib menerima
hakikat bahawa mereka harus turut mendoakan kemenangan kerajaan UMNO dalam
rayuan kes ini.
Episod ini seharusnya membuka mata semua
pihak bahawa yang mempertahankan Islam itu adalah kerajaan UMNO dan bahawa
kerajaan tidak pernah campur tangan dalam sistem perundangan mahupun institusi
kehakiman.
Dengan itu, PAS seharusnya malu jika terus
menggunakan hujah bahawa UMNO tidak mempertahankan Islam lagi selepas ini. Manakala
Pakatan Rakyat pula, secara keseluruhannya tidak berhak lagi menggunakan hujah
bahawa kerajaan menguasai mahkamah apabila saja mereka kalah di mahkamah.
No comments:
Post a Comment