29 August 2013

Sasha Elite Bakal Kahwin Dengan Awi Rafael?




Aktres dan penyanyi tinggi lampai, Sasha Saidin kini dikaitkan dengan pelantun lagu ‘Bila Aku jatuh Cinta’, Awi Rafael. Biarpun sebelum ini Awi pernah membidas gosip itu, namun ada sumber terdekat dengan pasangan ini memaklumkan Sasha dan Awi kini semakin intim dan mula merancang untuk berkahwin. Bagi mendapatkan kepastian, pihak media menghubungi Sasha untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya. Adakah Awi lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya untuk berkahwin lagi?

“Sebenarnya kami hanya sekadar kawan. Saya pun baru mengenali Awi ketika kami sama-sama menyertai sebuah program amal di Johor pada bulan Ramadan lalu. Dari perkenalan itulah, kami terus berkawan.  Awi mempunyai projek ‘girl band’ yang konsepnya sama seperti kumpulan Elite. Jadi dia meminta pendapat dan buah fikiran saya mengenai projek tersebut,” jelas Sasha memulakan perbualan.


Sasha menjelaskan yang secara kebetulan, kawannya juga merupakan kawan kepada Awi. Jadi mereka pernah keluar beramai-ramai, bukannya berdua. Ketika diusik dengan pertanyaan adakah Awi mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya, Sasha ada penjelasan tersendiri mengenai perkara tersebut.

“Saya belum mengenalinya dengan lebih rapat, kami sekadar teman. Tapi secara umum, saya melihat yang Awi ini seorang lelaki yang matang, bekerja keras, genius dan dia sangat berbakat dalam bidang yang diceburinya iaitu bidang muzik. Dia juga sangat banyak membaca dan sangat seronok untuk berbual bersamanya sebagai seorang kawan. Lagipun saya baru sahaja kenal dia ketika bulan puasa yang lalu. Syawal pun belum habis lagi,” seloroh ahli kumpulan Elite ini lagi.

Ketika ditanya adakah Sasha menerima jika jodohnya bersama Awi, Sasha menyerahkannya semua kepada takdir.

“Semuanya di tangan Tuhan. Saya tak tahu apa yang bakal terjadi nanti. Sekiranya perkara ini betul-betul terjadi, apa yang penting ialah saya ‘single’ dan dia pun ‘single’. Jadi kami masing-masing tidak mempunyai komitmen dengan orang lain. Awi seorang jejaka yang baik, matang dan berkerjaya. Tapi apa yang bakal berlaku nanti, semuanya terletak di tangan Allah. Tapi kini saya cuma berkawan dengan dia,” cerita Sasha lagi.

Dalam perkembangan lain, Sasha bakal tampil sebagai hos untuk rancangan berbahasa Inggeris. Di samping itu, Sasha juga bakal mewakili Malaysia untuk memperagakan busana dari pereka fesyen terkemuka di luar negara. Mengakui yang kini dia agak sibuk dengan acara fesyen dan ‘catwalk’, Sasha masih lagi mempertimbangkan beberapa tawaran berlakon yang mungkin akan menjalani penggambaran pada bulan hadapan.

Selain itu, Sasha juga mendapat beberapa tawaran untuk menjadi duta kepada beberapa produk dan juga butik, tetapi semuanya masih lagi dalam pertimbangan. Sasha menegaska, selain sibuk dengan kerjaya seni, dia juga tidak melupakan tugas hakikinya sebagai seorang ibu kepada Adam Aryasenna yang baru menginjak usia empat tahun.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...