Keterujaan seorang
remaja bermain sepak takraw hampir mengundang padah apabila dia tidak menyedari
kewujudan seekor ular tedung yang berada di dalam kasutnya, petang kelmarin. Mujurlah
remaja berkenaan bertindak segera membuka kasutnya setelah merasakan dia
terpijak sesuatu benda yang lembik dan sejuk, jika tidak dia pasti dipatuk oleh
haiwan berbisa itu.
Dalam kejadian jam 6
petang di Kampung Parit Mat Ali di sini, Marzuki Ahmad Pauzi, 18, berkata, dia
menyarung kasut yang diletakkan di luar rumah untuk bermain sepak takraw di
gelanggang berhampiran. Menurutnya, kaki terasa sejuk dan lembik sewaktu
menyarung kasut, namun dia tidak mengendahkan kerana menyangka plastik.
"Bagaimanapun,
beberapa minit selepas itu, saya merasakan benda ‘sejuk dan lembik’ itu bergerak-gerak dan saya segera mencabut
kasut.
“Alangkah terkejutnya
apabila mendapati ‘benda’ yang
berada di dalam kasut sepuluh minit lalu merupakan ular tedung senduk dan saya
segera melepaskan kasut ini,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini
semalam.
Marzuki berkata, dia
mengenali spesies ular itu melalui bentuk seakan-akan huruf ‘O’ yang terdapat
di kepala ular itu sewaktu ia sedang mengembangkan kepala.
Menurutnya, haiwan
berbisa itu turut menunjukkan isyarat seolah-olah hendak menyerang,
bagaimanapun salah seorang abangnya yang kebetulan berada di tempat kejadian
bertindak memukul ular tedung senduk itu dengan sebatang kayu.
“Saya amat bersyukur
haiwan itu tidak mematuk kaki saya sewaktu menyarung kasut, jika tidak sudah
pasti perkara buruk terjadi pada saya,” katanya.
Katanya, ular tedung
senduk itu berukuran setengah meter panjang dan dipercayai datang dari arah
sawah padi berdekatan.
“Saya menjadi serik
hendak meletakkan kasut di luar rumah berikutan bimbang ‘pisang berbuah dua kali’,” katanya.
No comments:
Post a Comment